PENGAJARAN PENULISAN BERKESAN : INPUT PENYEMAKAN DAN
TEGURAN GURU TERHADAP PENULISAN ESEI PELAJAR
ABSTRAK
Kertas kerja ini mengkaji input penyemakan dan
teguran guru terhadap penulisan esei pelajar tingkatan enam atas di sebuah
sekolah menengah di Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Seramai 54
orang pelajar telah dipilih dan diminta menulis esei jenis fakta. Tajuk esei
telah meliputi laras sains dan laras sastera. Sebanyak 54 esei telah dihasilkan
oleh pelajar. Kesemua esei tersebut telah menerima input penyemakan dan teguran
guru-guru. Guru-guru telah disediakan satu prosedur penyemakan yang diubahsuai
oleh penyelidik daripada Model Penulisan Grabe (1996), Penny (1996), Lee (2005)
dan Roger (2001). Sebanyak 11 elemen kesalahan bahasa, organisasi dan mekanis
penulisan telah dibina untuk membantu guru-guru menyemak esei jenis fakta
Pengajian Am. Untuk tujuan kajian ini soalan Pengajian Am STPM tahun 2004 dan
2006 telah dipilih. Penyelidik telah membuat dua pemantauan ketika pengajaran
penulisan berlangsung. Semasa pra pemantauan, pelajar-pelajar didapati amat
lemah dalam penggunaan bahasa, organisasi karangan dan mekanisme. Setelah input
penyemakan dan teguran dibuat maka terdapat perubahan dalam penulisan esei
pelajar. Guru-guru menyemak hasil tulisan pelajar secara tidak langsung
sebanyak dua kali. Guru-guru hanya menandakan, membulatkan dan menggariskan
lokasi-lokasi kesalahan dalam esei. Pelajar-pelajar berinisiatif sendiri
mencari kelemahan mereka dan menulis semula karangan tersebut. Proses ini
berlaku sebanyak dua kali pada dua hari yang berbeza. Prosedur atau kaedah ini
membolehkan pelajar belajar sendiri dan bersikap bangga kerana hasil tulisan
mereka ditegur secara positif oleh guru. Pada akhir kajian ini, pelajar telah
mengetahui gaya penulisan esei fakta yang betul dan dapat memahami ciri-ciri
sebuah esei jenis fakta. Dapatan menunjukkan bahawa penyemakan dan teguran yang
membina pasti membantu pelajar untuk menghasilkan penulisan esei yang mantap
dan sempurna.
Keywords : Teaching Writing, Essay Assesment,
Characteristics of Composition, Teachers’
Marking Procedure
1.0 Pengenalan
Pengajian Am merupakan mata pelajaran wajib bagi
semua pelajar tanpa mengira jurusan pengajian. Pencapaian dalam mata pelajaran
ini merupakan satu prasyarat untuk memasuki IPTA. Namun begitu kebanyakan
pelajar tingkatan enam tidak menunjukkan prestasi yang baik kerana mereka gagal
memperoleh skor yang tinggi dalam Pengajian Am. (Kementerian Pelajaran
Malaysia, 2007). Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar masih lemah dalam
menguasai pelbagai disiplin seperti sains sosial, kemanusiaan, sains
tulen,sains gunaan dan perubatan dan kesihatan. Sukatan pelajaran Pengajian Am
dengan jelas menggariskan bahawa pelajar perlu mengaplikasikan pengetahuan dan
kemahiran yang diperoleh daipada semua bidang yang dipelajari. Pengetahuan
mereka tidak tertumpu pada tajuk yang dibincangkan dalam bilik darjah tetapi
merangkumi pelbagai masalah dan isu yang bersifat global.
Mengikut laporan prestasi Majlis Peperiksaan
Malaysia, peratusan calon yang lulus Pengajian Am pada tahun 2006 adalah 78.58%
bagi kertas 1 dan 73.85% bagi kertas 2. Pada tahun 2007, 77.74% bagi kertas 1
dan 74.98% bagi kertas 2. Bagi tahun 2008, 75.54% bagi kertas 1 dan 73.55% bagi
kertas 2.(Laporan Prestasi MPM, 2006, 2007 dan 2008) Data jelas menunjukkan
prestasi keseluruhan calon Pengajian Am, semakin merosot. Kertas kerja ini akan
mengupas prestasi pelajar dalam kertas 2. Markah yang paling banyak
diperuntukkan adalah bagi Bahagian A Karangan Laras Sastera sebanyak 25% dan
Bahagian B Karangan Laras Sains sebanyak 25%. Jadi jika calon lemah dalam
penulisan ini akan membawa impak kepada pencapaian keseluruhan calon dalam
Pengajian Am.
Antara objektif sukatan pelajaran Pengajian Am
adalah untuk membina kemahiran mengeluarkan fikiran yang logik, teratur dan
berkesan dengan menggunakan pelbagai bentuk komunikasi. Objektif ini dapat
direalisasikan oleh pelajar dalam bahagian-bahagian karangan. Pada
keseluruhannya mutu jawapan calon dalam bahagian karangan adalah sederhana.
Kebanyakan calon tidak berupaya mengemukakan empat idea yang relevan seperti
yang dikehendaki oleh soalan. Kebanyakan calon hanya mampu mengemukakan dua
atau tiga idea sahaja. Di samping itu huraian idea calon agak longgar dan
kurang jelas. Malah dalam bahagian karangan laras sains, calon gagal
mengemukakan idea sains. Idea yang dikemukakan adalah lebih berdasarkan
pengalaman mereka sendiri atau keadaan semasa tanpa menjawab kehendak soalan
(Laporan Prestasi MPM, 2006, 2007 dan 2008).
2.0 Latar belakang Kajian
Kajian ini dilakukan kerana terdapat pelbagai
kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar khususnya pelajaran tingkatan
enam atas di sebuah sekolah menengah di Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau
Pinang. Pelajar-pelajar menghadapi banyak masalah dalam penulisan esei laras
sains dan laras sastera dalam bilik darjah. Antara masalah yang dikenal pasti
adalah seperti berikut.
2.1 Tidak memahami kehendak soalan karangan
Kertas kerja ini ingin menyelongkar apakah
punca-punca pelajar tingkatan enam atas di sebuah sekolah menengah di Daerah
Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang melakukan beberapa kesilapan sehingga
mereka gagal memperoleh markah yang tinggi dalam karangan. Pelajar gagal
mengemukakan idea berdasarkan kehendak soalan dan jenis-jenis kesalahan yang
dilakukan oleh mereka dalam penulisan karangan. Antaranya pelajar gagal
memahami kehendak soalan. Hal ini demikian kerana pelajar tidak memahami
konsep-konsep yang terdapat dalam soalan karangan. Sebagai contohnya pelajar
tidak memahami maksud ‘rasional” dalam soalan. Pelajar diminta membincangkan
‘rasional’ kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Akan
tetapi kebanyakan pelajar menganggap rasional sebagai matlamat atau objektif.
Sebenarnya pelajar telah mempelajari matlamat PLKN dalam kertas 1 iaitu di
bawah tajuk Dasar-Dasar Kerajaan. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa pelajar
tidak mengambil inisiatif untuk memikirkan maksud ‘rasional’ tersebut. Begitu
juga dengan soalan yang memerlukan pelajar membuat ulasan tentang keperluan
Malaysia menumpukan perhatian untuk meningkatkan sektor perindustrian tanpa
meminggirkan pertanian. Kebanyakan pelajar menjawab satu aspek iaitu
perindustrian sahaja tanpa membincangkan sektor pertanian. Hal ini menyebabkan
pelajar kehilangan banyak markah.
2.2 Tidak dapat membezakan idea sains dengan idea
sastera
Pelajar-pelajar juga sering melakukan kesilapan dari
segi pemilihan kata-kata khusus. Dalam bahagian B, Karangan Laras Sains,
pelajar perlu mengemukakan idea yang berunsur sains. Penguasaan kosa kata yang
lemah menyebabkan pelajar tidak dapat membezakan istilah sains dengan istilah
sastera. Bagi soalan yang berkehendakan idea sains seperti alam sekitar yang
kotor membawa pelbagai kesan negatif kepada manusia, pelajar menulis bahawa
manusia akan kehilangan mata pencarian kerana mereka tidak dapat keluar untuk
mencari rezeki dan sebagainya. Soalan ini sebenarnya memerlukan pelajar menulis
idea seperti manusia terdedah kepada pelbagai penyakit, manusia akan kekurangan
sumber makanan yang bersih dan sebagainya. Kesilapan lazim yang didapati ialah
pelajar sering menggunakan idea ‘penguatkuasaan undang-undang’dan‘kempen
kesedaran’ untuk meningkatkan tahap kesihatan masyarakat .Antara punca
kelemahan ini ialah pelajar-pelajar kurang membaca rencana atau makalah tentang
sains, alam sekitar, kesihatan dan sebagainya. Justeru pelajar juga kurang
berminat membaca dan malas berfikir.
2.3 Tidak dapat membezakan idea dengan huraian
Keadaan ini sering berlaku apabila pelajar-pelajar
memasukkan idea dalam bentuk huraian. Adakalanya pelajar menghuraikan sesuatu
pendapat secara umum dan dalam huraian umum tersebut terselitnya pula idea yang
sepatutnya dikehendaki oleh soalan. Apabila ditegur pelajar menjawab bahawa
mereka menyangka huraian tersebut boleh diterima sebagai idea. Hal ini berlaku
kerana pelajar tidak dapat membezakan antara gagasan pusat dengan huraian.
Gagasan pusat ialah tema yang mengandungi sesuatu permasalahan yang ditugaskan
kepada pelajar untuk menulis. Pelajar menulis begini,”salah satu sebab
berlakunya jenayah di negara kita ialah orang yang tidak bekerja ingin mencari
makan. Untuk mendapatkan makanan, pakaian dan perlindungan mereka terpaks
mencuri di taman-taman perumahan. Mereka mencuri barang-barang yang sempat
dicuri di rumah orang untuk mengalas perut. malah ada yang tidur di koriodor
rumah orang.” Dalam contoh huraian ini, pelajar tidak menulis idea secara
jelas. Sebenarnya pelajar ingin menulis idea begini,”jenayah dilakukan untuk
menampung keperluan hidup”. Jadi situasi ini jelas menunjukkan pelajar tidak
dapat membezakan atau memisahkan idea daripada huraian.
2.4 Tidak menggunakan olahan atau pemerengganan yang
betul
Memang menjadi amalan pelajar iaitu pelajar tidak
menggunakan bilangan baris yang seimbang bagi keempat-empat idea yang
dikemukakan. Pelajar lebih bias pada idea yang diminati dan disenanginya
sahaja. Jika pelajar mempunyai pembacaan yang banyak tentang sesuatu idea, maka
pelajar menulis huraian yang panjang. Jika idea tersebut sukar difahami maka
pelajar menulis huraian yang agak pendek. Hal ini menunjukkan pembacaan mereka
terbatas kepada bahan-bahan yang menjadi tarikan mereka sahaja. Dalam
peperiksaan keadaan seumpama ini menyebabkan pelajar kehilangan markah
‘impak’.Dalam tajuk karangan ini, “kelebihan negara-negara membangun mewujudkan
proses urbanisasi”, rata-rata pelajar mengemukakan dua idea iaitu, ‘proses
urbanisasi dapat menjamin pekerjaan’ dan ‘meningkatkan taraf hidup rakyat’.
Bagi idea yang pertama, pelajar telah menghuraikan banyak aspek seperti sektor
perkilangan, perkhidmatan, pusat pentadbiran dan pusat beli-belah kerana
kesemua kemudahan ini memerlukan banyak guna tenaga. Manakala bagi idea yang
kedua pula, pelajar tidak dapat menghuiraikan lebih lanjut. Mereka menulis, “
taraf hidup rakyat meningkat kerana mereka sudah mempunyai peluang pekerjaan”.
satu lagi kelemahan yang tertera di sini ialah pelajar mengulangi fakta yang
disebut dalam idea pertama.
2.5 Tidak menggunakan bahasa yang gramatis
Mengikut pengalaman penyelidik, pelajar-pelajar yang
memperoleh gred C dan ke bawah dalam bahasa Melayu di peringkat SPM, tidak
menggunakan bahasa yang gramatis dalam penulisan. Mereka sering terpengaruh
oleh bahasa ibunda dan bahasa basahan serta bahasa pasar. Antara kesilapan yang
kerap dilihat ialah struktur ayat yang meleret panjang tanpa tanda bacaan yang
betul, menggunaklan ejaan yang salah dan penggunaan diksi yang tidak betul.
Pelajar menulis begini,” …adalah menjadi satunya sebab mengapa Malaysia boleh
dikatakan negara maju kerana alam semuladinya belum dibuka habi-habis”. Contoh
ini mempamerkan kedangkalan pengetahuan pelajar dalam penggunaan kata, istilah,
tanda baca dan struktur ayat bahasa Melayu. Penggunaan bahasa yang salah boleh
menjejaskan pengungkapan makna. Penyelidik tidak memahami dengan tepat apakah
yang ingin disampaikan oleh pelajar ini. Ayat ini sepatutnya, “… Malaysia boleh
menjadi sebuah negara yang maju jika sumber-sumber alam dapat diterokai
sepenuhnya…” Satu lagi kesilapan yang menjadi trend sekarang ialah pelajar
hanya menulis sebaris ayat sahaja untuk pendahuluan dan penutup. Pelajar harus
ingat bahawa karangan ialah satu set wacana. Wacana ialah satu unsur bahasa
melebihi satu ayat. Jika pelajar menulis sebaris ayat sahaja, maka pelajar
gagal menulis wacana yang betul. Dalam hal ini markah bahasa pelajar berkenaan
akan dipotong.
3.0 Objektif Kajian
Kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji
1. gaya penulisan esei jenis fakta yang ditulis oleh
pelajar
2. strategi-strategi guru Pengajian Am menyelesaikan
masalah penulisan pelajar
3. gaya penyemakan esei jenis fakta oleh guru-guru
Pengajian Am
4.0 Soalan Kajian
Berdasarkan objektif tersebut soalan berikut telah
dikemukakan dalam kajian ini, iaitu:
1.Sejauh manakah penyemakan esei-esei Pengajian Am
jenis fakta dapat membantu meningkatkan kualiti esei pelajar- pelajar tingkatan
enam atas?
2.Apakah strategi pengajaran yang digunakan oleh
guru-guru Pengajian Am untuk menyelesaikan masalah penulisan pelajar?
3.Apakah gaya penyemakan yang digunakan oleh
guru-guru Pengajian Am apabila menilai esei pelajar?
5.0 Sorotan Literatur
5.1 Pengajaran Penulisan
Penulisan merupakan satu kemahiran yang penting
dalam pemerolehan bahasa. Penulisan bukan sahaja membantu pelajar dalam
akademik tetapi juga membantu mereka untuk mencari pekerjaan dalam pasaran
kerja nanti. Penulisan merupakan satu cabaran kepada guru dan pelajar kerana
masing-measing perlu mempelajari teknik-teknik penulisan yang lebih baik. Semua
guru bersetuju bahawa penulisan adalah sama penting seperti pembacaan, lisan
dan pendengaran. Bagaimanapun penulisan masih dianggap sebagai satu kemahiran
yang paling sukar untuk dikuasai oleh guru dan pelajar.Apabila guru mengajar
penulisan esei dalam kelas, mereka bukan sahaja mengajar pelajar menjana idea
untuk menulis tetapi juga mengajar mereka menggunakan bahasa yang betul untuk
mengungkapkan makna.
Lee (2005) berpendapat bahawa keberkesanan penulisan
tidak sekadar mengajar teori-teori penulisan dalam bilik darjah malah guru
perlu menggalakkan pelajar membuat penilaian kendiri. Penilaian kendiri ini
menyebabkan pelajar-pelajar dapat mengetahui ciri-ciri penulisan pelbagai genre
dalam bilik darjah. Dalam penilaian penulisan, guru dikehendaki menegur setiap
kesilapan yang dilakukan oleh pelajar sama ada secara mekanis, organisasi atau
bahasa. Untuk menegur kesilapan pelajar ini, guru boleh menggunakan satu sistem
penyemakan yang mempunyai ciri-ciri penulisan yang baik.
5.2 Penyemakan
Salah satu cara untuk menghasilkan penulisan esei
yang bermutu ialah guru perlu menyemak hasil tulisan pelajar dan memberi komen
secara konstruktif. Pada penghujung penyemakan, guru perlu menjelaskan
kepentingan komennya, kekuatan dan kelemahan penulisan pelajar. Penyemakan
merupakan satu penilaian untuk memberi informasi tentang gaya penyampaian
pelajar (Penny, 1996). Dalam konteks pengajaran, penyemakan merupakan informasi
yang diberi kepada pelajar mengenai tugas pembelajarannya. Keadaan ini dapat
membantu pelajar mengukuhkan gaya penyampaiannya. Penyemakan dan teguran oleh
guru bukan untuk melemahkan semangat pelajar untuk menghasilkan penulisan.
Pelajar akan memberi respons yang positif jika kesalahan mereka ditunjukkan dan
dibetulkan. Cara ini dapat membantu pelajar mempelajari cara penulisan dengan
lebih efektif (Roger, 2001).
Daripada kedua-dua definisi tadi ternyata bahawa
penyemakan dan teguran guru adalah amat berguna dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Di samping itu pelajar juga mempelajari bagaimana dapat menilai
diri mereka dan membantu diri mereka memupuk keyakinan dalam pembelajaran dan
setrusnya meningkatkan penyampaian mereka. Penyemakan dan teguran yang positif
ini menggalakkan pelajar terus berkarya (Grabe dan Kaplan, 1996). Jadi dalam
proses penulisan ini, guru sentiasa mendorong pelajar menulis esei-esei
sehingga mereka benar-benar mahir.
Penyemakan guru merupakan tunjang dalam penulisan
esei. Penyemakan dalam kajian ini dibataskan kepada penyemakan secara tidak
langsung, iaitu guru memberi komen umum dan pelajar mengesan sendiri kesilapan
mereka. Guru hanya menunjukkan lokasi-lokasi kesalahan dalam penulisan dengan
menggaris, mewarna, membulat dan sebagainya tanpa memberitahu kesalahan mereka
secara terang-terangan. Penyemakan tidak langsung ini membolehkan pelajar
menulis semula esei dan dihantar kepada guru untuk dinilai semula.
5.3 Penyemakan Secara Tidak Langsung
Pelajar-pelajar tidak boleh menulis esei tanpa
bimbingan guru. Penulisan ini bukan satu langkah tunggal tetapi merupakan satu
proses. Dalam proses ini pelajar memerlukan bimbingan, sokongan dan nasihat
guru daripada draf pertama hinggalah ke draf terakhir agar penulisan mereka
menjadi lebih sempurna dan mantap. Oleh itu pelajar memerlukan seseorang untuk
menyemak kesilapan yang dilakukan. Impresion dank omen yang diberikan oleh guru
adalah lebih baik berbanding rakan sebaya pelajar kerana teguran yang dibuat
oleh guru lebih menyeluruh dan meyakinkan pelajar untuk menulis draf-draf
seterusnya (Ferris, 2002) Guru memberi peluang kepada pelajar untuk membetulkan
sendiri kesalahan gramatis dan fakta dalam penulisan. Penyemakan dan teguran
guru tidak boleh dianggap sebagai langkah terakhir untuk pelajar menulis dan
menghantar penulisan. Penyemakan dan teguran ini hanya untuk draf-draf
berkenaan sahaja. Penyemakan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada
pelajar untuk memurnikan hasil penulisan mereka. Penulisan draf terakhir
bergantung kepada guru jika guru berpuas hati dengan penulisan pelajar
tersebut. Penulisan semula setelah dibuat pembetulan, akan mendorong pelajar
untuk mengubah sikap terhadap penulisan. Malah kaedah ini juga membantu pelajar
untuk mengemukakan idea dalam penulisannya dengan lebih jelas. (Chandler, 2003)
5.4 Ciri-Ciri Esei Jenis Fakta
5.4.1. Kejelasan dan Keterbacaan
Penulisan esei yang jelas ialah penulisan yang tidak
samar atau kabur dari segi makna. Idea dan fakta yang disampaikan oleh pelajar
adalah secara langsung,tersurat dan tidak mempunyai sebarang makna yang
tersirat. Esei mempunyai aliran fikiran yang teratur dan logik. Dalam konteks
ini pelajar menggunakan ayat-ayat yang pendek dan berasingan untuk setiap idea.
