Pendidikan dan Integrasi
Sebelum Penyata Razak 1956 diperkenalkan negara kita
tidak mempunyai satu asas atau satu sistem pendidikan kebangsaan. Senario yang
wujud pada ketika itu ialah terdapat empat aliran pendidikan yang berlainan
iaitu aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India. Golongan India telah menggunakan
sukatan pelajaran dari negara asal mereka untuk diajar kepada anak-anak mereka
di sekolah-sekolah Tamil (Santhiram, 1999). Begitu juga dengan kaum Cina dan
Melayu. Hal ini telah menyebabkan wujudnya ketidakseragaman dari segi jati diri
Malaysia dan fahaman Kemalaysiaan. Sebagai contohnya negara China mengamalkan
fahaman komunisme dan sukatan pelajaran mereka terbawa-bawa ke negara kita.
Malah terdapat juga penggunaan bahasa penghantar yang tidak seragam. Hal ini
telah menyebabkan setiap kaum hanya tahu bercakap dalam bahasa ibunda
masing-masing sahaja. Keadaan ini mendorong kepada segregasi dan polarisasi
dalam kalangan pelbagai kaum. Kekangan dan rintangan ini telah memberikan satu
impak buruk dalam pembentukan perpaduan kaum di Malaysia.
Oleh hal yang demikian, langkah-langkah yang lebih
proaktif perlu diambil memandangkan perpaduan di negara kita ialah satu
keunikan untuk mengecapi pembangunan negara. Antara langkah yang saya syorkan
sebagai seorang pendidik ialah saya akan mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Sebagai seorang pendidik saya
mencadangkan supaya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di semua
sekolah hendaklah ditekankan. Bahasa Melayu yang mula diperkenalkan di semua
sekolah rendah pada tahun 1970 mula kehilangan taringnya. Sebagai seorang
pendidik di sekolah menengah saya akan menekankan penggunaan bahasa Melayu
dalam semua urusan pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran dan komunikasi
dengan pelajar.
Subjek Pengajian Am yang saya ajar di sekolah amat
memerlukan pelajar-pelajar saya mengemukakan pandangan yang konstruktif dan
berhujah tentang isu-isu semasa dalam bahasa Melayu. Saya amat percaya hanya
melalui bahasa tersebutlah perpaduan dalam kelas dapat diwujudkan. Saya
mendapati apabila pelajar menggunakan bahasa Melayu, mereka dapat merasakan
semangat kekitaan. Kelebihan ini tidak dapat dilihat apabila mereka menggunakan
bahasa ibunda ataupun bahasa Inggeris. Bahasa Melayu amat memudahkan mereka
berkomunikasi antara kaum dan memudahkan saya menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Penggunaan bahasa Melayu memberikan kefahaman dan rasa saling memahami sambil
dapat menghindarkan rasa curiga antara satu sama lain kerana mereka dapat
berinteraksi dengan menggunakan satu bahasa tunggal iaitu Bahasa Melayu.Saya
juga menekankan perpaduan melalui aktiviti kokurikulum. Saya amat percaya
bahawa aktiviti kokurikulum akan dapat melahirkan insan generasi yang dapat
menghargai perpaduan dan bermoral tinggi agar tidak berulang lagi peristiwa 13
Mei 1969.
Baru-baru ini saya telah menganjurkan Perkhemahan
Perdana untuk 45 orang pelajar yang terdiri daripada peibagai kaum. Setiap
khemah terdiri daripada lima orang peserta berbilang kaum. Saya mencuba
menyemai bibit-bibit toleransi, saling memahami, saling menghormati budaya,
agama dan taboo dalam masyarakat berbilang kaum. Saya mendapati pelajar tidak
menghadapi sebarang masalah sama ada sewaktu berada dalam khemah ataupun
sewaktu mengadakan aktiviti lain seperti meredah hutan, persembahan budaya,
permainan dan pertandingan. Saya mendapati aktiviti kokurikulum ini berjaya
merapatkan hubungan pelbagai kaum. Impak program ini memang positif apabila
saya mendapati tidak ada kejadian-kejadian menghina, mengejek, menyindir
sesuatu bangsa dalam kalangan pelajar.Saya akan memastikan bahawa objektif
utama sistem pelajaran kebangsaan adalah untuk memenuhi keperluan negara dan
menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya. Sebagai
pendidik saya akan memastikan pelajar-pelajar saya bersatu padu, berdisiplin
dan terlatih. Saya akan melatih pelajar saya memiliki kemahiran supaya mereka
dapat menceburi pelbagai bidang termasuk dalam bidang sains dan teknologi tanpa
mengira kaum.
Saya sedar bahawa salah satu punca perpecahan kaum
ialah agihan sumber manusia yang tidak seimbang. Sebagai seorang pendidik
ketika mengajar dalam kelas, saya menggalakkan pelajar yang berbilang bangsa
mengenali, memahami dan menghormati kebudayaan, sosial dan world view sesuatu
kaum. Saya akan sentiasa memastikan tiada sebarang pembaziran tenaga kerja
akibat terlalu ramai murid yang cicir daripada alam persekolahan pada usia yang
muda sehingga mengurangkan potensi kerja negara. Saya pernah ke rumah murid di
ladang dan di kampung untuk mencari murid yang enggan datang ke sekolah. Saya berbuat
demikian kerana saya tidak mahu melihat ketidakseragaman kaum dalam agihan
tenaga kerja.Sebagai pendidik saya telah dan akan memberi perhatian khas kepada
pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik khususnya pelajar kawasan luar
bandar. Saya faham bahawa pelajar kawasan luar bandar dan pinggir bandar amat
lemah konsep kendiri dan relians kendiri mereka. Kelemahan inilah yang menjadi
punca wujudnya perbezaan dalam kesediaan intelek pelajar.
Sebagai seorang pendidik saya akan memudahkan proses
pengajaran mengikut kemahiran dan pengetahuan murid yang lemah supaya mereka
dapat menguasai kemahiran asas yang digariskan dalam KBSR dan KBSM. Saya akan
memberikan peluang yang secukupnya kepada murid-murid yang memerlukan
pemulihan. Sebagai pendidik saya harus ingat bahawa murid datang ke sekolah
bukan untuk mendapatkan bilangan A yang boleh dibanggakan, tetapi penguasaan
kemahiran asas pembelajaran dan pembinaan keyakinan diri, konsep kendiri dan
relians kendiri dalam diri mereka agar murid dapat menghadapi cabaran dan
persaingan dengan kaum-kaum lain apabila meninggalkan bangku sekolah
nanti.Perpaduan dalam kalangan pelajar dapat diwujudkan dengan pelaksanaan
kurikulum dan peperiksaan yang seragam di semua sekolah tanpa mengira sama ada
sekolan kerajaan ataupun sekolah swasta (Abdul Rahim b. Abdul Rashid, 2002).
Sebagai bekas guru di sekolah rendah saya pernah
mendapati kebanyakan guru tidak melaksanakan KBSR. Alasan mereka ialah
penyediaan pelbagai bahan pengajaran mengikut tahap kebolehan pelajar mengambil
masa dan membebankan. Bagi saya jika pelajar-pelajar tidak dapat mengikuti
kemahiran berkomunikasi seperti bertutur dan menulis, maka sudah pasti mereka
tidak dapat berhubung dengan kaum-kaum lain. Hal ini mengekang perpaduan dalam
kalangan pelajar. Sayugia diingatkan setiap guru termasuk saya hendaklah
melaksanakan KBSR yang menekankan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta
melaksanakan juga KBSM. Kemahiran-kemahiran bersepadu yang ditekankan dalam
KBSM perlu dikuasai oleh setiap pelajar agar mereka dapat berdiri sama tinggi
dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di negara ini. Salah satu asas
dalam perpaduan ialah perkongsian maklumat. Pelajar yang gagal dalam sistem
KBSM, sudah pasti tidak dapat berhujah, berkongsi pendapat dengan rakan mereka
daripada bangsa lain.
Perpaduan yang sedia terjalin antara kaum pada hari
ini adalah hasil daripada kemerdekaan negara daripada penjajahan. Sebagai
pendidik saya wajib memainkan peranan saya untuk memastikan kesinambungan
kemerdekaan melalui pemupukan semangat juang serta jati diri tinggi dan
mengamalkan cara hidup berlandaskan prinsip Rukun Negara. Rukunegara
menjelaskan komitmen asas bagi setiap rakyat Malaysia untuk mengekalkan
perpaduan nasional dengan tujuan memastikan kemajuan pada masa hadapan. Dengan menerima
semangat kewujudan bersama, pelbagai komuniti etnik dapat disatukan oleh
perlembagaan. Prinsip-prinsip Rukunegara membawa daya perubahan bersama, untuk
membina masyarakat Malaysia sebagaimana yang didapati pada hari ini.Ketua
Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon, pernah berkata bahawa perpaduan
perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan rakyat hidup harmoni kerana
semangat bersatu padu dan saling menghormati adalah asas kemajuan negara ini.
Sekolah adalah antara institusi penting menyemai serta menanam semangat
integrasi.
Dalam konteks ini Rancangan Integrasi Murid Untuk
Perpaduan (RIMUP) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran akan saya
tekankan untuk merealisasikan hasrat perpaduan negara. Saya akan memupuk
semangat mencintai tanah air dalam diri guru dan pelajar. Antara langkah yang
boleh saya lakukan ialah mengadakan perarakan membawa bendera Malaysia
mengelilingi kawasan persekitaran sekolah. Dengan berbuat demikian,
pelajar-pelajar dapat menghayati pengorbanan pemimpin kita untuk mendapatkan
kemerdekaan dan memupuk perpaduan walaupun pada ketika itu rakyat kita
dibelenggu dan dicengkam oleh penjajah. Tanpa penglibatan total para pemimpin
dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pemimpin yang berbilang bangsa maka
kesejahteraan dan keharmonian yang kita nikmati sekarang tidak dapat
dipertahankan.Kita dapat merealisasikan hasrat perpaduan di sekolah dengan cara
menilai dan memantau bagaimana seseorang warga sekolah dapat berkomunikasi
dengan seseorang.
Komunikasi merupakan asas pembinaan segala aktiviti
dalam sesebuah bilik darjah. Komunikasi menghidupkan bilik darjah dan sekolah
(Epstein, 1993). Saya sebagai pendidik sentiasa mengawasi bahasa percakapan
pelajar supaya tidak menyinggung hati sesuatu kaum. Saya lebih berwaspada
terhadap kemungkinan berlakunya salah tafsir isyarat atau mesej kerana ini akan
menyebabkan prejudis dalam kalangan pelajar. Perasaan curiga-mencurigai dansyak
wasangka yang wujud akibat penyalahgunaan bahasa akan menjadi satu kekangan
dalam proses perpaduan. Sebenarnya perpaduan nasional merupakan matlamat utama
negara sejak kemerdekaan. Setiap kaum mempunyai ideologi, kebudayaan, agama,
bahasa, cara pendidikan, gaya berfikir, corak pekerjaan tersendiri dan tempat
tinggal berasingan. Kesemua perbezaan ini merumitkan proses perpaduan (Ibrahim
Saad, 1980). Untuk menjamin perpaduan terus wujud, saya sebagai pendidik akan
merancang pengajaran di bilik darjah yang mampu mewujudkan persefahaman antara
kaum etnik, penghayatan kebudayaan dan nilai sosial serta aktiviti yang melibatkan
interaksi antara kaum. Apabila saya membentuk kumpulan diskusi dalam bilik
darjah, saya akan memastikan kumpulan tersebut terdiri daripada pelajar
berbilang bangsa.
Melalui diskusi mereka dapat memberi dan menerima
pendapat, menghormati idea seseorang dan berkongsi pendapat dengan rakan dalam
kumpulan. Pembentukan kumpulan seumpama ini mendekatkan diri sesuatu kaum
dengan kaum yang lain.Saya akan menerapkan nilai-nilai kesederhanaan, rasional,
toleransi dan bertanggung jawab dalam kalangan anak didik saya. Nilai-nilai ini
sangat penting agar pendapat yang berbeza dalam kalangan mereka tidak sampai
menjerumuskan mereka dalam pergaduhan dan seterusnya kepada perpecahan kaum di
sekolah. Saya sentiasa akan memastikan pelajar saya tidak meninggikan suara apabila
bercakap dengan kaum lain. Saya akan menasihati mereka supaya menerima
rakan-rakan tanpa mengira kaum dalam pergaulan mereka. Saya sering menyeru
pelajar saya supaya berfikir secara rasional sebelum mereka mengambil sebarang
tindakan khususnya tindakan yang melibatkan kaum-kaum lain. Setelah sesuatu
keputusan atau tindakan diambil, saya akan meminta pelajar supaya bertanggung
jawab terhadap apa yang dilakukan oleh mereka.
Dengan ini saya melatih pelajar supaya lebih
berhati-hati apabila berada dalam kumpulan berbilang kaum.Saya sebagai pendidik
perlu mendidik anak murid saya menjadi lebih unggul. Hal ini kerana zaman akan
datang adalah zaman persaingan yang amat hebat. Saya perlu membuat revolusi
pemikiran dan transformasi budaya terhadap mereka. Perubahan ini perlu bagi
melahirkan generasi yang cukup kompeten dan berdaya saing. Dengan adanya
persaingan yang sihat sesama kaum, maka setiap kaum di negara ini akan
memperoleh hak mereka secara saksama (Ibrahim Saad, 1986). Jurang pendapatan
dan pemilikan ekuiti dalam kalangan masyarakat pernah menjadi punca perbalahan
kaum. Saya berfikir saya tidak akan membenarkan keadaan ini berulang. Sifat
monopoli tanpa berkongsi kekayaan atau peluang akan saya ranapkan sama sekali
dari sanubari pelajar saya. Dalam konteks negara yang berbilang bangsa, setiap
sekolah hendaklah menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan informasi kepada
setiap murid.
Pembangunan sesebuah negara yang mapan menuntut
rakyatnya supaya lebih berpengetahuan, berinformasi dan berintelek tinggi (Sufean
Hussein, 2002). Dengan cara ini, negara memerlukan setiap rakyat memiliki ilmu
tinggi bagi mencapai kemajuan. Justeru, sebagai pendidik saya akan memastikan
setiap kaum akan berusaha dengan bersungguh-sungguh menimba ilmu untuk mencapai
kejayaan, seterusnya menyumbang kepakaran membangunkan negara tercinta. Dengan
berbuat demikian kelompangan yang wujud dalam pengagihan peluang pekerjaan
seperti profesional tidak akan wujud. Era 1960-an dan 1970-an dijangka tidak
akan berulang. Pada era tersebut kedudukan bukan bumiputera menduduki tangga
teratas dalam bidang ikhtisas seperti perubatan, guaman dan kejuruteraan.
Bagaimanapun berkat usaha pemimpin kita, kini keadaan tersebut sudahpun
diimbangkan tanpa merampas hak mana-mana kaum.Di samping itu, guru juga
dituntut berkualiti tinggi bukan saja memiliki ilmu pengetahuan terkini, tetapi
mampu menyampaikannya kepada pelajar dengan baik dan berkesan. Pemikiran dan
hala tuju saya akan mencorakkan persiapan pelajar untuk menyesuaikan diri dalam
kehidupan masa depan lebih mencabar. Inilah antara pengisian yang perlu saya
penuhi bagi mencapai kemajuan pascamerdeka yang bermatlamat untuk melahirkan
generasi yang berilmu pengetahuan, memiliki jiwa dan peribadi unggul,
bersemangat muhibah serta mampu menghadapi cabaran-cabaran semasa secara
kolektif dan bersepadu.
Oleh itu, semangat dan budaya perpaduan dalam
kalangan guru serta pelajar hendaklah sentiasa saya tekankan dalam segala
bentuk interaksi di sekolah.Salah satu punca berlakunya ketidakadilan sosial di
negara ini ialah kurangnya kemudahan persekolahan. Jurang ilmu antara
masyarakat bandar dan luar bandar amat ketara. Oleh itu sebagai pendidik saya
mengesyorkan supaya mewujudkan pendidikan pra sekolah di setiap sekolah.
Walaupun ini menelan belanja yang agak besar, tetapi jika mengambil kira
pelaburan masa depan, cadangan ini akan membuahkan hasil yang positif pada masa
depan. Dengan berbuat demikian masalah buta huruf dalam kalangan pelajar darjah
satu di kawasan luar bandar dapat dibendung. Sebagai pendidik saya berpendapat
pembasmian buta huruf dalam kalangan pelajar akan membantu negara mempercepat
proses integrasi sama ada integrasi penduduk mahupun integrasi wilayah.
Pada tahun 2006, Kementerian Pelajaran telah membuka
sebanyak 700 kelas prasekolah bagi mengurangkan jurang pendidikan di antara
bandar dan luar bandar. Dengan ini aspek sosio emosi dan intelek pelajar di
luar bandar dapat diperkembang sejak di peringkat awal lagi. Dalam RMK9 usaha
merapatkan jurang tersebut akan digiatkan dengan tumpuan di negeri-negeri yang
kurang maju seperti di Terengganu, Sabah dan Sarawak (EPRD, 2006)Usaha
mewujudkan perpaduan tidak akan berhasil jika pelajar kita tidak menghayati
kemerdekaan yang dicapai pada Ogos 1957. Saya sebagai pendidik ingin
membebaskan anak didik saya daripada kongkongan dan eksploitasi penjajah. Saya
akan mengingatkan para pelajar saya betapa pemberontakan subversif yang
dilakukan oleh pengganas komunis mengancam kedaulatan negara kita. Saya akan
menyeru mereka supaya membaktikan diri untuk memenuhi harapan rakyat kita bagi
mencapai pembangunan sosial dan ekonomi mengikut acuan kita sendiri.
Sebagai pendidik kita tidak sepatutnya menyentuh
isu-isu yang boleh menyinggung perasaan warga sekolah kita yang terdiri
daripada pelbagai kaum. Saya meminta anak didik saya mengelakkan kegiatan yang
boleh mengancam keamanan negara. Saya perlu menyokong dan melibatkan pelajar
dalam sebarang aktiviti yang boleh memupuk perpaduan. Sebagai contohnya
aktiviti bergotong royong, sukan sekolah, hari penyampaian hadiah, hari kokurikulum
dan sebagainya. Sebagai pendidik dan guru penasihat saya sepatutnya mengagihkan
pelajar yang berbilang kaum mengikut beberapa kumpulan untuk melaksanakan
sesuatu tugas. Dengan berbuat demikian pelajar dapat memupuk sikap saling
membantu, bertolak ansur dan menyelesaikan sesuatu masalah secara bermuafakat.
Jadi jelaslah bahawa saya memupuk permuafakatan yang menjadi asas perpaduan
sejak pelajar di bangku sekolah lagi.Kita sedar bahawa huru hara dan kekacauan
yang berlaku antara kaum atau adanya sektor yang mempunyai kepentingan sendiri
akan memusnahkan sikap kenegaraan kita. Sebagai pendidik saya perlu
mengembalikan keadaan harmoni dan persefahaman sesama pelajar berbilang bangsa.
Saya perlu menyatukan kepentingan dan aspirasi kumpulan berbilang kaum untuk
memupuk komuniti kebangsaan yang sedang berkembang. Saya perlu menanam sikap
mementingkan masyarakat atau semangat kekitaan daripada mementingkan diri
sendiri atau individualistik. Saya perlu mengikis sikap pelajar bak kata
pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Yang
menjadi tonggak perpaduan ialah Perlembagaan.
Perlembagaan melindungi hak asasi setiap bangsa agar
mereka dapat mengamalkan kebebasan tanpa mengganggu keamanan masayarakat lain.
Sebagai pendidik adalah menjadi tanggung jawab saya untuk menasihati pelajar
saya supaya mendaulatkan perlembagaan. Dalam apa jua keadaan saya tidak mahu
anak didik saya membelakangkan perlembagaan. Bangsa yang membelakangkan
perlembagaan merupakan satu bangsa yang menafikan hak-hak sesuatu bangsa yang
lain. Jika ini dibiarkan berlaku, maka perpaduan tidak akan tercapai. Susah
payah para pemimpin berbilang bangsa yang duduk semeja bersama Lord Reid untuk
merangka perlembagaan persekutuan tidak akan bermakna. Saya akan menggesa warga
sekolah agar menerima maksud yang tersirat di sebalik perkataan-perkataan yang
tertera dalam perlembagaan agar pelajar tidak salah tanggap.Semangat patriotik
ini mesti ditanam dan dikekalkan oleh semua orang di Malaysia tanpa mengira
asal keturunan etnik, warisan budaya dan kepercayaan agama mereka.
Hal ini kerana tanpa semangat patriotik, perpaduan
sukar untuk dicapai. “ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke
arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini
adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”
(Falsafah Pendidikan Negara dalam Wan Mohd. Zaid b. Wan Mohd. Nordin,
1993).Jika diteliti falsafah pendidikan negara di atas nyata bahawa dasar
pendidikan negara adalah satu dasar yang diwujudkan untuk menyemai rasa cinta
kepada negara yang secara simboliknya menuntut usaha ke arah mempererat
perpaduan antara satu sama lain agar peristiwa 13 Mei 1969 tidak akan berulang.
