Saturday, May 30, 2020

KARANGAN TERBAIK BHG. A OLEH SRIDRAN SPM


KARANGAN BAHASA MELAYU SPM

BAHAGIAN A

TAJUK : USAHA-USAHA MEMUPUK JATI DIRI REMAJA

            Remaja dapat ditakrifkan sebagai seseorang yang beusia[H1]  antara 12 hingga 21 tahun. Kebanyakan remaja masih berada di bangku sekolah atau di pusat pengajian tinggi. Menurut mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed[H2]  Saddiq bin Syed Abdul Rahman, usia remaja merupakan waktu yang sesuai untuk seseorang dididik dan dipupuk jati dirinya. Ketika usia setahun sejagung ini jugalah, seseorang boleh terpengaruh dengan perkara negatif jika tiada bimbingan. Pada zaman dahulu, remaja merupakan tulang belakang sesebuah kumpulan masyarakat. Merekalah yang berada di barisan hadapan ketika sama-sama menjayakan sesuatu aktiviti atau majlis. Namun demikian, dalam  meniti kehidupan pada marcapada, remaja semakin hilang jati diri dek pengaruh budaya kuning. Isu yang sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat ini telah mewujudkan suatu polemik yang hebat dalam kalangan marhaen [H3] negara, malah isu ini juga hangat diperkatakan dari warung kopi hingga persidangan di Parlimen. Persoalan yang kini menjadi percaturan minda ialah apakah usaha-usaha bagi memupuk jati diri remaja ?

            Antara prakarsa yang afdal bagi memupuk jati diri dalam kalangan remaja ialah kita haruslah memperkenalkan tokoh pejuang kemerdekaan tanah air kepada mereka. Sebagai contohnya, nama dan gambar pejuang kemerdekaan seperti Dato’ Onn Jaafar, Ahmad Boestamam, dan Tunku Abdul Rahman perlulah diletakkan di tempat-tempat strategik seperti perpustakaan[H4] , muzium[H5] , dan pusat[H6]  beli-belah sepanjang masa. Gambar-gambar ini perlu disertakan dengan keterangan berkaitan dengan pengorbanan tokoh-tokoh tersebut. Melalui metode ini, remaja akan menyedari asal usul mereka dan menyedari pahit getir yang dilalui oleh pejuang kemerdekaan bagi memajukan negara Malaysia dan meletakkan ibu pertiwi mereka pada tahap duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Para remaja juga akan menginsafi segala kesalahan dan kesilapan lalu dan bertaubat untuk mengubah sikap indivualistik [H7] dan materialistik mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa remaja perlu mengenali tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan demi memupuk jati diri mereka.

            Jika disingkap dari perspektif yang berbeza, pihak kerajaan juga boleh mengadakan kempen-kempen kesedaran dalam usaha bagi memupuk jati diri remaja. Sebagai contohnya, kerajaan boleh menghasilkan iklan melalui pelbagai media untuk menunjukkan kepentingan jati diri kepada remaja. Mereka boleh menggunakan media massa dan media elektronik sebagai wadah yang signifikan bagi menjayakan kempen-kempen tersebut. Kempen ini perlu diadakan secara konsisten sehingga menampakkan hasil umpama genggam bara api biar sampai menjadi arang. Sebaliknya, pihak kerajaan tidak seharusnya bersikap seperti hangat-hangat tahi ayam dalam menjalankan kempen kesedaran ini kerana pemupukan jati diri remaja merupakan suatu agenda besar negara. Jati diri remaja merupakan langkah awal ke arah pemupukan semangat patriotik terhadap negara. Natijahnya, ternyatalah bahawa kempen kesedaran tentang kepentingan jati diri yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan secara berterusan mampu memupuk jati diri remaja.

            Bertitik tolak daripada manifestasi di atas, penghayatan remaja terhadap mata pelajaran Sejarah merupakan  salah satu inisiatif yang penting bagi memupuk jati diri remaja. Sebagai misalan, mata pelajaran Sejarah yang diajarkan menggunakan metode menarik akan meningkatkan kefahaman dan penghayatan remaja terhadap peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negara kita. Dengan yang demikian, para remaja dapat meneladani nilai-nilai moral yang penting daripada peristiwa-peristiwa tersebut. Kebijaksanaan guru dalam usaha untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran ini membolehkan jati diri mereka dipupuk sedikit demi sedikit. Selain menjadi syarat wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, mata pelajaran Sejarah juga penting untuk menanamkan semangat cinta akan negara dalam sanubari remaja seperti sekali membuka pura, dua tiga hutang berbayar. Izharnya, jelaslah bahawa mata pelajaran Sejarah yang dihayati dan dihargai akan dapat memupuk jati diri remaja.

            Sebagai menggulung segala ikhtisar yang telah dikemukakan di atas, sudah terang lagi bersuluh bahawa usaha-usaha sebegini perlu dilakukan secara holistik oleh semua pihak yang bertanggungjawab. Pelbagai pihak sama ada kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) perlu berganding bahu dan bersinergi agar usaha murni ini membuahkan hasil secara berteusan dalam jangka masa panjang persis kata peribahasa Melayu alang-alang berminyak, biar licin. Pihak kerajaan juga mengharapkan generasi pada zaman kemodenan [H8] ini yang terdiri daripada para remaja dapat menyedari kepentingan jati diri mereka. Mereka seyogianya sedar bahawa mereka merupakan bakal pemimpin yang akan menerajui negara kita ke arah kemajuan dari segi pembangunan dan ekonomi. Mereka seharusnya mengorak langkah pertama dan berinisiatif dalam hal ini kerana persis kata orang-orang tua, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sebagai pengitlakan, negara yang berjaya tentulah berpaksikan jati diri rakyat sendiri kerana jati diri bangsa merupakan asas kehebatan sesebuah negara.





 [H1]berusia


 [H2]Yang Berhormat


 [H3]Marhaen normally is used for rakyat biasa


 [H4]Di


 [H5]di


 [H6]di


 [H7]individualistik


 [H8]moden

No comments:

Post a Comment