Justeru teks tersebut harus mempunyai hubungan timbale balik antara ayat
sebelumnya dan selepasnya (Penny, 1996)
5.4.2 Koheren
Koheren mempunyai tiga ciri iaitu keselanjaran,
kepautan dan kesatuan. Keselanjaran ialah pelajar menerangkan keteraturan
ungkapan idea dari mula hingga akhir bagi menyampaikan maksudnya. Kepautan
ialah hubungan kebahasaan antara idea penulisan sama ada antara satu ayat
dengan ayat lain dalam satu perenggan, atau perenggan dengan perenggan yang
lain. Untuk mewujudkan kepautan dalam teks, pelajar boleh menggunakan penanda
wacana seperti namun, maka, sungguhpun, bagaimanapun dan sebagainya (Ismail
Ahmad, 1996). Kesatuan merujuk kepada perkaitan fakta-fakta yang digunakan
untuk menyokong idea yang disampaikan mengikut topik esei.
5.4.3 Mudah dan Langsung
Gaya penulisan yang tidak berbunga-bunga dan pelajar
terus kepada maklumat yang disampaikan. Ayat yang mudah ialah ayat yang
mempunyai satu idea dalam sesuatu ayat. Ayat ini mempunyai satu subjek dan satu
predikat. Bilangan perkataan yang digunakan hendaklah minimum tanpa
mendatangkan kekeliruan atau keciciran maksud. Dalam konteks ini tiada
perkataan yang tidak diperlukan. Pendek kata ayat tersebut tidak janggal dan
harus mendukung makna (Gorys Keraf, 1984).
5.4.4 Variasi
Esei Pengajian Am terdiri daripada dua laras iaitu
laras sains dan laras sastera. Pelajar harus bijak menggunakan variasi dalam
ayat dan kosa kata. Jika tidak penulisannya akan menjadi monotomus. Variasi ini
menghilangkan kebosanan pembaca. Pelajar boleh membina ayat ringkas dan ayat
kompleks secara berselang-seli (Ismail Ahmad, 1996). Variasi kosa kata untuk
membezakan laras juga boleh digunakan seperti istilah-istilah khusus penyakit,
sains, teknologi dan sebagainya dalam laras sains dan istilah-istilah umum
dalam esei laras sastera.
5.5 Penilaian Teknik Penulisan Pelajar
Dalam penilaian penulisan, lima komponen kualiti
penulisan yang dianjurkan oleh Jacob (1981) telah digunakan oleh guru-guru.
Lima komponen tersebut ialah kandungan, organisasi, kosa kata, bahasa yang
gramatis dan mekanis. Kandungan bermaksud, pelajar harus mempunyai pengetahuan
mengenai topik yang ditulis, pembinaan tesis dan kerelevanan idea dengan topik.
Organisasi penulisan bermaksud pelajar menyampaikan idea dengan lancar, jelas
dan disokong dengan bukti-bukti yang nyata. Penulisan pelajar hendklah berpusat
(terarah), mempunyai binaan yang mantap, mempunyai urutan logik dan mempunyai
kesatuan. Kosa kata terdiri daripada pemilihan diksi, pemilihan kata-kata yang
bertenaga, penggunaan ungkapan yang segar, kepelbagaian kata dan menggunakan
laras yang betul mengikut topik karangan. Penggunaan bahasa gramatis bermaksud,
pelajar menggunakan jalinan ayat berdasarkan idea dan menyususn kata-kata
mengikut nahu yang betul. Manakala mekanis merujuk kepada penggunaan
tanda-tanda baca seperti noktah, koma, tanda soal, tanda seru, tanda ikat kata
dan sebagainya (Jacob, 1981)
6.0 Kaedah Kajian
Pendekatan yang telah digunakan dalam kajian ini
ialah kualitatif. Nota lapangan juga digunakan. Nota ini telah digunakan untuk
mencatatkan proses pengajaran dan pembelajaran termasuk kekuatan dan kelemahan
pengajaran penulisan. Prestasi pelajar dalam bilik darjah juga telah direkodkan
dan kemudian dibandingkan dengan hasil tulisan pelajar. Penyelidik juga telah
merekodkan bagaimana guru tersebut menyelesaikan masalah penulisan pelajar. Di
samping itu, penyelidik juga telah menyediakan borang pemantauan. Borang ini
telah diedarkan kepada guru-guru yang mengajar penulisan. Guru-guru perlu
menandakan ya atau tidak dalam ruangan aktiviti guru dan aktiviti pelajar.
Borang ini telah diedarkan sebanyak dua kali. Setiap kali guru masuk ke kelas,
guru tersebut membuat penyemakan dan teguran secara tidak langsung.
6.1. Instrumen Kajian
Instrumen dalam kajian ini ialah sebanyak 54 esei
yang ditulis oleh seramai 54 orang pelajar tingkatan enam atas di sebuah
sekolah menengah di Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Kesemua
instrumen ini telah disemak dan ditegur oleh guru-guru yang mengajar penulisan
Pengajian Am sebanyak dua kali. Penyelidik memantau instrumen yakni esei
pelajar sebelum dan selepas penyemakan dan teguran guru. Empat tajuk instrumen
telah ditetapkan. Kesemua instrumen ini adalah soalan perbincangan fakta STPM
tahun 2004 dan 2006. Instrumen tersebut adalah seperti berikut:
1. Rasional kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN).
2. Keperluan Malaysia menumpukan perhatian untuk
meningkatkan sektor perindustrian tanpa meminggirkan pertanian.
3. Alam sekitar yang kotor membawa pelbagai kesan
negatif kepada manusia.
4. Kelebihan negara-negara membangun mewujudkan proses
urbanisasi.
6.2 Perincian Penyemakan dan Teguran
Penyemakan dan teguran dibuat berdasarkan satu
panduan yang telah disediakan oleh penyelidik. Panduan tersebut terdiri
daripada 11 elemen pembetulan. Guru hanya menandakan kod-kod tertentu dalam
esei pelajar. Kod tersebut ialah PK- kesalahan pemilihan kata, KS-kesalahan
penggunaan kata sendi, KW-kesalahan penggunaan keterangan waktu,
PL-pertentangan logik, KE-kesalahan sistem ejaan. IM-kesalahan penggunaan
imbuhan, OL-kesalahan agihan perenggan mengikut idea atau huraian, ^ -perkataan
tercicir, ?-makna idea atau huraian samar atau kabur, BAIK-jika esei tersebut
baik dari segi perkataan, idea, huraian dan sebagainya dan SP-susunan perkataan
jika urutan ayat salah.
6.3 Prosedur Penyemakan dan Teguran Guru Terhadap
Penulisan Esei Pelajar
Prosedur yang telah digunakan dalam kajian ini
adalah seperti berikut:
1.Guru menerangkan karangan jenis fakta secara umum
dan menjelaskan kod-kod yang
digunakan oleh guru semasa menyemak esei pelajar.
2.Pelajar memikirkan kehendak soalan dan merangka
karangan
3.Pelajar menulis draf yang pertama
4.Guru memberi respons terhadap draf pertama dengan
memberi penekanan terhadap semua
aspek penulisan dan tumpuan khusus telah diberikan
pada penggunaan bahasa dan
organisasi esei. Kemudian guru mengembalikan esei
kepada pelajar.
5.Pelajar memberi perhatian pada kod dan komen yang
diberi oleh guru dan menulis semula esei buat kali kedua.
6.Sekarang draf pertama dan kedua telah dihantar
kepada guru.
7.Guru menyemak dan memberi respons terhadap draf
kedua serta memastikan pelajar dapat menulis esei dengan baik kali ini.
8.Setelah guru memulangkan draf kedua, pelajar
dikehendaki menulis semula esei mereka dengan melakukan pembetulan.
9.Guru memberikan gred dan memuji pelajar kerana
telah menyiapkan draf terakhir.
7.0 Skop Kajian
Secara khususnya kajian ini menyelidik sama ada
kebolehen penulisan pelajar meningkat atau tidak setelah penulisan tersebut
menerima penyemakan dan teguran guru. Penyemakan dan teguran yang diberikan
adalah secara tidak langsung. Semua esei pelajar telah dinailai berdasarkan dua
aspek penilaian penulisan iaitu bahasa yang digunakan oleh pelajar dan
organisasi karangan. Aspek lain yang dikaji ialah penulisan esei jenis fakta iaitu
esei laras sains dan sastera. Hanya dua aspek ini sahaja diberikan perhatian
kerana berdasarkan pra pemantauan, penyelidik telah mendapati hamper semua
pelajar mempunyai masalah dalam aspek penulisan dan pelajar boleh mengukuhkan
keupayaan menulis jika guru membantu dengan memberikan penyemakan dan teguran
yang membina. Responden dalam kajian ini ialah seramai 54 orang pelajar dari
tiga buah kelas tingkatan enam atas. Instrumen yang digunakan ialah 27 buah
esei laras sains dan 27 buah esei laras sastera.
8.0 Dapatan Kajian
Berdasarkan pemantauan penyelidik, sebelum
penyemakan dan teguran terdapat banyak kesalahan penulisan esei dilakukan oleh
pelajar khususnya dalam penggunana bahasa dan organisasi esei. Masalah pelajar
dalam penulisan esei telah dihuraikan dalam bahagian latar belakang kajian.
Tajuk karangan yang sama telah diberi kepada pelajar dalam kajian ini supaya
penyelidik dapat memastikan prosedur penyemakan dan teguran yang dianjurkan
oleh penyelidik dapat membantu pelajar meningkatkan kualiti penulisan. Empat
tajuk esei yang dinilai ialah:
1. Rasional kerajaan melaksanakan Program Latihan
Khidmat Negara (PLKN).
2. Keperluan Malaysia menumpukan perhatian untuk
meningkatkan sektor perindustrian tanpa meminggirkan pertanian.
3. Alam sekitar yang kotor membawa pelbagai kesan
negatif kepada manusia.
4. Kelebihan negara-negara membangun mewujudkan
proses urbanisasi.
Berikut ialah hasil penulisan yang telah melalui
penyemakan dan teguran sebanyak dua kali yakni setelah menyiapkan dua draf.
Penyelidik dapat mengkaji esei yang telah dimurnikan oleh pelajar. Pelajar
telah memperlihatkan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan dalam penulisan
esei mereka.
Pertama, sebelum memilih tajuk esei, pelajar telah
sedar bahawa mereka perlu mempunyai pengetahuan yang secukupnya mengenai tajuk
yang dipilih. Terdapat beberapa orang pelajar telah menguasai beberapa bidang
pengetahuan dengan mendalam seperti kawalan biologi, alam sekitar, urbanisasi
dan PLKN. Pelajar sedar bahawa pengetahuan am sahaja tidak memadai untuk menghasilkan
esei yang berkualiti malah mereka perlu menguasai pelbagai bidang. Penyelidik
mendapati sebilangan pelajar menyediakan fail-fail tertentu untuk menyimpan
segala catatan, keratan akhbar dan salinan fotostat bahan sebagai rujukan
mereka.
Kedua, pelajar berjaya memahami kehendak soalan
esei. Didapati pelajar-pelajar menggaris atau mewarna kehendak soalan dan kata
kunci soalan dalam tajuk esei. Mereka juga dapat membezakan konsep-konsep
supaya mereka tidak terjebak atau sesat fikiran. Hal ini membolehkan pelajar
tidak menyimpang daripada persoalan utama atau tema esei. Pelajar dapat
membezakan penyataan soalan dengan kata kunci soalan. Mereka sedar bahawa
penyataan soalan adalah untuk mencungkil idea untuk menulis esei. Ada kalanya
dalam penyataan soalan juga terdapat kehendak soalan. Hal ini dapat difahami
oleh pelajar.
Ketiga, pelajar juga berjaya mewujudkan koheren
dalam penulisan mereka. Esei pelajar sememangnya tertumpu pada tajuk. Oleh itu
ketika memilih idea-idea, mereka amat berhati-hati. Di samping itu esei pelajar
memperlihatkan keseimbangan dan pembahagian fakta dengan tepat. Mereka berjaya
membahagikan bilangan baris bagi setiap huraian ideanya. Kebanyakan pelajar
mencatatkan sekurang-kurangnya empat huraian kecil bagi setiap idea. Mereka telah
berjaya menggabungkan ayat-ayat shingga menjadi perenggan atau satu wacana.
Keempat, pelajar telah berjaya membezakan idea sains
dengan idea sastera. Setelah disemak dan ditegur oleh guru dalam kedua-dua draf
sebelum ini, pelajar telah mengemukakan idea laras sastera seperti tindakan
undang-undang, sikap, kos dan kempen bagi esei laras sastera. Pelajar juga
berjaya mengemukakan idea sains seperti bahan fosil, pembangunan lestari,
amalan kitar semula, merawat sisa-sisa industri dan bahan kumbahan.
Kelima, pelajar juga telah menguasai mekanis
penulisan esei. Setelah disemak dan ditegur oleh guru, pelajar sangat
berhati-hati apabila menggunakan kata, frasa dan ayat. Pelajar telah mencuba
menggunakan sistem ejaan, imbuhan dan tanda baca dengan betul. Ayat-ayat
terbalik jarang-jarang ditemukan dalam penulisan esei. Pelajar juga
berhati-hati menggunakan perkataan kerana mereka sedar bahawa penggunaan
perkataan yang salah boleh membawa kepada makna yang salah. Dari segi olahan
pula, pelajar mencuba sedaya-upaya menghuraikan satu idea dalam satu perenggan
sahaja.
9.0 Perbincangan
Input-input guru yang mengajar penulisan esei adalah
sangat penting untuk memupuk dan mencungkil minat pelajar menulis esei dengan
baik dan mantap. Penyemakan dan teguran yang dibuat oleh guru adalah dua input
yang amat berkesan dalam pengajaran penulisan dengan lebih berkesan. Memang
tidak dapat dinafikan guru-guru sekarang menyemak esei pelajar dengan teliti.
Namun masih terdapat sebilangan guru menyemaknya secara sambil lewa dan tidak
bersungguh-sungguh. Mereka tidak membantu pelajar mengesan dan mengenal pasti
lokasi-lokasi kesalahan dalam karangan. Malah ada yang memberikan markah atau
gred secara keseluruhan tanpa memperincikan markah mengikut aspek-aspek
penulisan.
Kajian ini berjaya mengemukakan satu prosedur yang
membantu guru-guru dalam menyemak esei pelajar. Guru-guru tidak boleh memberi
alasan bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk membaca draf esei pelajar
sebanyak dua kali. Hal ini kerana mereka terpaksa mengajar lebih daripada dua
kelas. Kaedah ini boleh digunakan sebulan sekali. Setiap kali guru masuk ke
kelas untuk mengajar kertas dua, guru boleh mengambil sedikit masa untuk
membuat teguran. Kerja-kerja penyemakan boleh dilakukan sewaktu guru lapang.
Teguran boleh dibuat dalam kelas. Lagipun guru tidak perlu bersyarah untuk
membuat teguran tersebut kerana guru telahpun menyemak esei tersebut secara
tidak langsung dengan menggunakan kod-kod yang telah ditetapkan.
Proses penulisan dalam hidup pelajar adalah satu
proses jangka panjang. Penulisan tidak terhenti di sekolah ataupun di dewan
peperiksaan sahaja. Apabila pelajar menjadi seorang dewasa dan berkerjaya, maka
penulisan tersebut masih diperlukan seperti menulis laporan prestasi
organisasi, surat-menyurat, permohonan jawatan dan sebagainya. Seperti mana
disentuh dalam pengenalan kajian ini, penguasaan pelajar dalam bidang penulisan
esei membantu mereka mendapatkan markah yang tinggi dalam peperiksaan STPM
nanti.
Penulisan esei yang efektif membantu pelajar dalam
subjek-subjek lain seperti mata-mata pelajaran sains dan kemanusiaan. Penulisan
esei Pengajian Am menuntut supaya pelajar menggunakan bahasa dengan baik untuk
melahirkan idea. Idea yang dicetuskan itu pula memerlukan satu mekanisme untuk
menghuraikannya. Tanpa penguasaan bahasa sudah tentu pelajar tidak dapat
menghasilkan esei yang bermutu. Jadi para pendidik hendaklah memberi penekanan
pada penguasaan bahasa pelajar. Di samping itu sebagai pendidik kita juga
hendaklah sentiasa menggalakkan pelajar untuk membaca, meneroka dan mencari
idea-idea baru bagi sesuatu tajuk yang diberi. Dalam hal ini pusat sumber
sekolah, perpustakaan awam, pembelian majalah dan surat khabar oleh sekolah
bolehlah dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru.
Input-input penyemakan dan teguran sama sekali tidak
boleh dipandang enteng oleh para guru. Pelajar sangat suka jika kerja mereka
ditegur secara membina dan positif. Pelajar memang ingin belajar daripada
kesilapan mereka. Maklum balas positif ini merupakan satu penilaian umum dan
memberi informasi kepada pelajar untuk menghindarkan kesilapan-kesilapan
pelajar dalam penulisan pada masa akan datang. Penyemakan dan teguran guru
memudahkan mereka untuk merungkaikan masalah penulisan pelajar iaitu pelajar
dapat memahami kehendak soalan karangan, pelajar dapat membezakan idea sains
dengan idea sastera, pelajar dapat membezakan idea dengan huraian, pelajar
dapat menggunakan olahan atau pemerengganan yang betul dan dapat menggunakan
bahasa yang gramatis
10.0 Kesimpulan
Secara keseluruhan, kajian ini telah menunjukkan
bahawa input penyemakan dan teguran guru yang positif dalam penulisan esei
telah membantu pelajar menghasilkan penulisan esei yang menepati ciri-ciri
penulisan esei fakta iaitu koheren, jelas, mudah difahami dan bervariasi. Input
mereka juga menjadikan esei pelajar lebih terorganisasi dan pelajar dapat
menguasai teknik penulisan esei jenis fakta dengan berkesan. Kajian ini juga
telah berjaya mencapai objektifnya iaitu pelajar dapat mempelajari gaya
penulisan esei jenis fakta, guru-guru dapat mengetahui strategi-strategi untuk
menyelesaikan masalah penulisan pelajar dan guru-guru juga dapat mengetahui
gaya penyemakan esei jenis fakta.
RUJUKAN
Chandler, J. (2003). The efficacy of various kinds
of error feedback for improvement in the accuracy and fluency of L2student
writing. Journal of Second Language Writing, 12(3), 267-296.
Ferris, D. R. (2002). Treatment of Error in Second
Language Student Writing. Ann Arbour: University of Michigan Press.
Gorys, Keraf.(1984). Diksi dan Gaya Bahasa-
Komposisi Lanjutan. Penerbit Gramedia :
Jakarta
Grabe, William & Robbert B. Kaplan. 1996. Theory
and practice of Writing. United States of America. Addison Wesley Longman.
Ismail Ahmad (1996). Penulisan Saintifik. Dewan
Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur
Jacob (1981). Testing composition Profile: A
Practical Approach. Rowley MA. New Bury
House
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2007).
http://online2.mohe.gov.my/stpm/panduan/bkpk
Lee, Icy. 2005. Enhancing the Effectiveness of
Teacher Feedback in the Secondary Writing
Classroom. Chinese University of HongKong.
Majlis Peperiksaan Malaysia (2006,2007,2008) Laporan
Prestasi Calon STPM. MPM:
Selayang
Penny. (1996). A Course in Language Teaching
Practice and Theory. Cambridge Teacher
Training and Development. United Kingdom: Cambridge
University Press.
Roger, Jenny. 2001. In Adults Learning; Buckingham:
Open University Press (online). Retrieved
on January, 23 2008. http://www.findarticles.com/
articles/feedback/
No comments:
Post a Comment