Patriotik terhadap ibu pertiwi memerlukan
pengorbanan mental dan fizikal. Sumbangan mental dan fizikal ini tidak hanya
diperoleh daripada satu bangsa sahaja. Semua penduduk termasuk golongan pelajar
sekolah harus menunjukkan semangat ini kepada negara mereka. Sebagai pendidik
pelbagai mata pelajaran yang menjurus ke arah ini seperti Pendidikan Sivik dan
Kenegaraan, Pendidikan Moral, Sejarah, Pendidikan Islam dan Kajian Tempatan
perlu saya tekankan dalam bilik darjah. Saya akan merujuk kepada beberapa
peristiwa contoh patriotik pemimpin dulu dan sekarang dalam mengharungi cabaran
semasa negara sebagai teladan dan motivasi kepda pelajar..Menerusi Majlis
Perpaduan Negara yang diterajui oleh Mendiang Tun Sambanthan, “Persefahaman,
Muhibah dan Tolak Ansur” menjadi moto yang membawa makna kepada Perpaduan
Nasional. Setiap pendidik di Malaysia mesti sentiasa bertangung jawab
menentukan dan mendefinisikan semula makna ciri-ciri kebangsaan bagi diri
mereka dan juga bagi masyarakat secara keseluruhan. Dengan ini perpaduan memberi
pengertian kepada cara hidup orang Malaysia. Pada waktu dahulu terdapat
beberapa slogan seperti “Bersatu dalam Pelbagaian”, “Semua bangsa berkongsi
matlamat yang sama”, “Integrasi Nasional” dan sebagainya. Slogan-slogan ini
akan saya hidupkan di peringkat sekolah bagi menggalakkan semua warga sekolah
hidup dan bekerja sama. Dengan menghidupkan slogan-slogan ini saya mahu
pelajar-pelajar saya menganggap “Kita adalah Satu Keluarga”. Apabila pelajar
berasa mereka sebagai satu keluarga, maka mustahillah berlakunya pergeseran
kaum.
Sekolah dan institusi pengajian merupakan medan
untuk generasi muda kita memupuk perpaduan sebelum mereka menceburi dunia
pekerjaan untuk memakmurkan negara ini. Sebagai pendidik, saya berpendapat
bahawa kita perlu berfikir secara rasional dan membuat penilaian semula tentang
hubungan antara kaum serta mengetepikan sebarang sentimen dan emosional yang
melulu. Sikap seumpama ini banyak berlaku di sekolah-sekolah menengah yang
dihadiri oleh remaja yang berbilang kaum. Saya sebagai pendidik akan
membangkitkan kesedaran dalam kalangan pelajar ini dan menyeru mereka supaya
mengamalkan hidup secara harmoni, sejahtera dan aman damai. Saya akan meminta
pelajar saya supaya melupakan sebarang peristiwa yang pernah menyinggung hati
mereka dengan kata-kata yang berunsur perkauman. Saya akan mencuba menerapkan
nilai sedia memaafkan kesalahan orang dan mengikis sikap berdendam terhadap
sesuatu bangsa. Untuk mengekalkan perpaduan yang kita nikmati selama ini,
pandangan jauh pelajar berbilang bangsa adalah perlu.Di sekolah-sekolah
kebangsaan dan di sekolah menengah, pelajar yang menghadiri kedua-dua jenis
sekolah ini adalah daripada pelbagai latar belakang hidup.
Saya sebagai pendidik akan mewujudkan satu
persekitaran untuk pelajar-pelajar saya menghormati dan menjalin persaudaraan
dengan bangsa-bangsa lain. Saya harus bersikap lebih sensitif terhadap
keperluan pelajar yang berlainan latar belakang. Tetapi apa yang menjadi
kekurangan atau kelemahan pendidik masa kini ialah mereka termasuk saya tidak diberi
pendedahan di maktab perguruan tentang cara-cara menangani pelajar berbilang
bangsa di sekolah. Boleh dikatakan kefahaman pendidik tentang cara-cara memupuk
hubungan harmoni antara kaum amatlah dangkal. Oleh itu saya sebagai pendidik
hendaklah menekankan kursus hubungan kaum seperti yang dilaksanakan di
institusi pengajian tinggi. Bagi saya setiap pendidik perlu mempunyai latihan
dan pendedahan awal sebelum mengendalikan sekolah yang terdiri daripada pelajar
berbilang kaum.Sekolah-sekolah hanya boleh mengawal satu komuniti kecil
manakala masyarakat yang lebih besar hendaklah memainkan peranan yang lebih
penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum. Bagaimanapun sekolah
sebagai sebuah agen masih boleh memainkan peranan dengan menyuntik nilai dan
sikap dalam diri seseorang pelajar.
