Saturday, July 11, 2020

KARANGAN CONTOH SPM BAHAGIAN A


KARANGAN CONTOH SPM BAHAGIAN A

Rukun Negara menjadi tunjang kehidupan yang sejahtera dan bersatu padu.

Rukun Negara digubal  hasil perundingan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei 1969. RN bertujuan untuk memperkukuh dan mengembalikan perpaduan kaum bagi kehidupan bernegara yang aman dan harmoni. RN telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.

Setiap kita hendaklah mendukung aspirasi  Rukun Negara dan Perpaduan dalam kehidupan kita seharian. Sebarang pemikiran dan pandangan tentang politik, sejarah dan budaya masyarakat mestilah bertunjangkan RN. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengelakkan sebarang perselisihan faham antara kaum. Pemimpin parti politik sering melagakan permusuhan antara kaum. Hal seumpama ini juga dapat dielakkan jika mereka menghayati falsafah sebenar RN.RN menggalakkan masyarakat agar lebih bersikap terbuka dalam menerima pandangan banyak pihak tanpa sebarang keraguan dan prejudis.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat memperkenalkan Rukun Negara dan sejarah kepada generasi muda. RN amat mengutamakan adab sopan terutama hormat kepada orang lain. RN menggalakkan kita supaya bersikap terbuka tanpa melihat perbezaan kaum, agama dan kepercayaan sebaliknya menerima kepelbagaian yang ada. Ironisnya, kini jurang antara generasi tua dan muda sangat meluas. Kewujudan banyak rumah orang tua membuktikan bahawa generasi muda tidak lagi menghormati dan menghargai jasa dan pengorbanan warga tua.

Rukun Negara juga menganjurkan supaya kita jangan semai semangat kesukuan dan perkauman. Semangat dan sikap kenegerian dan kedaerahan masih jelas berlaku sekarang. Apatah lagi perbezaan kelas sosial antara yang berada dengan tidak berada masih berleluasa. Hanya RN dapat menyatukan masyarakat yang dipisahkan oleh banteng  perbezaan ini. Dalam hal ini sistem pendidikan dan media massa harus menyedarkan masyarakat supaya menghayati RN.

Umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia menganuti pelbagai agama dan pegangan hidup masing-masing, namun kita tetap disatukan melalui prinsip RN yang pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Prinsip yang pertama ini memang tepat malah RN mengutamakan  rakyat mengamalkan amalan budaya  dan  agama yang dianuti tanpa waswas. Tiada ajaran agama di dunia ini tanpa mendekatkan diri kepada Tuhan. Oleh itu setiap perlakuan, pertuturan, pemikiran dan perasaan kita wajarlah lebih berkiblatkan rukun yang pertama ini.

Kesimpulannya, RN sepatutnya menjadi panduan hidup setiap warga Malaysia. Bagaimanapun RN kurang dihayati oleh masyarakat kini kerana mereka tidak memahami kandungannya. Oleh itu kerajaan dan orang ramai perlu berusaha  meneroka idea-idea baharu bagi menyuburkan semangat Rukun Negara terutama dalam kalangan generasi muda. Pendek kata masyarakat yang sering berbincang dan kadang kala berselisih faham adalah masyarakat yang matang

(Jumlah perkataan 369)

No comments:

Post a Comment