Showing posts with label Esei Sampel. Show all posts
Showing posts with label Esei Sampel. Show all posts

Saturday, July 11, 2020

KARANGAN CONTOH SPM BAHAGIAN A


KARANGAN CONTOH SPM BAHAGIAN A

Rukun Negara menjadi tunjang kehidupan yang sejahtera dan bersatu padu.

Rukun Negara digubal  hasil perundingan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei 1969. RN bertujuan untuk memperkukuh dan mengembalikan perpaduan kaum bagi kehidupan bernegara yang aman dan harmoni. RN telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.

Setiap kita hendaklah mendukung aspirasi  Rukun Negara dan Perpaduan dalam kehidupan kita seharian. Sebarang pemikiran dan pandangan tentang politik, sejarah dan budaya masyarakat mestilah bertunjangkan RN. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengelakkan sebarang perselisihan faham antara kaum. Pemimpin parti politik sering melagakan permusuhan antara kaum. Hal seumpama ini juga dapat dielakkan jika mereka menghayati falsafah sebenar RN.RN menggalakkan masyarakat agar lebih bersikap terbuka dalam menerima pandangan banyak pihak tanpa sebarang keraguan dan prejudis.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat memperkenalkan Rukun Negara dan sejarah kepada generasi muda. RN amat mengutamakan adab sopan terutama hormat kepada orang lain. RN menggalakkan kita supaya bersikap terbuka tanpa melihat perbezaan kaum, agama dan kepercayaan sebaliknya menerima kepelbagaian yang ada. Ironisnya, kini jurang antara generasi tua dan muda sangat meluas. Kewujudan banyak rumah orang tua membuktikan bahawa generasi muda tidak lagi menghormati dan menghargai jasa dan pengorbanan warga tua.

Rukun Negara juga menganjurkan supaya kita jangan semai semangat kesukuan dan perkauman. Semangat dan sikap kenegerian dan kedaerahan masih jelas berlaku sekarang. Apatah lagi perbezaan kelas sosial antara yang berada dengan tidak berada masih berleluasa. Hanya RN dapat menyatukan masyarakat yang dipisahkan oleh banteng  perbezaan ini. Dalam hal ini sistem pendidikan dan media massa harus menyedarkan masyarakat supaya menghayati RN.

Umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia menganuti pelbagai agama dan pegangan hidup masing-masing, namun kita tetap disatukan melalui prinsip RN yang pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Prinsip yang pertama ini memang tepat malah RN mengutamakan  rakyat mengamalkan amalan budaya  dan  agama yang dianuti tanpa waswas. Tiada ajaran agama di dunia ini tanpa mendekatkan diri kepada Tuhan. Oleh itu setiap perlakuan, pertuturan, pemikiran dan perasaan kita wajarlah lebih berkiblatkan rukun yang pertama ini.

Kesimpulannya, RN sepatutnya menjadi panduan hidup setiap warga Malaysia. Bagaimanapun RN kurang dihayati oleh masyarakat kini kerana mereka tidak memahami kandungannya. Oleh itu kerajaan dan orang ramai perlu berusaha  meneroka idea-idea baharu bagi menyuburkan semangat Rukun Negara terutama dalam kalangan generasi muda. Pendek kata masyarakat yang sering berbincang dan kadang kala berselisih faham adalah masyarakat yang matang

(Jumlah perkataan 369)

Thursday, June 11, 2020

Kebobrokan dan ketaksuban segelintir masyarakat menyebabkan pelbagai implikasi berlaku di negara kita. Bincangkan. oleh Dr R.Dhanapal


Kebobrokan dan ketaksuban segelintir masyarakat menyebabkan pelbagai implikasi berlaku di negara kita. Bincangkan.



Kamus Bahasa Melayu mendefinisikan kebobrokan sebagai suatu keadaan yang binasa atau rosak. Manakala ketaksuban pula dimaksudkan sebagai berpegang pada sesuatu secara berlebih-lebihan. Dalam konteks kontemporari , kehidupan manusia yang menuju ke arah  kerosakan dan keterlaluan akan membawa negara ini ke arah kehancuran. Tamadun dan negara bangsa yang kita bina selama ini akan menjadi ranap jika masyarakat kita semakin bobrok dan taksub.



Walaupun negara kita sudah merdeka, tetapi budaya asing sering mendominasi budaya kehidupan kebanyakan masyarakat kita. Budaya asal yang pernah kita praktikkan sejak turun-temurun, semakin hilang auranya dan taringnya. Budaya pelbagai bangsa di negara ini makin dicorakkan dan diwarnai oleh budaya kuning atau budaya Barat. Budaya Melayu, Cina dan India dan masyarakat pribumi yang lain adalah sebahagian daripada citra budaya Malaysia. Budaya yang heterogen inilah yang menyebabkan negara kita dilihat sebagai sebuah negara yang unik dan istimewa. Kini peresapan budaya luar memudaratkan keindahan budaya asal kita.


Selain itu, masyarakat kita  tidak lagi mengamalkan budaya masyarakat penyayang. Hari ini sesuatu bangsa tidak lagi menyayangi bangsa lain.Mereka seolah-olah mementingkan diri sendiri dan hanya memperjuangkan nasib dan hak bangsanya sahaja. Sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ini menjadi budaya hidup bangsa yang berkepentingan. Sewajarnya semua bangsa di Malaysia hendaklah saling membantu dalam mengagihkan kekayaan negara. Mereka haruslah berkongsi peluang-peluang pekerjaan dan kemudahan-kemudahan yang ada sesama bangsa lain. Semua bangsa sepatutnya menghirup udara pembangunan secara saksama. Akan tetapi semua ini gagal dimanifestasikan dan cuma menjadi utopia.



Di samping itu, kini usaha konkrit kerajaan untuk membina masyarakat yang berkasih sayang dan perpaduan tidak dirasai. Hal ini kerana kebanyakan pemimpin hanya menjaga periuk nasi masing-masing dan sibuk berpolitik tanpa menghiraukan nawaitu rakyat. Hari ini, syak dan curiga antara satu dengan lain semakin menjadi-jadi malah menjadi duri dalam daging. Penindasan terhadap masyarakat bawahan yang kurang berada makin menjadi-jadi. Golongan kaya bertambah kaya dan golongan miskin bertambah miskin. Hal ini dikatakan sedemikian kerana golongan kaya mampu membolot semua peluang yang ada pada mereka. Mereka mengeksploitasi golonga marhaen dengan mengenakan harga yang tinggi terhadap barangan dan membayar upah yang rendah. Mereka bagaikan menangguk di air yang keruh.


Sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu kota dan bandar-bandar utama kini dilimpahi dengan pusat maksiat seperti sarang pelacuran, rumah urut dan kelab-kelab malam yang menganjurkan pesta seks liar dan sebagainya. Ada gula ada semut. Maka begitulah masyarakat yang terhakis keimanan sering melawat ke tempat-tempat ini. Masyarakat kita sanggup menggadai nilai budi ketimuran untuk meraih laba keuntungan. Natijahnya mahligai indah yang dibina bersama pasangan hidup akan menjadi kecai dalam sekelip mata sahaja apabila akhlak salah seorang pasangan tersebut runtuh dan rosak,akibat menjadi pelanggan tetap ke pusat-pusat tersebut..


Lanjutan daripada premis di atas, kegiatan kongsi gelap dan jenayah yang terancang juga banyak dilaporkan berlaku di negara kita oleh media massa. Saban hari akhbar pasti menyiarkan berita-berita jenayah yang kerap berlaku. Ibu kota Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar seperti Georgetown, Ipoh , Kuching dan lain-lain sering mencatatkan rekod jenayah yang cukup  tinggi bagai cendawan selepas hujan. Dadah dan pemerdagangan manusia yang  sangat serius juga tidak terkecuali di negara kita. Yang amat malang apabila kegiatan ini didalangi oleh tokoh-tokoh tempatan yang rapat dengan penjenayah antarabangsa untuk mengaut keuntungan yang lebih secara haram.


Sementelahan masalah alam sekitar juga makin parah. Sebagai buktinya pencemaran dan pembakaran yang dilakukan oleh masyarakat kita akbiat taksub, banyak spesies air dan hutan mati. Ketaksuban pada pembinaan bangunan yang tinggi pula menyebabkan hakisan bukit dan tanah runtuh sering terjadi. Malang tidak berbau, pembangunan di lereng bukit turut mengorbankan banyak nyawa. Sebagai contohnya, kejadian di Jalan Tanjung Batu Ferringhi, Pulau Pinang mengakibatkan tanah runtuh di tapak Projek Bukit Kukus dan lantas  beberapa orang pekerja binaan mati di tapak binaan. Kesemua senario ini adalah bukti manusia taksub pada material dan ingin menikmati nafsu kehidupan yang bobrok. Kegagalan masyarakat merancang alam semulajadi dengan baik dan melaksanakan projek yang tidak mesra alam sekitar, juga menjadi punca masalah ini berlaku.


Konklusinya, sampai bila masyarakat kita dibiarkan rosak dari sudut kemanusiaan dan khazanah alamnya? Kita memerlukan satu pendekatan yang holistik dan komprehensif untuk menangani kobobrokan dan ketaksuban manusia ini. Kepimpinan kerajaan hendaklah lebih tegas dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan sebarang undang-undang dan peraturan yang sedia ada. Sistem pendidikan kita hendaklah menyemai niali-nilai murni dalam sanubari masyarakat Malaysia sejak mereka kecil kagi, bak pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Masyarakat hendaklah menikmati pembangunan negara tanpa menggadaikan maruah dan budaya asal mereka.


1.tulisan berwarna merah ialah isi-isi utama
2.tulisan berwarna merah yang condong ialah peribahasa dan kosa kata



Surat Kiriman Rasmi Contoh. Aduan Masalah-oleh Dr R Dhanapal


Surat Kiriman Rasmi Contoh. Aduan Masalah-oleh Dr R Dhanapal

Kelab Cinta Alam,
SMK Tingi Bukit Mertajam,
77, Jalan Sri Bukit,
14000 Bukit Mertajam

Yang DiPertua,
Majlis Bandaraya Seberang Perai,
Bandar Baru Perda,
14000 Bukit Mertajam                                                                                    11 JUN 2020


Tuan,

ADUAN TENTANG MASALAH JALAN

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Kelab kami telah membuat satu tinjauan di jalan masuk ke kawasan riadah Bukit Melati dari jalan raya yang utama. Kami mendapati jalan yang menuju ke kawasan riadah itu tidak rata, berbonggol, pecah dan berlubang pada beberapa permukaan jalan.

3. Keadaan tersebut bukan saja menimbulkan rasa tidak selesa dan kecewa dalam kalangan pengguna jalan yang terlibat tetapi juga kami berasa bimbang akan keselamatan pengunjung kawasan riadah jika masalah ini dibiarkan tanpa diambil sebarang tindakan.

4. Untuk perhatian Tuan, kelab kami mendapati jalan-jalan di kawasan tersebut berbonggol, pecah, tidak rata dan berlubang disebabkan kenderaan berat seperti lori lalu di jalan itu. Walaupun  pihak kontraktor menampal dan menurap, tetapi jalan itu masih tidak dapat digunakan. Ada satu ketika seorang penunggang motosikal terpaksa melanggar sebuah kereta apabila penunggang itu cuba mengelak jalan yang berlubang itu.

5.Kelab kami berasa kesal kerana masalah tersebut sudah lama berlaku. Malah pengunjung-pengunjung juga telah mengadu hal ini kepada beberapa orang petugas MBSP tetapi tiada sebarang tindakan daripada mereka sehingga hari ini.

6. Kelab Cinta Alam yang saya terajui sangat berharap pihak Tuan dapat memberi perhatian  yang serius terhadap perkara ini supaya kemalangan tidak menimpa pengunjung-pengunjung jalan tersebut.

Sekian. Harap pihak MBSP memberi pertimbangan yang serius dan mengambil tindakan yang wajar untuk mengatasi masalah tersebut sebelum berlaku sebarang kemalangan nyawa.

Sekian. Terima kasih


Yang benar,


(ALI BIN AHMAD)
Pengerusi
Kelab Cinta Alam
SMK Tinggi Bukit Mertajam


Sunday, June 7, 2020

GANNESH -KARANGAN CONTOH LATIHAN SIRI 10


GANNESH -KARANGAN CONTOH LATIHAN SIRI 10  -TINGKATAN 4  

   Rakyat merupakan penduduk sesuatu wilayah atau negara yang setia kepada pemerintahnya. Pada zaman dahulu, raja merupakan pemerintah di negara kita. Raja pada zaman dahulu mempunyai banyak kuasa dalam pelbagai bidang. Hal ini menyebabkan rakyat haruslah sentiasa setia kepada baginda. Rakyat yang menderhaka raja mereka akan ditimpa tulah. Selepas negara kita dijajah oleh British, sistem raja berperlembagaan diperkenalkan . Dalam sistem ini, keadilan bagi rakyat ditegakkan . Selepas itu, rakyat berhak menikmati kehidupan yang lebih baik. Apabila hak asasi rakyat ditegakkan, tidak seseorang [H1] pun terlepas [H2] daripada arus pembangunan negara. Pada era pasca kemerdekaan ini, rakyat mesti hidup dengan dibekalkan segala kemudahan dan prasarana yang berkualiti. Bagi memastikan hal ini berlaku, pihak kerajaan merupakan pihak utama yang memainkan peranan dominan dalam memastikan rakyat mereka mendapat hak mereka . Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan supaya rakyat Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain?

  Antara prakarsa yang afdal yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah pihak kerajaan hendaklah membangunkan kawasan kediaman yang berdaya maju dan menarik bagi rakyat mereka. Setiap rakyat berhak mendapat kediaman yang selamat dan selesa. Pihak kerajaan boleh membangunkan kawasan kediaman mengikut reka bentuk abad ke-21 . Hal ini dikatakan demikian kerana pembinaan kawasan kediaman mengikut reka bentuk abad ke-21 ini selamat dan menarik. Ciri-ciri kawasan kediaman sebegini boleh menjadikannya tempat menarik untuk didiami,bekerja  dan beriadah. Kawasan kediaman juga boleh dibangunkan berdekatan dengan fasiliti-fasiliti awam seperti MRT dan bas awam. Dengan ini, para penduduk [H3] tidak perlu menggunakan kenderaan sendiri dan [H4] boleh menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat bekerja, sekolah, pasar raya dan sebagainya. Pihak kerajaan juga boleh mengupah beberapa orang polis untuk menjaga kawasan kediaman . Kesannya,  kawasan yang bebas daripada pencemaran dan jenayah boleh [H5] dibangunkan. Dengan kawasan kediaman yang menarik, selesa dan selamat , rakyat patut berasa puas dan bahagia tinggal di kawasan itu. Oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya bekerja bagai lebah menghimpun madu untuk membina kawasan kediaman yang sempurna bagi rakyat jelata.

   Jika disingkap dari perspektif yang berbeza, pihak kerajaan juga boleh mentransformasikan penjagaan kesihatan untuk mempertingkat kualiti hidup rakyat. Sebagai penduduk yang cinta akan negara, kita sentiasa mahukan [H6] rakyat yang bebas penyakit dan sistem penjagaan kesihatan yang paling canggih. Bagi memajukan sistem penjagaan kesihatan, pihak kerajaan boleh menyediakan peralatan perubatan yang canggih bagi [H7] setiap hospital kerajaan. Hal ini akan menyebabkan taraf hospital kerajaan juga dapat ditingkatkan dan menjadi sama taraf dengan hospital swasta. Pada masa yang sama juga, peralatan perubatan yang canggih boleh membatu para doktor untuk melakukan [H8] rawatan yang lebih berkesan. Sebagai contoh, peralatan perubatan yang canggih dapat membantu para doktor untuk melakukan diagnosis dengan lebih cepat dan lebih berkesan.Pihak kerajaan juga boleh memperkenalkan rawatan kesihatan percuma bagi golongan miskin dan warga emas. Dengan ini, jangka hayat rakyat dapat ditingkatkan. Hal ini demikian kerana sistem penjagaan kesihatan yang canggih dapat meningkatkan kesuburan wanita dan sentiasa menjaga kesihatan warga tua dan anak-anak. Izharnya, pihak kerajaan sewajarnya mentransformasikan penjagaan kesihatan untuk mempertingkat kualiti hidup rakyat.


    Bertitik tolak daripada manifestasi di atas, kerajaan haruslah memastikan semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada perumahan yang berkualiti dan mampu milik. Sebagai sebuah kerajaan yang berdemokratik, pihak kerajaan perlu membina banyak rumah untuk memenuhi keperluan rakyat. Di Malaysia, ada sesetengah rakyat yang miskin menjadi gelandangan. Mereka mempunyai masalah [H9] tidur di tepi bangunan atau jalan[H10] . Perkara ini sewajarnya diselesaikan oleh pihak kerajaan dengan segera. Pihak kerajaan boleh memberi kontrak kepada syarikat – syarikat pembinaan untuk membina rumah bagi golongan yang tidak mempunyai rumah. Rumah yang besar tidak perlu dibina untuk mereka[H11] . Untuk menjimatkan bajet, rumah pangsa boleh dibina di kawasan yang kekurangan tanah. Selepas memberi rumah kepada mereka, pihak kerajaan boleh memberi pekerjaan kepada golongan ini supaya mereka akan mempunyai kehidupan yang normal. Pihak kerajaan sewajarnya meneruskan usaha ini sehingga semua rakyat Malaysia mempunyai tempat tinggal. Bak kata pepatah, bagai menggenggam bara api biar sehingga menjadi arang. Nahtijahnya[H12] , rakyat Malaysia akan mempunyai akses kepada perumahan.

  Seterusnya, kerajaan haruslah menyediakan utiliti dan perkhidmatan awam yang lebih cekap untuk memastikan rakyat mereka [H13] dapat menikmati kualiti hidup yang baik. Pihak kerajaan haruslah lebih mengutamakan kecekapan perkhidmatan awam. Perkhidmatan awam yang canggih dapat memudahkan rakyat melakukan urusan harian mereka. Antara perkhidmatan awam yang perlu dicekapkan [H14] ialah perkhidmatan bekalan air bersih, bekalan elektrik, pengurusan sisa pepejal dan sebagainya. Pihak kerajaan mesti menyediakan bekalan air yang bersih bagi penduduk bandar dan luar bandar .Bekalan air bersih boleh disalurkan ke kawasan-kawasan ini melalui sistem pembentungan [H15] yang canggih dan sistematik. Bagi bekalan elektrik pula, pihak kerajaan sewajarnya menggunakan jalur lebar yang berkualiti, terutamnya yang diperbuat daripada kuprum bagi memastikan tenaga elektrik disalurkan ke rumah-rumah secara efisien. Kerajaan juga perlu meningkatkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan mengupah lebih banyak pekerja untuk membersih [H16] kawasan persekitaran. Dengan ini, rakyat dapat hidup dengan selesa dan harmoni.

     Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa langkah-langkah yang disarankan dapat menjamin kemampanan kualiti. Sebagai sebuah kerajaan yang adil, mereka [H17] hendaklah komited untuk memastikan kualiti hidup rakyat terjamin. Pihak kerajaan tidak harus memberi kualiti hidup yang baik bagi masyarakat yang berpendidikan dan tinggal di bandar[H18] . Sama ada penduduk yang tinggal di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar, perkhidmatan sewajarnya diberi secara sama rata selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju. Dengan ini, negara Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang aman dan akan menjadi contoh untuk [H19] negara-negara lain.






 [H1]Seorang pun..


 [H2]Tertinggal/terabai/terpinggir


 [H3]penduduk


 [H4]sebaliknya


 [H5]dapat


 [H6]mahu akan


 [H7]di setiap…


 [H8]menjalankan


 [H9]Mereka tidur…


 [H10]Di tepi jalan


 [H11]Rumah yang disediakan biarlah ala kadar.


 [H12]Natijahnya,…


 [H13]Rakyat…


 [H14]Perlu ditawarkan secara efisien ialah…


 [H15]bekalan


 [H16]membersihkan


 [H17]Sebuah kerajaan yang   adil  hendaklah….


 [H18]Semata-mata.


 [H19]kepada

Wednesday, June 3, 2020

KARANGAN TAMBAHAN 2 SIRI 10 oleh Dr. R. Dhanapal


KARANGAN TAMBAHAN  2 SIRI 10 oleh Dr. R. Dhanapal

Masyarakat sekarang lebih mementingkan hiburan murahan.Oleh itu langkah-langkah yang wajar harus diambil oleh pihak tertentu untuk menanganinya . Huraikan penyataan ini.

Intro
-semakin banyak saluran televisyen dan radio pada masa ini- sepatutnya masyarakat mendapat bahan yang lebih baik-mereka ada banyak pilihan- tetapi  pemikiran kita teranjak kepada budaya berhibur dengan bahan televisyen atau radio-mudah dan murah dperoleh-keadaan bertambah tenat setelah wujudnya gajet elektronik

Isi-isi
-bahan kandungan televisyen dan radio semakin hilang arah-melanggar batas agama, susila mahupun budaya-apresiasi masyarakat kita kepada hiburan berkualiti rendah malah bersifat murahan- gagal mengangkat maruah- hanya  meruntuhkan akhlak yang ada-hal ini kerana masyarakat tidak terdidik dengan hiburan berbudaya tinggi

-hiburan adalah isi kandungan televisyen yang bernilai berbilion-bilion ringgit –isi kandungan seharusnya melahirkan manusia yang berkualiti –membantu masyarakat mendepani era yang lebih mencabar-ironisnya ialah rancangan atau hiburan lebih mengkhayalkan audiens dengan candu hedonisme-cara hidup mewah-fesyen terkini- candu hiburan merosakkan tidak kira generasi muda, dewasa atau warga emas

-masyarakat seharusnya disedarkan supaya tidak terus menjadi mangsa kepada percambahan saluran televisyen dan radio di negara ini- jika mereka ingin berhibur pilihlah hiburan yang memberikan rangsangan untuk berfikiran aras tinggi- pilihlah hiburan yang memberikan manfaat kepada rohani dan intelek-jangan jadikan hiburan sebagai ruang eskapisme kepada realiti sosial

-Kementerian Komunikasi dan Multimedia menggantungkan lesen penyiar yang ingkar-tindakan lebih tegas sama ada stesen swasta ataupun stesen kerajaan-Lembaga Penapisan dan Perbadanan Perfileman Negara perlu mengedit, menyaring dan menapis adegan-adegan yang meruntuhkan akhlak-tetapi ini mesti dilakukan dengan teliti tanpa menjejaskan jalan cerita-pegawai-pegawai penguatkuasa perlu ditambah- perlu membuat peninjauan setiap masa terhadap stesen-stesen ini-mencegah lebih baik daripada mengubati

-pihak pemilik stesen hendaklah mengaudit stesen dari semasa ke semasa-termasuklah menilai kualiti hiburan-menjaga tutur kata dan perlakuan juruhebah supaya tidak terlanjur- sediakan latihan dan kursus yang berkaitan kepada juruhebah- kursus penggunaan bahasa-penampilan dan gaya penyampaian-juruhebah yang ingkar hendaklah ditamatkan khidmat mereka-mengkaji latarbelakang petugas stesen sebelum ditawarkan bekerja di stesen

penutup
pihak penyiar sengaja menyiarkan rancangan atau hiburan yang kurang berkualiti atau murahan untuk  mencatatkan rating yang tinggi- masyarakat hendaklah sedar- mustahil bagi pihak wewenang untuk menapis semua jenis rancangan atau hiburan dalam media elektronik- masyarakat perlu menyemai nilai moral yang tinggi untuk memilih hiburan yang berkualiti sahaja- stesen-stesen radio dan televisyen perlu mempunyai rasa akauntabiliti terhadap masyarakat

Monday, June 1, 2020

KARANGAN TAMBAHAN SIRI 10 oleh Dr.R.Dhanapal


KARANGAN TAMBAHAN SIRI 10 oleh Dr.R.Dhanapal

Kesederhanan dalam kehidupan membawa banyak kebaikan. Huraikan langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk mengamalkan satu bentuk hidup yang sederhana.

Introduksi

Apabila kehidupan kita dibebani oleh pelbagai kekusutan dan kecelaruan, mungkin pada ketika itulah kita memerlukan satu cara untuk menyederhanakan kekusutan dan kecelaruanya tersebut. Hidup kita ini akan menjadi lebih signifikan dan bererti jika kita melepaskan beban yang kita tanggung satu per satu. Dalam konteks yang lain, kita perlu hidup secara minimalis (serba sederhana)

1. membuang barang-barang yang tidak lagi diperlukan
-kita harus membuang barang-barang yang berlebihan dan yang tidak diperlukan- kita perlu pelajari cara-cara mengurangkan bahan yang tidak diperlukan-mula dari laci, rak, almari dan bilik stor-pastikan barang tersebut tidak lagi diperlukan sebelum kita buangnya-apa guna simpan buku-buku lama jika tidak digunakan-sedekahkan sahaja kepada orang miskin atau kepada perpustakaan tempatan-kain-kain lama disedekahkan kepada rumah anak yatim atau kepada penghuni rumah warga tua

2. meringankan setiap langkah
-sampah yang berlonggokan di belakang rumah atau dalam rumah hendaklah dibuang selalu-jangan simpannya berhari-hari sehingga berbusuk-semut dan serangga akan menjadi tetamu yang tidak diundang ke rumah kita- mula menghinggapi sampah-jangan rasa malas untuk berjalan ke arah televisyen dan padamkannya secara fizikal atau manual-jangan asyik bergantung pada alat kawalan jauh (remote control)-hati kita senang apabila kita lakukan dengan sendiri – rumah kelihatan ceria setelah semua sampah dibuang

3. mengurangkan  tekanan atau stress
-buang semua perasaan yang sentiasa mengocak jiwa kita-fikirkan detik-detik atau peristiwa yang boleh gembirakan kita-sebaik-baiknya kurangkan kesibukan-jangan jadikan diri kita sering sibuk dengan sesuatu urusan yang kurang penting dan tidak menguntungkan- hanya mementingkan urusan yang penting sahaja seperti pelajaran, kesihatan, pemakanan dan hubungan kekeluargaan-lakukan senaman secara kerap-masalah peribadi jika ada,lebih baik dibincangkan dengan orang yang dipercayai khususnya dengan ibu bapa

4. menghindarkan diri daripada media sosial
-media sosial sering mengganggu gugat konsentrasi kita-media sosial mengundang lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan-membaca buku cetak lebih baik daripada membacanya dalam skrin komputer-mudah ingat-mudah mengulang dan elakkan daripada kesakitan mata-daripada puluhan akaun palsu dalam media palsu, jadikan satu akaun sebagai akaun yang sah dan jitu-tidak perlu menambah bilangan rakan yang tidak dikenali-pilih hanya satu media sosial dan gunakannya secara berhemat dan berhemah

5.meringankan perasaan emosi
-bijak mengurus emosi-sentiasa fikirkan secara rasional-jangan membiarkan emosi mengatasi rasional-lakukan sesuatu yang boleh menseimbangkan emosi seperti bersembahyang dan membaca doa mengikut agama masing-masing-kerap mengunjungi rumah-rumah ibadat –menziarahi orang-orang tua kita- sekali sekala mengunjungi pusara orang kesayangan kita- fikirkan apa yang berlaku di sekitar kita adalah baik-baik belaka-jangan iri hati, curiga atau sangsi pada seseorang-jika orang itu pidana, cepat-cepat jauhkan diri

Kesimpulan
-hidup kita mesti dsandang pada kebenaran, kesedaran dan keinsafan- syukuri apa-apa yang Tuhan sediakan kepada kita- Tuhan berikan kita satu peluang keemasan untuk hidup dengan baik-manfaatkan peluang ini- elakkan kemungkaran kerana kemungkaran tidak disukai oleh-Nya-masih banyak langkah sederhana dan mudah boleh kita lakukan- -amalkan cara hidup dengan moderasi yang lebih luas dan indah.


Saturday, May 30, 2020

KARANGAN TERBAIK BHG. A OLEH SRIDRAN SPM


KARANGAN BAHASA MELAYU SPM

BAHAGIAN A

TAJUK : USAHA-USAHA MEMUPUK JATI DIRI REMAJA

            Remaja dapat ditakrifkan sebagai seseorang yang beusia[H1]  antara 12 hingga 21 tahun. Kebanyakan remaja masih berada di bangku sekolah atau di pusat pengajian tinggi. Menurut mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed[H2]  Saddiq bin Syed Abdul Rahman, usia remaja merupakan waktu yang sesuai untuk seseorang dididik dan dipupuk jati dirinya. Ketika usia setahun sejagung ini jugalah, seseorang boleh terpengaruh dengan perkara negatif jika tiada bimbingan. Pada zaman dahulu, remaja merupakan tulang belakang sesebuah kumpulan masyarakat. Merekalah yang berada di barisan hadapan ketika sama-sama menjayakan sesuatu aktiviti atau majlis. Namun demikian, dalam  meniti kehidupan pada marcapada, remaja semakin hilang jati diri dek pengaruh budaya kuning. Isu yang sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat ini telah mewujudkan suatu polemik yang hebat dalam kalangan marhaen [H3] negara, malah isu ini juga hangat diperkatakan dari warung kopi hingga persidangan di Parlimen. Persoalan yang kini menjadi percaturan minda ialah apakah usaha-usaha bagi memupuk jati diri remaja ?

            Antara prakarsa yang afdal bagi memupuk jati diri dalam kalangan remaja ialah kita haruslah memperkenalkan tokoh pejuang kemerdekaan tanah air kepada mereka. Sebagai contohnya, nama dan gambar pejuang kemerdekaan seperti Dato’ Onn Jaafar, Ahmad Boestamam, dan Tunku Abdul Rahman perlulah diletakkan di tempat-tempat strategik seperti perpustakaan[H4] , muzium[H5] , dan pusat[H6]  beli-belah sepanjang masa. Gambar-gambar ini perlu disertakan dengan keterangan berkaitan dengan pengorbanan tokoh-tokoh tersebut. Melalui metode ini, remaja akan menyedari asal usul mereka dan menyedari pahit getir yang dilalui oleh pejuang kemerdekaan bagi memajukan negara Malaysia dan meletakkan ibu pertiwi mereka pada tahap duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Para remaja juga akan menginsafi segala kesalahan dan kesilapan lalu dan bertaubat untuk mengubah sikap indivualistik [H7] dan materialistik mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa remaja perlu mengenali tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan demi memupuk jati diri mereka.

            Jika disingkap dari perspektif yang berbeza, pihak kerajaan juga boleh mengadakan kempen-kempen kesedaran dalam usaha bagi memupuk jati diri remaja. Sebagai contohnya, kerajaan boleh menghasilkan iklan melalui pelbagai media untuk menunjukkan kepentingan jati diri kepada remaja. Mereka boleh menggunakan media massa dan media elektronik sebagai wadah yang signifikan bagi menjayakan kempen-kempen tersebut. Kempen ini perlu diadakan secara konsisten sehingga menampakkan hasil umpama genggam bara api biar sampai menjadi arang. Sebaliknya, pihak kerajaan tidak seharusnya bersikap seperti hangat-hangat tahi ayam dalam menjalankan kempen kesedaran ini kerana pemupukan jati diri remaja merupakan suatu agenda besar negara. Jati diri remaja merupakan langkah awal ke arah pemupukan semangat patriotik terhadap negara. Natijahnya, ternyatalah bahawa kempen kesedaran tentang kepentingan jati diri yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan secara berterusan mampu memupuk jati diri remaja.

            Bertitik tolak daripada manifestasi di atas, penghayatan remaja terhadap mata pelajaran Sejarah merupakan  salah satu inisiatif yang penting bagi memupuk jati diri remaja. Sebagai misalan, mata pelajaran Sejarah yang diajarkan menggunakan metode menarik akan meningkatkan kefahaman dan penghayatan remaja terhadap peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negara kita. Dengan yang demikian, para remaja dapat meneladani nilai-nilai moral yang penting daripada peristiwa-peristiwa tersebut. Kebijaksanaan guru dalam usaha untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran ini membolehkan jati diri mereka dipupuk sedikit demi sedikit. Selain menjadi syarat wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, mata pelajaran Sejarah juga penting untuk menanamkan semangat cinta akan negara dalam sanubari remaja seperti sekali membuka pura, dua tiga hutang berbayar. Izharnya, jelaslah bahawa mata pelajaran Sejarah yang dihayati dan dihargai akan dapat memupuk jati diri remaja.

            Sebagai menggulung segala ikhtisar yang telah dikemukakan di atas, sudah terang lagi bersuluh bahawa usaha-usaha sebegini perlu dilakukan secara holistik oleh semua pihak yang bertanggungjawab. Pelbagai pihak sama ada kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) perlu berganding bahu dan bersinergi agar usaha murni ini membuahkan hasil secara berteusan dalam jangka masa panjang persis kata peribahasa Melayu alang-alang berminyak, biar licin. Pihak kerajaan juga mengharapkan generasi pada zaman kemodenan [H8] ini yang terdiri daripada para remaja dapat menyedari kepentingan jati diri mereka. Mereka seyogianya sedar bahawa mereka merupakan bakal pemimpin yang akan menerajui negara kita ke arah kemajuan dari segi pembangunan dan ekonomi. Mereka seharusnya mengorak langkah pertama dan berinisiatif dalam hal ini kerana persis kata orang-orang tua, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sebagai pengitlakan, negara yang berjaya tentulah berpaksikan jati diri rakyat sendiri kerana jati diri bangsa merupakan asas kehebatan sesebuah negara.