Pemupukan hubungan antara kaum merupakan satu
perjalanan yang agak jauh untuk mencapai integrasi nasional. Bagaimanapun para
pendidik hendaklah melaksanakan model yang telah digubal oleh kerajaan tanpa
memberi banyak alasan.Pelajar-pelajar dari sekolah vernakular menghadapi
kejutan budaya apabila mereka berhadapan dengan pelajar-pelajar Melayu. Ada
sesetengah pelajar khususnya bukan Melayu menghadapi pelajar Melayu buat
pertama kalinya di tingkatan satu di sekolah menengah. Jika para pendidik tidak
mengambil sebarang inisiatif, sudah pasti pergaulan mereka terbatas dan
polarisasi mula wujud (Hazri Jamil dll, 2004). Sebagai pendidik saya akan
mewujudkan ruang dan peluang untuk pelajar-pelajar ini berinteraksi dan mengenali
antara satu sama lain. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik
darjah, pendidik hendaklah melibatkan semua kaum. Pendidik memperkenalkan
rakan-rakan baru di hadapan kelas dan menggalakkan pelajar lain bersalam
dengannya dan bertanya tentang latar belakangnya. Pelajar dari kawasan ladang
yang rata-ratanya daripada kumpulan sosioekonomi yang rendah menghadapi masalah
merendah diri apabila berhadapan dengan pelajar daripada kumpulan sosioekonomi
yang sederhana dan tinggi.
Sebagai pendidik saya akan menyuruh pelajar-pelajar
ini menjadi ahli kumpulan dan bantu membantu antara satu sama lain dalam
pelajaran. Lambat laun saya percaya pelajar-pelajar ini akan bergaul bebas dan
berinteraksi tanpa mengira kedudukan dan darjat. Sudah semestinya masih banyak
lagi masalah yang lebih kompleks akan kita tempuhi. Pada tahun 1950-an, 1960-an
dan mungkin juga 1970-an, tidak ada seorang pun yang dapat menjangkakan
revolusi global besar-besaran yang dibawa oleh cip silikon serta teknologi
maklumat dan rangkaian jaringan cyberspace. Sebagai pendidik kita harus
berbangga dengan kenyataan bahawa sistem pendidikan kita telah menyebabkan kita
berjaya mengembangkan semua perkhidmatan yang diperlukan untuk memerintah
sebuah negara moden. Melalui pengalaman yang diperoleh dalam sistem pendidikan
kita, kita telah berjaya menjana semula serta menghidupkan semula keadaan
masyarakat kita. Kita dapat belajar di samping mengajar diri sendiri dalam kita
membentuk diri kita sebagai rakyat Malaysia. Sebagai pendidik saya akan menggalakkan
anak didik saya menggunakan kemudahan teknologi ini untuk berkomunikasi.Sebagai
pendidik saya berpendapat, saya perlu mewujudkan sudut pidato (Speaking Corner)
bagi pelajar-pelajar membahaskan hak dan tugas mereka sebagai rakyat Malaysia
sepertimana termaktubnya dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kepelbagaian penduduk kita yang terdiri daripada
pelbagai kaum, kebudayaan, bahasa dan warisan agama boleh dijadikan bahan
perdebatan. Dengan cara ini para pelajar dapat meningkatkan kefahaman mereka
tentang sesuatu kaum dari segi sosial, ekonomi, politik dan pegangan hidup
masyarakat.Satu demi satu, kita berjaya mengatasi masalah yang berbagai-bagai
dalam isu perpaduan. Pertumbuhan berterusan populasi dan bertambahnya kerumitan
yang dihadapi menyukarkan proses integrasi pelajar. Boleh dikatakan kemudahan
untuk semua pelajar bersatu padu di bawah bumbung sebuah sekolah belum
mencukupi. Kementerian Pelajaran hendaklah meningkatkan mutu dan kemudahan yang
terdapat di sekolah rendah dan menengah agama. Sebagai pendidik saya boleh
menganjurkan beberapa majlis perbincangan dan perundingan dengan golongan
pendidikan yang profesional dan wakil-wakil daripada semua golongan serta
sektor dalam masyarakat. Matlamat saya adalah untuk mengimbangkan kecemerlangan
fisikal untuk memupuk persefahaman dan perpaduan kaum serta negara.Selain pihak
berkuasa saya boleh menggemblengkan tenaga badan-badan bukan kerajaan dan
korporat serta swasta menganjurkan aktiviti atau membiayai perbelanjaan sesuatu
aktiviti perpaduan di sekolah. Perkara yang perlu disedari oleh setiap pendidik
ialah matlamat untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar perlulah menjadi
satu perjuangan yang berterusan. Dalam apa jua keadaan para pendidik tidak
harus membiarkan cara kita menangani isu perpaduan, menghancurkan masyarakat
kita.Bagi saya, pencapaian matlamat perpaduan ialah meneliti sejauh mana
kejayaan setiap generasi rakyat Malaysia dalam mengamalkan nilai-nilai moral,
keagamaan dan kebudayaan.
