Friday, May 15, 2020

KARANGAN: PEMULIHARAAN ALAM FAUNA DAN FLORA-Dr.R.Dhanapal


Pengerusi Kelab Pencinta Alam,
SMK Tinggi Bukit Mertajam,
Jalan Sri Bukit,
14000 Bukit Mertajam,
Pulau Pinang.

Yang Dipertua,
Majlis Bandaraya Seberang Perai,
Bandar Perda,
14000 Bukit Mertajam,
Pulau Pinang.                                                                                               16  MEI 2020


Tuan Yang Dipertua,


PEMULIHARAAN ALAM FAUNA DAN FLORA

Dengan segala hormatnya, saya ingin menarik perhatian tuan berhubung dengan isu di atas, yang sejak belakangan kian banyak dilaporkan dalam media arus perdana dan media sosial.
       
2.       Terlebih dahulu saya bagi pihak sekolah ingin mengucapkan tahniah kepada MBSP kerana iltizam pihak majlis dalam mewujudkan bandar Bukit Mertajam sebagai sebuah bandar lestari. Pihak tuan juga telah melakukan pelbagai usaha untuk mengindahkan persekitaran bandar ini di samping membersihkan dan menceriakan suasana di seluruh bandar Bukit Mertajam yang kita sayangi. Petugas-petugas majlis juga membersihkan sungai-sungai yang tersekat aliran air di samping membuang semua sampah yang dihanyutkan dalam sungai-sungai ini. Bagaimanapun akibat sikap sesetengah penduduk yang tidak berhati perut, alam sekitar kita sentiasa dirosakkan termasuklah flora dan fauna di kawasan-kawasan hutan lipur seperti Hutan Lipur Cherok Tok Kun. Perbuatan mereka ini menyebabkan biodiversiti dan ekosistem makin terganggu.

3.   Tidak dapat dipastikan dengan tepat jumlah spesies flora dan fauna di hutan ini.  Bagaimanapun jumlah spesies di sini kian pupus akibat aktiviti manusia seperti pemusnahan habitat dan pembuangan sisa bertoksid sehingga berlakunya  pencemaran. Pohon-pohon malar hijau di hutan ini didapati layu dan kering. Fauna seperti kera dan monyet terpaksa keluar dari hutan untuk mencari makanan. Spesies ini juga mengganggu dan mengejar orang awam apabila spesies ini kelaparan.  

4.    Kawasan hutan ini juga kian pupus akibat pelbagai faktor seperti pembalakan haram, pembakaran hutan, pembukaan tanah baharu, pemburuan secara haram dan peningkatan suhu. Pembakaran hutan secara terbuka serta pembukaan tanah baharu turut memusnahkan tumbuh-tumbuhan di hutan. Pemburu tanpa lesen juga menjadi faktor apabila mereka membunuh spesies kera dan membawa masuk ke sempadan negara untuk dijual di Thailand. Penduduk di sekitar hutan juga pernah mengadu bahawa terdapat pergerakan lori-lori hantu terutama sekali pada waktu malam untuk mengangkut kayu-kayu balak dari hutan ini.

5.   Tindakan memelihara spesies flora dan fauna di hutan ini membabitkan prakarsa banyak pihak. Yang penting ialah orang ramai perlu dididik dan perlu mempunyai rsaa bertanggungjawab terhadap hutan ini. Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pemburu-pemburu haram. Di samping itu pihak majlis juga hendaklah memantau keselamatan hutan ini dan mengheret mereka yang bersalah ke muka pengadilan. Hukuman yang berat perlu dikenakan terhadap mereka yang cuai dan ingkar.

6. Kawasan hutan ini perlu diwartakan sebagai tempat perlindungan spesies kera. Oleh hal yang demikian satu kajian terperinci perlu dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan jumlah sebenar populasi flora dan fauna di hutan ini. Pihak majlis boleh mengadakan koloborasi dengan Jabatan Alam Sekitar dan universiti tempatan untuk memurnikan kajian tersebut. Dapatan kajian hendaklah dibentangkan kepada orang ramai melalui media agar mereka  mendapat kesedaran tentang pemeliharaan hutan secara holisitik.

Saya bagi pihak sekolah sangat berharap pihak MBSP memainkan peranan yang lebih proaktif demi kepentingan alam flora dan fauna. Janganlah nanti, sudah terhantuk baru terngadah.  Atas segala pertimbangan dan kerjasama pihak MBSP, saya mendahului dengan ucapan jutaan terima kasih.


Sekian. Terima kasih.


Yang benar,


………………………
(DHANAPAL RENGSAMY)
Pengerusi Persatuan Pencinta Alam,
SMK Tinggi Bukit Mertajam.



(514 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment