GURU EFEKTIF-PANDANGAN
Pelaksanaan kurikulum baru telah mendapati bahawa
pendidik yang berkesan mengamalkan tiga gaya fasilitator perubahan iaitu
pencetus, pengurus dan petindak balas (Haris Md.Jadi, 2002). Pelaksanaan
kurikulum di negara kita adalah sama, namun dari segi kualiti dan kuantiti
didapati bahawa guru-guru yang mengamalkan gaya perubahan pencetus adalah lebih
berjaya berbanding guru-guru yang megamalkan gaya pengurus dan petindak balas.
Gaya perubahan ini sebenarnya satu kombinasi tingkah laku, keprihatinan dan
pengetahuan guru serta penegasan terhadap tindakan-tindakan yang diambil oleh
guru tersebut. Sebagai pendidik guru akan mengamalakn ketiga-tiga gaya
tersebut. Guru perlu mempunyai pandangan yang sangat tinggi terhadap
P&P dalam bilik darjah. Mereka mempunyai jangkaan tinggi terhadap
pelajar dan jangkaan tersebut akan dijelaskan melalui pelbagai slauran.
Sekiranya didapati topik yang diajar berfaedah kepada kepada pelajar, guru akan
membuat pengubahsuaian terhadap topik tersebut mengikut kesesuaian dan
keperluan pelajar. Sebagai pemudah cara yang mengamalkan pencetus, guru
sentiasa mendapatkan maklum balas daripada pelajar.
Faktor yang paling banyak
menyumbang kepada kejayaan pelajar di sekolah ialah keupayaan dan kesungguhan
guru merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran
(P&P) yang berkesan dan memberangsangkan. Pendekatan pengajaran formal
semata-mata tidak menghasilan kesan penghasilan atau pencapaian pelajar yang
memuaskan. Kajian-kajian menunjukkan bahawa pendekatan pengajaran yang informal
dan fleksibel iaitu pengajaran yang tidak dikongkong oleh skema dan jadual
waktu umumnya lebih efektif. Kepelbagaian kaedah pengajaran yang berunsurkan
minat, perasaan, harga diri, pengalaman dan cita rasa pelajar yang terlibat
mampu menjana suasana P&P yang interaktif dan impilkasinya pula
berpanjangan. Kaedah pengajaran yang tidak bersifat arahan sehala semata-mata
tidak mencetuskan pengalaman ‘hands on’ kepada pelajar-pelajar
berkenaan.Sebagai seorang pendidik guru amat menekankan kreativiti dalam
P&P dalam kelas mereka.
Guru harus kreatif memujuk dan mempengaruhi
pelajarnya untuk mereka berusaha memperbaiki kelemahan diri pelajar. Kebanyakan
pelajar di sekolah saya mempunyai perasaan rendah diri dan sikap anti belajar
yang melampau. Saya tidak boleh menyampaikan sesuatu maklumat kepada pelajar
saya dengan terburu-buru. Dalam konteks ini keberkesanan saya melaksanakan
sebarang aktiviti P&P tidak boleh dinilai berdasarkan keupayaan pelajar
saya menyelesaikan semua kandungan kurikulum yang ditetapkan dalam jangka waktu
tertentu semata-mata. Saya harus kreatif merangsang minat dan menaikkan
semangat untuk belajar dalam kalangan pelajar saya.Saya harus memindahkan
pengetahuan yang ada pada saya secara informal dan mesra. Sebagai contohnya
apabila mengajar subjek Kemahiran Hidup untuk Tingkatan 3, saya tidak pernah
menyampaikan ilmu daripada buku teks terus kepada pelajar. Biasanya saya minta pelajar
saya mencuba melakukan sesuatu setelah arahan pertama diberi. Setelah pelajar
mencuba dengan sendiri dan barulah saya minta mereka merujukkan aktiviti
tersebut dalam buku teks. Dalam setiap suasana P&P, saya mempelbagaikan
kaedah yang berbeza. Kaedah yang pelbagai ini meningkatkan pemahaman pelajar
dan mengelakkan kebosanan.
Selain ‘hands on’ saya juga menyampaikan pelajaran
secara bertulis melalui bahan-bahan edaran, menulis kata-kata kunci dengan
warna yang berlainan serta menggunakan lakaran dan peta minda. Penulisan di
papan tulis atau di kertas mahjung perlulah tertib dan teratur.Selain kreatif,
saya juga akan memastikan P&P saya lebih efektif, menarik dan seronok.
Saya akan memberi peluang kepada pelajar untuk melaksanakan aktiviti kumpulan
yang berstruktur dan bersistem, bukannya secara ‘ad hoc’ dan mengelirukan.
Supaya kelas kita lebih dinamik, saya akan mewujudkan interaksi dua hala sama
ada antara guru dengan pelajar atau pelajar dengan pelajar. Dengan ini tidaklah
berlaku pendominasian oleh sesuatu kumpulan atau individu dalam P&P.
Setiap kumpulan yang dibentuk hendaklah bersifat heterogen (Berryman, 2002).
Kumpulan heterogen ini merujuk kepada aspek jantina, ras, latar belakang dan
tahap kebolehan individu. Pembentukan kumpulan ini memudahkan aktiviti yang
akan dijalankan. Untuk menjadikan P&P yang lebih menarik dan efektif
saya akan membina persekitaran pembelajaran yang positif.
Saya akan melayan
semua pelajar sama rata. Apabila seseorang guru bersikap adil dalam melayan
pelajar maka pelajar itu faham bahawa guru mengambil berat tenang kejayaan
individu. Misalnya kekerapan pelajar perempuan atau lelaki untuk menjawab
soalan dan kekerapan kumpulan etnik yang majoriti atau minoriti untuk terlibat
dalam aktiviti bilik darjah perlulah sama. Jika pelajar menjawab soalan yang
diajukan dngan betul saya akan memberi ganjaran supaya pelajar itu berbangga
dengan jawapannya di hadapan rakan-rakan mereka.Saya sangat percaya bahawa
setiap pelajar dalam kelas saya boleh belajar. Saya akan menjelaskan kepada
pelajar jangkaan atau ekspektasi saya adalah tinggi terhadap mereka. Oleh itu
mereka hendaklah memfokuskan perhatian terhadap pembelajaran. Saya sentiasa
beredar dalam kelas sambil memantau kerja-kerja pelajar dan memberi sokongan
dan galakan apabila mereka menghadapi sesuatu masalah.
Pelajar akan belajar
dengan baik apabila pembelajaran dalam kelas dinamik dan aktif, dilaksanakan
mengikut konteks dan dalam keadaan yang stabil. Tugas penting guru ialah
menjelaskan dan mendemonstrasikan tingkah laku yang diharapkan kepada pelajar.
Apabila saya yakin dan cekap dalam persembahan pengajaran, maka saya sudah
melahirkan asas pembelajaran yang efektif. Saya akan menyediakan bahan dan
meneliti pelajaran lebih awal untuk menguasai maklumat mengenai pelajaran dan
kemahiran penyampaian pelajaran.Saya mengelakkan komunikasi yang negatif untuk
mewujudkan P&P yang lebih efektif. Sekiranya guru menjerit kepada
pelajar, ini bermaksud guru tersebut telah merosakkan persekitaran
pembelajaran. Jika guru menyindir atau mengecil-ngecil dan merendah-rendah
kebolehan pelajar, guru telah menyebabkan pelajar tawar hati untuk terlibat
dalam pembelajaran. Tindakan guru memarahi pelajar dengan kasar menyebabkan
pelajar berasa malu dengan rakan dan ini akan menjejaskan kepercayaan pelajar
terhadap pelajaran dan guru. Saya sebagai pendidik akan mengelakkan komunikasi
negatif seumpama ini untuk melahirkan pembelajaran yang lebih positif, mesra
dan menarik.
Peranan guru tidak hanya berfokus pada P&P sahaja. Guru juga
berfungsi sebagai pakar penentu. Mereka bekerja sebagai penguasa ke atas
masalah pelajar dan harus mencari penyelesaiannya. Saya sebagai guru perlu
bertindak sebagai penterjemah dan orang tengah dalam saluran komunikasi terbuka
(permasalahan dua hala dan penyelesaiannya). Dengan berbuat demikian saya akan
mendapat kepercayaan pelajar dan bertanggung jawab mengenalpasti masalah,
membangunkan program dan pelaksanaan program. Selain itu saya hendaklah
memudahkan komunikasi. Dalam konteks ini saya berperanan sebagai broker
maklumat.Saya juga adalah pendengar komunikasi. Saya terlibat dalam pembuatan
keputusan dalam bilik darjah yang mempunyai kepentingan bersama seperti
mengadili, interaksi, mengadakan perbincangan, mengulas pandangan, mendapatkan
reaksi dan memperbetul keadaan dengan hubungan komunikasi.
