Friday, July 10, 2020

Gelaran Prof. atau Dr.



Gelaran Prof. atau Dr.

Jika seseorang itu bergelar Profesor di universiti, maka eloklah beliau dipanggil Prof. Jika beliau hanya bergelar Prof.Madya sahaja, biarlah panggilnya PM atau Dr., jika beliau memiliki ijazah PhD. Rata-rata pelajar universiti memanggil pensyarah mereka yang bukan profesor, tetapi dipanggil Prof. Adakah ini untuk menyejukkan hati mereka? Gelaran profesor merupakan satu gelaran akademik tertinggi yang diberikan kepada mereka yang banyak berjasa dan menyumbangkan tenaga dan ideanya dalam bidang yang diceburi. Ada sesetengah pensyarah atau profesor madya senyum dan kembang hati apabila pelajar mereka memanggil mereka profesor, pada hal beliau belum dilantik ke jawatan tersebut. Sewajarnya pensyarah itu hendaklah menegur pelajar dan membetulkannya supaya gelaran akademik yang berprestij itu tidak disalahgunakan. Begitu juga segelintir politikus yang pernah menjadi profesor atau profesor madya di universiti, tetapi masih menggunakan panggilan yang sama di luar lingkungan kesarjanaan ilmu. Satu lagi budaya baharu berlaku di sekolah-sekolah. Jika seseorang guru baru sahaja mendaftarkan diri  sebagai calon PhD, tetapi  rakan-rakan sejawatnya mula memanggilnya Dr. Hal ini bukan untuk memberi suntikan untuk guru tersebut supaya terus belajar tetapi sebaliknya mempersenda gelaran Dr. itu sendiri. Harap pihak universiti yang menganugerahkan gelaran tersebut dan Kementerian Pengajian Tinggi mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang menyalahgunakan gelaran-gelaran akademik ini. Kita harus ingat bahawa untuk mendapatkan gelaran Dr. ataupun Profesor bukanlah satu kerja yang mudah. Kedua-duanya adalah hasil daripada titik peluh selama bertahun-tahun lamanya. Begitu juga gelaran Munsyi. Harap DBP memantau jika terdapat barang siapa menyalahgunakan gelaran Munsyi demi kepentingan diri mereka.

No comments:

Post a Comment