Para pendidik seharusnya mencari sebab-sebab mengapa
sikap rakyat Malaysia berbeza-beza apabila mengamalkan nilai-nilai moral,
keagamaan dan kebudayaan ini. Pendidik harus mengkaji kualiti pelbagai etnik
pelajar serta latar belakang kebudayaan dan agama mereka. Namun begitu, saya
berpendapat bahawa untuk mengekalkan dan membina nilai-nilai moral seseorang
individu dan hubungan seseorang individu dengan keluarganya dan hubungannya
dengan masyarakat dan komuniti negara secara amnya, merupakan satu cabaran yang
hebat. Saya sebagai pendidik harus melibatkan kehidupan sosial generasi muda
rakyat Malaysia secara langsung. Para pendidik seharusnya meminta pelajar
mencari punca masalah perilaku sosial seperti “lepak” dan “bohsia” dalam
kalangan pelajar. Dengan berbuat demikian kesedaran dalam kalangan pelajar akan
wujud. Hal ini juga dapat mengelakkan sesuatu kaum menjadi mangsa pembangunan
dan golongan tersebut sepatutnya tahu bahawa masalah-masalah sosial hanya
menjadi penghalang kepada proses perpaduan. Pendidik harus memikul tanggung
jawab memerangi tingkah laku pelajar yang terjerumus dalam kancah sosial.
Natijahnya, sebagai seorang pendidik saya boleh
mewujudkan perpaduan antara kaum di sekolah khususnya dan dalam masyarakat
amnya. Adalah menjadi tanggung jawab saya sebagai pendidik mencari punca
keretakan dalam hubungan dan perpaduan kaum. Selain dasar-dasar utama negara,
usaha memupuk perpaduan sepatutnya bermula di sekolah. Hal ini kerana di
sekolahlah, pelajar berjumpa dengan rakan yang bukan sebangsa dengannya.
Apabila langkah-langkah yang disyorkan dalam rencana ini direalisasikan, maka
secara langsung kita dapat memperkasakan sekolah-sekolah kita. Pemerkasaan
sesebuah sekolah tidak hanya terletak pada aspek kemudahan fizikal, malah
sejauh mana sekolah tersebut dapat menjalin hubungan persaudaraan warga sekolah
tanpa mengira kaum juga menjadi salah satu aspek utama.
SENARAI RUJUKAN
Abdul Rahim b. Abdul Rashid (2002). Education and
Nation Formation in Malaysia: A Structural Analysis. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya.
Epstein, D. (2001). School, Family and Community
Partnership. Colo: Westview PressHazri Ismail, Molly N.N. Lee dll.(2004).
Ethnic Interaction Among Students in Secondary Schools in Malaysia. Penang :
University of Science Malaysia
Ibrahim Saad. (1980). Competing Identities In A
Plural Society: The Case of Peninsular Malaysia. Institute of SEA Studies.
Ibrahim Saad. (1986). Pendidikan dan Politik Di
Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Kementerian Pendidikan
Malaysia. (2000). Education In Malaysia. Kuala Lumpur : EPRD.
Santhiram, R. (1999). Education of Minorities: The
Case of Indians In Malaysia. Petaling Jaya: CHILD.
Sufean Hussein. (2002). Dasar Pembangunan Pendidikan
Di Malaysia: Teori dan Analisis. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Wan Mohd. Zaid b. Wan Mohd. Nordin. (1993). Wawasan Pendidikan
Agenda Pengisian. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
No comments:
Post a Comment