Selain itu, saya
sebagai fasilitator komunikasi perlu menyediakan komunikasi dan menyediakan
komunikasi untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar tentang sesuatu
perkara yang dipelajari di sekolah.Justeru itu sebagai fasilitator penyelesai
masalah saya berperanan sebagai ahli kumpulan pengurusan dan memandu
pelajar-pelajar saya melalui proses penyelesaian masalah yang rasional iaitu
melibatkan semua bahagian organisasi sekolah dalam perancangan kurikulum dan
kokurikulum. Saya perlu berkerjasama dengan guru-guru lain untuk mengenali
masalah dan penyelesaian masalah. Guru sebagai fasilitator penyelesai masalah
juga menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan perancangan strategik dan
melaksanakan proses komunikasi dalam bilik darjah ( Banburry, 2003). Saya
selaku penyelesai masalah pelajar, akan melakukan perubahan bersama-sama dengan
guru-guru lain. Malah saya juga bertanggung jawab menentukan staf sekolah yang
sesuai untuk menjalankan kerja-kerja komunikasi dalam bilik darjah.Kejayaan
seseorang guru di sekolah ditentukan melalui kebolehan mereka membangunkan
kemahiran mengumpul maklumat daripada sukatan kurikulum dan daripada sumber
luaran. Penilaian yang berterusan akan dilakukan dan setiap cadangan yang diformulakan
oleh guru perlu mendapat kelulusan daripada pihak pengurusan organisasi.
Kebanyakan aktiviti komunikasi dengan pelajar memerlukan kerjasama dan
kadangkala melalui unit organisasi lain seperti kakitangan personel, persatauan
ibu bapa dan guru, badan bukan kerajaan ataupun masyarakat setempat. Sebagai
guru saya perlu mempelajari cara dan teknik terbaik untuk membujuk
pelajar-pelajar saya agar profesion sebagai perantara menjadi lebih
efektif.Semua bentuk P&P dalam bilik darjah mestilah bermula dengan
komunikasi yang berkesan. Guru mestilah mahir menyampaikan gagasan dan matlamat
mereka kepada pelajar. Guru yang baik mestilah mantap daya pemerhatiannya,
tajam pendengarannya, petah berbicara dan pandai berkomunikasi. Oleh itu, semua
sesi pengajaran memberikan tumpuan kepada peningkatan kemahiran berkomunikasi.
Sesi-sesi awal pengajaran memberikan tumpuan kepada kemahiran komunikasi
kendiri dan peribadi, dan sesi-sesi berikutnya pula menekankan komunikasi dalam
pasukan.Sebagai guru saya harus mendengar rintihan dan luahan pelajar. Guru
akan menjadi lebih mantap dengan mendengar pandangan dan keperluan pelajar.
Apabila saya mendengar masalah pelajar ini tidak terbatas semata-mata kepada
mendengar apa yang dikatakan oleh seorang pengawas, kawan atau pesaing, tetapi
termasuklah juga menilai dan menghargai pendapat dan pandangan mereka. Seorang
guru yang berkesan, seperti seorang pemimpin yang berkesan, merupakan seorang
pelajar yang belajar daripada apa yang didengarinya.
Setelah saya mendengar
masalah pelajar dalam bilik darjah, saya hendaklah membina konsensus. Membina
konsensus merupakan proses membuatkeputusan dalam pengajaran dan pembelajaran
yang berjaya.Melalui pertukaran pandangan, pelajar-pelajar dalam kumpulan,
pasukan atau organisasi yang lebih besar dapat memahami perkara-perkara yang
telah dipersetujui bersama oleh mereka. Keputusan digubal melalui persefahaman
bersama tentang pelbagai jalur pemikiran dan kemungkinan. Jika perselisihan
pendapat tidak dapat diselesaikan, maka kumpulan tidak akan mengambil tindakan.
Meskipun pembinaan konsensus seringkali mengecewakan dan memerlukan waktu yang
lama, namun usaha tersebut melahirkan kata sepakat yang boleh diterima dan
dilaksanakan oleh semua pelajar. Dengan yang demikian permuafakatan dapat
dipupuk dan seterusnya perpaduan dapat diwujudkan dalam kalangan pelajar
berbilang bangsa.Sebagai seorang pendidik saya akan berusaha membentuk
nilai-nilai bersama.
Kumpulan-kumpulan kecil dan besar dalam bilik darjah akan
memperoleh manfaat daripada usaha membentuk nilai bersama. Dengan cara
berdialog, membina konsensus dan berkongsi pengalaman, akan berkembanglah satu
gugusan nilai-nilai dan prinsip-prinsip teras yang telah sama-sama turut
dirumus oleh setiap pelajar dan setiap pelajar akan berasa mempunyai hak terhadapnya.
Nilai bersama merupakan pendekatan saling menyesuaikan dan bersifat anjal dalam
usaha membentuk matlamat yang dipengaruhi oleh sekumpulan pelajar. Apabila
sesuatu kumpulan merumus suatu pengertian bersama, maka setiap anggota kumpulan
itu akan bergerak dalam satu kerangka yang dimilikinya bersama dan dia turut
mempunyai tanggung jawab bersama.Untuk menjadikan P&P lebih menarik
saya sebagai pendidik akan membangunkan perkongsian pembelajaran (Abu zahar Abu
Bakar, 1992). Hasil sesuatu perkongsian itu menggambarkan pemikiran dan
kegiatan pelajar saya. Sesebuah bilik darjah dengan para pelajarnya
melaksanakan arahan-arahan dengan efisien lagi berkesan bukanlah suatu bilik
darjah yang berasaskan perkongsian pembelajaran jika para pelajarnya tidak mempersoalkan
apakah aktiviti mereka itu relevan, menilai sejauh mana aktiviti itu boleh
diperbaiki, atau berkongsi segala sesuatu yang telah dipelajari.
Usaha membina
perkongsian pembelajaran merupakan suatu pendekatan merenung ke dalam diri
pelajar dan pembelajaran secara kolektif dalam usaha pembinaan institusi.Usaha
ini melibatkan kesedaran kendiri pelajar dan perenungan kendiri beserta dengan
kesedaran pelajar dan perenungan diri dalam kalangan pelajar yang melaksanakan
tujuan dan kegiatan perkongsian tersebut. Oleh yang demikian, suatu perkongsian
pembelajaran merupakan interaksi dalam kalangan pelajar yang melahirkan
perenungan, penilaian dan pengetahuan yang akan memantapkan serta mempercepat
tercapainya matlamat perkongsian pembelajaran. Perkongsian pembelajaran
melahirkan persekitaran belajar yang dinamik, yang mendorong penyertaan dan
amat produktif sifatnya, serta memungkinkan setiap pelajar dapat menimba ilmu
sambil mempertingkatkan kemampuan diri sendiri dan kemampuan rakan-rakan mereka
(Underwood, 1987).
Pemudah cara yang berkesan harus mendengar dan belajar
bersama-sama para pelajar. Peranan saya ialah mengatur pertemuan dan memandu
para pelajar dalam latihan-latihan kumpulan. Saya bukan merupakan pakar tentang
kepimpinan atau tahu tentang serba sesuatu. Perbincangan yang berjaya perlu
saya hasilkan daripada semua pelajar dalam sesuatu kumpulan.Guru yang berkesan
hendaklah bijak memandu arah perbincangan. Ada kalanya saya mungkin ingin
memandu perbincangan kumpulan ke arah yang baru melalui soal jawab yang
mendalam. Tugas saya bukanlah untuk menentukan hasil perbincangan tetapi
sekadar memimpin arah tujuannya, sambil senantiasa mengingati bahawa tidaklah
ada suatu pendapat yang lebih benar atau lebih sahih. Dengan cara yang demikian
saya akan dapat memastikan bahawa setiap pelajar memberikan sumbangan terhadap
perkongsian pembelajaran dan ilmu. Seorang pemudah cara yang baik akan
menimbulkan suasana saling mempercayai serta tidak berat sebelah dan
memungkinkan setiap pelajar berasa selamat dan selesa untuk menyatakan
pandangan secara jujur tanpa menghadapi tekanan kemungkinan diadili atau
diserang.Suasana tersebut juga memungkinkan para pelajar berasa selesa
menyatakan bantahannya terhadap pelajar lain secara mendalam tetapi penuh
hormat.
Saya sebagai penyabar tidak akan berasa risau jika terdapat keadaan
senyap yang lama selepas sesuatu pendapat dikemukakan oleh pelajar. Tempoh masa
yang demikian itu merupakan kesempatan para pelajar berhenti sejenak untuk
merenung dan mengumpul rasa keyakinan diri untuk menyatakan pandangan
mereka.Setelah memandu saya akan merangsang perbincangan. Sepanjang sesi-sesi
pengajaran pelbagai soalan telah diajukan untuk memberangsang perbincangan dan
perbahasan dalam kalangan pelajar. Soalan-soalan itu hanyalah sekadar garis
panduan untuk memimpin kumpulan meneroka pelbagai tema pembelajaran. Selagi
kumpulan berada dalam lingkungan perbincangan yang relevan dan bermakna, saya
haruslah membiarkan mereka menyimpang daripada persoalan yang telah
dikemukakan.
Selain itu, saya ingin menggunakan kaedah latihan atau taktik yang
lain atau yang berbeza daripada apa yang terdapat dalam buku ringkasan mengajar
saya. Jika saya mengenal pasti pelajar-pelajar tertentu yang malu atau kurang
yakin untuk bercakap, maka saya akan mengajukan pendapat saya dan meminta salah
seorang daripada pelajar yang lain mengulas pendapat saya itu. Saya peka
terhadap keperluan individu dan kumpulan, dengan memberi dorongan, malah turut
serta dalam tanggungjawab pembelajaran. Maka dengan ini saya telah menjalankan
peranan pemudah cara dengan berkesan.Ada kalanya guru sebagai pemudah cara
dalam P&P terpaksa memandu perbincangan dengan menjadi seorang penjaga
masa yang berkesan serta senantiasa mengingatkan para pelajar akan agenda
pengajaran pada hari berkenaan( Burden, 1999). Meskipun bilangan anggota dalam
kumpulan pelajar mungkin berbeza-beza, namun amat baik untuk selalu
mengingatkan para pelajar supaya mengutarakan pendapat mereka dengan ringkas,
tidak membiarkan seseorang atau segelintir pelajar memonopoli perbincangan. Hal
ini lebih-lebih lagi diperlukan dalam latihan-latihan yang melibatkan
penyertaan dan penceritaan oleh setiap pelajar.
Cara yang terbaik untuk
mengingatkan para pelajar supaya mereka tidak menyimpang daripada tajuk adalah
dengan mengemukakan pendapat dan arahan saya kepada kumpulan dan bukannya
kepada mana-mana individu pelajar. Ada juga baiknya jika para pelajar
digalakkan supaya mendengar pendapat rakan-rakan sekumpulan mereka dan membina
perbincangan daripada pendapat-pendapat yang telah dikemukakan sebelum
itu.Walaupun saya bertanggung jawab untuk memandu setiap sesi pengajaran hingga
ke akhirnya, namum saya tidaklah semestinya mengarahkan semua aktiviti atau
memudah cara semua perbincangan. Berkongsi tanggungjawab boleh dan sepatutnya
merupakan sebahagian daripada usaha saya melaksanakan kegiatan sesi pengajaran.
Suatu langkah mudah ialah menggalakkan pelajar secara sukarela membuat catatan
untuk seluruh kumpulan, membaca arahan atau naratif daripada buku teks dan/atau
menjadi pemudah cara perbincangan. Dengan meyakinkan para pelajar bahawa mereka
tidak perlu risau tentang ejaan sewaktu membuat nota, atau sebutan sewaktu
membaca, maka para pelajar akan berasa selesa dan pelajar-pelajar yang lain
pula akan berasa terdorong untuk memberikan sumbangan. Bagaimanapun
terpulanglah kepada diri saya sendiri adakah saya mahu turut serta dalam
perbincangan. Namun demikian, senantiasalah beringat bahawa oleh sebab saya
menyelaras setiap sesi pengajaran dan “mempunyai kuasa,” para pelajar mungkin
akan memberikan pertimbangan yang lebih terhadap semua pandangan dan saranan
saya.
Oleh yang demikian, amatlah penting bagi saya mengehadkan campur tangan
saya dalam perbincangan kumpulan.Peranan guru tidak hanya sebagai pemudah cara,
malah guru juga perlu menjadi agen perubahan dan menjadi sumber inspirasi
kepada masyarakat khususnya kepada para pelajar. Kegemilangan negara bergantung
kepada kualiti sumber manusia serta tahap pendidikan sebagai teras kepada
pembangunan serta kemajuan negara yang landasannya dimulakan oleh guru-guru.
Peranan para guru paling strategik dalam menentukan masa depan negara dan
bangsa. Sebaik manapun sesuatu sistem pendidikan itu dibentuk, sistem itu tidak
akan mencapai tujuannya jika guru-guru merupakan agen dan penggerak utama dalam
proses pendidikan tidak memiliki sikap dedikasi dan komitmen terhadap profesion
perguruan yang merupakan tugas dan sekaligus amanah yang wajib ditunaikan
dengan sebaik-baiknya.
Perasaan tanggung jawab lahir dari hati yang luhur dan
ikhlas semata-mata kerana dedikasi dan komitmen ada hubungannya dengan
iman.Guru-guru jelas memainkan peranan yang besar dalam menghasilkan generasi
yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu, bertakwa dan berakhlak
selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara bagi membawa negara ini ke hadapan
pada tahap pencapaian yang setanding dengan bangsa-bangsa yang maju
(Kementerian Pelajaran, 1992). Saya sebagai pendidik yang dedikasi bukan sahaja
menjalankan tugasnya dengan berkesan malah sentiasa mencari jalan menambah ilmu
dan kemahirannya untuk meningkatkan kecekapan dalam pengajaran dan peka
terhadap perkembangan profesionnya di samping tidak mengabaikan tugas sosial
terhadap masyarakat. Oleh itu, hanya guru-guru dedikasi yang mengambil berat
tentang pelajar-pelajarnya dapat memberikan sumbangan menjadikan Malaysia
sebagai negara yang terpuji yang terkenal dengan tradisi intelek, cemerlang
dalam bidang sosioekonomi dan budaya serta mempunyai kualiti kehidupan yang
tinggi.
Untuk menjadi teladan kepada pelajar, saya juga bertekad menjadi guru
yang unggul bagi pembinaan insaniah pelajar dan pembangunan negara secara
amnya. Saya perlu memandang ke hadapan untuk kebahagiaan generasi akan datang
di negara yang berdaulat. Sebuah negara yang unggul berhasil mewujudkan satu
ketamadunan yang mempunyai masyarakat yang berdisiplin, berhemah tinggi,
berilmu, beriman serta berakhlak mulia. Untuk mencapai pembentukan ketamadunan,
kita memerlukan kesegaran budaya berfikir ke arah mewujudkan pelajar yang
bertanggung jawab serta pengukuhan akidah. Mentradisikan budaya berfikir dalam
kalangan pelajar merupakan anak kunci bagi kemajuan dan keunggulan sesebuah
negara.Pendidikan adalah wadah bagi pembentukan manusia dan ilmu. Pendidikan
seharusnya mendokong hasrat pembangunan insan yang berilmu, beriman, beramal
soleh dan berakhlak mulia. Bagi saya llmu bukan sekadar maklumat. Malah
prasyarat llmu ialah kebenaran maklumat di samping membawa makna kepada pelajar
sehingga mereka menjadi masyarakat yang berguna kepada watan dan nusa.
Kecemerlangan akademik belum bererti kecemerlangan kehidupan. Kecerdasan otak
dan kemahiran teknologi belum dapat melindungi pelajar-pelajar saya daripada
sifat-sifat kehaiwanan. llmu yang memuncak tanpa iman boleh mendorong pelajar
saya menjadi makhluk pintar tetapi perosak dan berbahaya. lnsan yang
berkemahiran dan berakhlak mulia adalah insan yang diharap mampu memanfaatkan
demi kepentingan manusia sejagat. Pada hakikatnya kecemerlangan sahsiah pelajar
adalah berasaskan kepada kesepaduan ilmu, amal dan iman.Kesimpulannya, untuk
mewujudkan dan menjamin kesepaduan ilmu, amal dan iman maka adalah perlu bagi
saya untuk mendidik dan menjadi idola kepada pelajar saya dengan memperlihatkan
perwatakan yang positif dan sempurna. Dalam proses ini saya mempunyai peranan
yang utama lagi mulia dalam memindahkan ilmu yang baik, meninggikan adab, serta
sikap murni yang diredhai Tuhan. Saya juga akan memberi petunjuk ke arah jalan
yang benar dan sebagai pemudahcara proses pembelajaran.
No comments:
Post a Comment