 [H1]berusia


 [H2]Yang Berhormat


 [H3]Marhaen normally is used for rakyat biasa


 [H4]Di


 [H5]di


 [H6]di


 [H7]individualistik


 [H8]moden

Tuesday, May 19, 2020

Penyemakan karangan


KARANGAN di bawah ini adalah satu contoh penyemakan saya. Pelajar masih mengekalkan imbuhan yang salah dan banyak menggunakan singkatan. Sila elak kesalahan-kesalahan ini. Semua pembetulan telah dihuraikan di bawah esei dengan rujukan nombor H1 hingga H27. Selamat membaca.

Punca[H1] -punca remaja semakin hilang sikap patriotisme kerana kehidupan remaja sekarang  terlalu mewah.Apa yang mereka kehendaki [H2] ,semuanya dapat [H3] contohnya pakaian dan telefon bimbit berjenama[H4] .Hal ini menyebabkan semangat  patriotik mereka jadi [H5] lemah dan tidak begitu bersemangat patriotik.Punca yang lain ialah mereka tidak mengambil bahagian lebih[H6]  aktif dalam kegiatan ko-kurikulum.[H7] 

Selain[H8]  itu,masyarakat dulu hidup dalam kelompok mereka kerana tak ada usikan dan pengaruh luar.Tetapi lama-kelamaan hidup tertutup ini berubah kepada masyarakat terbuka kerana pengaruh sosialisasi dengan[H9]  dunia luar dan masyarakat luar .Remaja berpeluang belajar di bandar dan apabila mereka dah [H10] lulus,mereka boleh cari [H11] kerja di bandar-bandar kerana bandar mempunyai banyak kerja[H12]   yang menarik.

Motif[H13]  dan gaya hidup berubah[H14]  ,ikatan kekeluargaan menjadi longgar .Interaksi dan komunikasi dua hala ibu bapa dengan anak jarang-jarang  berlaku.Hal ini menyebabkan remaja terabai dan kurang dapat [H15] kasih sayang .Mereka lebih terdedah kepada pengaruh rakan sebaya.Banyak remaja terbabit dalam gajala sosial termasuklah kempulan Mat Reempiy [H16] yang menunggang motosikal secara berbahaya.

Di samping itu,mereka tidak dididik di sekolah tentang semangat patriotik dan tidak tahu mengharumkan nama dan imej negara melalui aktiviti berfaedah[H17] .Mereka tidak ada [H18] semangat juang dan jati diri yang tinggi .Mereka[H19]  hanya mencukupkan syarat[H20] . Daya ketahanan diri tidak diasuh dalam subjek Sejarah dan Pendidikan Moral atau Sivik .Ketahanan fizikal tidak[H21]  dibina melalui aktiviti badan beruniform atau aktiviti perkhemahan pergerakan pengakap yang jarang diadakan.

Akhir sekali,semua pihak harus bertanggungjawab sebenarnya .Bagai aur dengan tebing [H22] ,jangan tuding jari kepada sesiapa [H23] .Sekarang masa kita bertindak[H24]  ,janganlah[H25]  biarkan remaja kita semakin hanyut dalam mimpi indah seperti kemewahan hidup.Ibu bapa khususnya berperanan[H26]  di rumah untuk menghela remaja kembali kepada semangat perjuangan melalui pemupukan semangat dan roh pejuang-pejuang msa [H27] lampau.

KOMEN :  Saya sudah minta pelajar mesti tukarkan imbuhan. Sebelum memulakan ayat, pastikan tiada koma di hadapan. Pelajar gagal memahami penanda wacana yang ditekankan dalam kelas tuisyen saya. 









 [H1]Sepatutnya pendahuluan dimulakan dengan satu penyataan umum seperti. Banyak pihak mempersoal  semangat patriotisme dalam kalangan remaja pada hari ini. Terdapat pelbagai punca semangat tersebut semakin terkikis. Antaranya ialah………


 [H2]Dikehendaki oleh mereka


 [H3]diperoleh


 [H4]yang berjenama


 [H5]menjadi


 [H6]yang lebih aktif


 [H7]kokurikulum


 [H8]Kalau kita mengimbas, masyarakat silam hidup berkelompok….


 [H9]Dan pendedahan terhadap dunia luar…….


 [H10]sudah


 [H11]mencari


 [H12]peluang pekerjaan  yang…


 [H13]Sementelahan motif…


 [H14]Dan ini mengakibatkan ikatan….


 [H15]Mendapat kasih….


 [H16]Rempit


 [H17]Yang  berfaedah


 [H18]tiada


 [H19]Pihak sekolah hanya mengadakan aktiviti kokurikulum untuk mencukupkan syarat.


 [H20]Sila rujuk ayat H19


 [H21]Juga tidak…


 [H22]Bertanggungjawab bersama dalam hal ini bak pepatah bagai aur dengan tebing.


 [H23]Kita tidak sayugianya menuding jari kepada sesiapa pun.


 [H24]Untuk bertindak


 [H25]Ini ayat baharu. Perlu ada noktah dan dimulakan dengan huruf besar. Janganlah biarkan….


 [H26]Hendaklah berperanan….


 [H27]Masa lampau