Wednesday, May 13, 2020

KARANGAN PENDEK : KEBIASAAN BAHARU (NEW NORMAL) OLEH DR.R.DHANAPAL



KARANGAN PENDEK : KEBIASAAN BAHARU (NEW NORMAL)
OLEH DR.R.DHANAPAL

Pendemik Covid 19 telah dan sedang menguji banyak kesabaran kita. Makin hari kita menghadapi pelbagai cabaran ekoran wabak ini. Setelah disaring dan didapati seseorang itu bebas daripada jangkitan, tiba-tiba orang tersebut dijangkiti virus ini. Kita tidak dapat menduga dan menjangka penularan jangkitan virus ini. Baru-baru ini beberapa orang pelajar IPT yang telah dikuarantinkan di Semenanjung, apabila tiba sahaja di Sabah, dua daripada mereka dijangkiti virus ini. Kita hendaklah lebih berhati-hati dengan wabak ini. Kita hendaklah membiasakan diri kita dengan keadaan yang baharu sekarang. Inilah yang dilaungkan oleh kerajaan supaya kita mesti mengubah kepada kebiasaan baharu atau new normal

Jika kita menerima sepucuk surat daripada posmen atau apa jua bungkusan daripada perkhidmatan pos atau kurier, penerima hendaklah menggunakan sanitasi dan bersihkan surat atau bungkusan terlebih dahulu sebelum membukanya. Jika kita ke kedai runcit atau ke pasar raya untuk membeli barang keperluan,, kita hendaklah menyediakan  senarai barangan terlebih dahulu. Setelah pembelian, kita hendaklah terus menuju ke kereta dan balik ke rumah. Kita sama sekali tidak dibenarkan berbual seketika walaupun dengan kenalan kita.

Banyak sektor pekerjaan telah ditutup. Pelabur terpaksa gulung tikar. Rakyat pula terpaksa hidup dalam keadaan tertekan dan ada yang mengalami masalah kemurungan atau depression. Mengikut Ketua Perangkawan  Malaysia, hampir 46.6% daripada 168,182 responden yang menyertai kajiannya mengakui kehilangan pekerjaan kesan daripada wabak berkenaan. Pekerja asing yang berada di sini turut mengalami  masalah kehilangan pekerjaan jika pendemik Corona ini berterusan. Jika mereka kehilangan pekerjaan, dalam tempoh 60 hari mereka dikehendaki mencari pekerjaan lain. Jika tidak mereka dikehendaki menukar status visa mereka daripada visa pekerjaan kepada visa sosial. Di Amerika sahaja, sejak dua bulan yang lalu, seramai 33.5 juta orang telah kehilangan pekerjaan. Pekerja asing termasuk dalam statistik ini.

Rakyat kita dalam keadaan ketakutan akibat ketidaktentuan ini. Difahamkan juga, setelah pendemik ini berkurangan, cara hidup kita juga terpaksa ditukarkan. Aplikasi seperti Zoom akan memainkan peranan yang vital dalam hidup kita nanti. Ibu bapa tidak berani lagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Pihak sekolah pula hendaklah mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Pihak sekolah juga hendaklah sentiasa menjamin kebersihan sekolah dan mengehadkan bilangan pelajar dalam sesebuah kelas. Jika kita mengecilkan bilangan pelajar, kekangan seterusnya ialah ketidakcukupan guru dan logistik. Walaupun ada yang mencadangkan supaya pihak sekolah menggunakan dewan, tetapi bagaimana kualiti dan signifikan pengajaran dan pembelajaran nanti. Jadi kebanyakan bilik darjah hendaklah  diubah kepada kelas-kelas dalam talian. Bukan semua keluarga mempunyai kemudahan Internet dan mampu membeli peranti untuk mengakses kelas-kelas talian.

Mengikut ahli-ahli ekonomi tempatan, negara memerlukan sekurang-kurang dua tahun lagi untuk memulihkan ekonomi yang kian terancam oleh wabak ini. Pemberian kerajaan seperti Bantuan Prihatin Nasional, walaupun tepat pada masanya, tetapi itu masih tidak cukup untuk masyarakat meneruskan kelangsungan hidup mereka. Masyarakat kita khususnya mereka yang makan gaji dengan swasta, berniaga dan masyarakat  marhaen khususnya golongan B40 dan ke bawah amat memerlukan satu alternatif untuk menjamin pendapatan mereka.

(397 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment