KARANGAN CONTOH
Walaupun peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia telah ditunda, namun
pelajar-pelajar hendaklah meneruskan usaha-usaha menelaah pelajaran dari
sekarang. Huraikan kaedah-kaedah yang lebih berkesan untuk menelaah pelajaran.
Sijil
Pelajaran Malaysia ataupun SPM merupakan satu instrumen yang paling penting
dalam hidup setiap remaja di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana
peperiksaan inilah yang akan menentukan masa depan pelajar mengikut minat dan
potensi yang ada. Untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM, bukanlah
suatu perkara yang mudah. Namun bak kata pepatah, alah bias tegal biasa, iaitu
jika seseorang pelajar menunjukkan iltizam, sudah pasti kejayaan cemerlang
dalam genggaman mereka. Dalam mencapai hasrat ini, pengursan masa adalah sangat
dominan. Kekadang pelajar terpaksa berjaga malam untuk menelaah pelajaran pada
saat akhir. Keadaan seumpama ini
pastinya menambahkan kegelisahan dalam persediaan menempuh peperiksaan pada
keesokan harinya. Oleh itu terdapat
pelbagai kaedah untuk mereka menelaah pelajaran. Jika tidak dipecahkan ruyung
manakan dapat sagunya. Jadi bagi mencapai setiap satu visi, pasti ada misinya.
Antara teknik menelaah singkat yang
dapat dilakukan adalah dengan membaca nota secara berfokus dan pantas di
samping mencatat serta hanya mengingati isi-isi penting. Menurut Dr. Hassan Haji Mohd Ali, penulis
buku ‘Strategi Lulus Peperiksaan dengan Cemerlang’, fokus ialah tonggak utama ketika
belajar pada saat akhir. Hal ini dikatakan demikian kerana tanpa kosentrasi
yang sepenuhnya, mental pelajar akan mudah dipengaruhi oleh rasa kurang
yakin. Tambahan pula kurang konsentrasi ini
akan mengheret pelajar ke dunia khayalan atau fantasi yang lain. Hal ini nescaya
mengganggu usaha untuk menjawab soalan peperiksaan dengan baik pada hari peperiksaan
nanti.
Selain itu, membuat latihan pengukuhan dapat
membantu penguasaan sesuatu mata pelajaran terutama dari segi teknik menjawab
soalan peperiksaan. Pelajar hendaklah melakukan
banyak latihan walaupun mereka dihimpit kekangan masa. Sambil menelaah, pelajar
hendaklah menguji kefahaman mereka dan memberi penilaian kendiri terhadap keupayaannya. Ukuran
sebegini dapat menjadikan pelajar agar lebih berfokus kepada persoalan yang
sukar atau topik yang kurang dikuasai.
Melalui cara ini pelajar dapat membaiki kelemahan diri dalam sesuatu
topik. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jadi pelajar
hendaklah rajin mengatasi kelemahan mereka.
Di samping itu, pelajar boleh
menganalisis kekerapan soalan tahun-tahun lepas untuk mendapatkan gambaran
tentang corak dan gaya soalan yang diajukan.
Malahan teknik belajar dengan mengingati nota ringkas yang dibuat dapat
membantu pelajar untuk mengingati informasi yang banyak dengan cara yang pantas
dan mudah. Cara pembelajaran seperti ini
dapat dilakukan dengan menyediakan peta minda atau carta alir bagi membantu
memori untuk menyimpan maklumat dengan lebih lama melalui kesan visual yang terdapat pada nota ringkas
berkenaan. Amalan mewarnakan perkataan
penting dengan warna yang terang menggunakan pen atau menggariskannya merupakan
salah satu elemen grafik yang dapat membantu pelajar untuk mengingat dengan
lebih baik. Malah peta minda yang
diajarkan di sekolah oleh guru-guru hendaklah dijadikan panduan untuk
menyediakan nota pendek. Teknik ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga
akan memperlihatkan hasil yang lebih positif dan berkualiti.
Lanjutan daripadanya ialah, pembacaan
yang pantas dan efektif. Cara seumpama
ini sesuai dilakukan jika sesuatu subjek yang ditelaah itu sesuatu topik yang mudah
difahami dan pembacaan dibuat hanya untuk mengukuhkan lagi ingatan terhadap
mata pelajaran tersebut. Terdapat banyak
kaedah dalam Internet iaitu pelajar hanya membaca secara sekilas tetapi mereka
mudah memahaminya dalam sekelip mata. Walaupun kaedah ini memerlukan masa untuk
dilatih, namun kesannya cukup memberangsangkan. Untuk menguasai kaedah ini,
pelajar sayugianya menguasai bahasa dengan lancar dan fasih.
Seterusnya,
belajar dalam kumpulan juga dapat menjana percambahan idea tentang sesuatu
topik yang ditelaah. Dalam sesuatu kumpulan
perbincangan pasti ada beberapa orang pelajar yang mahir dalam sesuatu topik.
Pelajar yang lemah boleh belajar daripada mereka yang mahir. Kaedah perkongsian
maklumat seperti ini menjadi lebih berkesan berbanding belajar bersendirian.
Hal ini dikatakan demikian kerana belajar secara bersendirian atau bersolo
lebih membebankan minda terutama jika ada sesuatu yang tidak difahami. Jadi pelajar
boleh mengadakan perbincangan secara tidak formal bagi mendapatkan pandangan daripada
rakan kumpulan. Jika ahli kumpulan tidak dapat membantu, maka pelajar boleh
mendapatkan nasihat daripada guru-guru
yang mengajarkan mata pelajaran berkenaan.
Tuntasnya, tidak kira sesingkat mana
pun tempoh untuk menelaah yang ada. Jika pelajar memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya, maka otak mereka tidak perlu
disumbat dan dibebankan dengan data dan fakta yang padat. Oleh itu pelajar
hendaklah merancang teknik pembelajaran supaya lebih bersistematik sejak awal
lagi untuk mengelakkan berlakunya tindakan menelaah secara teruburu-buru. Pelajar hendaklah merancang penelaahannya untuk mencapai keputusan akademik yang
cemerlang. Pelajar jangan lagi memberikan pelbagai alasan untuk memulakan penelaahannya
dari sekarang, bak pepatah, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
(700
patah perkataan)
No comments:
Post a Comment