GALAKAN DAN NORMA GURU TERHADAP KEBERHASILAN PELAJAR
Galakan dan norma guru merupakan faktor yang sangat
penting mempengaruhi keberhasilan seseoang pelajar di sekolah. Galakan guru yang
konsisten dan berterusan dengan memberi moivasi, teguran dan nasihat berjaya
menimbulkan kesedaran akademik pelajar. Kajian ini telah menyelongkar galakan
dan norma guru di dua profil sekolah menengah di kawasan Bukit Mertajam. Dua
buah sekolah pinggir bandar dan dua buah sekolah bandar telah dipilih secara
rawak. Dari setiap sekolah seramai 5 orang guru dipilih berdasarkan tempoh
pengalaman dan bidang mata pelajaran telah dikenal pasti untuk dijadikan
responden kajian. Pengumpulan data dijalankan secara bertemu bual tidak
berstruktur. Kesemua soalan temu bual adalah merangkumi galakan dan norma yang
telah ditetapkan oleh guru di sekolah masing-masing. Selepas menganalisis
setiap verbatim guru maka satu dapatan telah dirumuskan di akhir kajian.
Pengajaran yang streotaip dapat diperhatikan di sekolah pinggir bandar.
Didapati bahawa guru-guru tidak menggalakkan pelajar banyak bertanya dan
sebaliknya masa banyak ditumpukan untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Sama
ada pelajar yang lemah memahami sesuatu konsep atau tidak jarang diberi
perhatian oleh guru pinggir bandar. Kajian telah membuktikan terdapat banyak
faktor yang menyebabkan kedaan ini berlaku. Bagaimanapun dapatan menunjukkan
guru-guru ini tidak patah semangat mengajar pelajar-pelajar. Di sekolah-sekolah
bandar pula guru-guru mengamalkan satu sistem kerja yang seragam dan konsisten
dan mereka memastikan sistem ini dijalankan sepanjang masa. Guru-guru ini lebih
tegas dan tidak berkompromi dengan pelajar apabila melaksanakan norma-norma
yang telah ditetapkan. Hal ini termasuklah penyemakan latihan kerja rumah,
penyediaan bahan pengajaran mengikut kebolehan pelajar dan pemantauan kemajuan
akademik dilakukan sepanjang masa.
No comments:
Post a Comment