Tuesday, May 5, 2020

KEBAIKAN INTERNET –oleh Dr R Dhanapal


KEBAIKAN INTERNET –oleh Dr R Dhanapal

Saban hari kita menggunakan Internet. Tanpa penggunaannya sehari, hidup kita seolah-olah tidak bermaya. Ramai orang begitu obsesif terhadap Internet ini. Inernet cuma merupakan satu kemudahan talian yang boleh menghubungkan banyak peranti seperti telefon pintar, komputer dan banyak lagi. Di negara kita terdapat banyak pembekal perkhidmatan Internet kepada rakyat kita. Kini syarikat-syarikat telefon pintar termasuk Telekom berebut-rebut menawarkan perkhidmatan jalur lebar atau wifi kepada penggunanya.
Dengan adanya talian Internet kita dapat membaca pelbagai jenis bahan bacaan sama ada secara percuma atau berbayar dari pelosok dunia. Bahan bacaan dalam bentuk buku elektronik atau majalah elektronik begitu mudah diperoleh pada zaman sekarang. Membaca bahan-bahan ini menajamkan daya fikiran kita di samping kita dapat menemukan banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita dalam sekelip mata. Tidak kurang penting ialah pelajar sekolah. Mereka boleh menggunakan talian ini untuk menghabiskan tugasan, menghantar tugasan dan mencari maklumat untuk tugasan mereka. Banyak guru sekarang menggunakan blog untuk memuat naik latihan akademik dan menggunakan mel elektronik untuk mengirim dan menerima tugasan setelah disemak oleh mereka.

Talian Internet ini juga banyak membantu kita menghilangkan rasa bosan dan jemu serta penat lelah kita. Sedikit sebanyak Internet ini menimbulkan semangat baharu dan memberikan motivasi untuk melakukan sesuatu perkara baharu selepas pulih daripada ketegangan fikiran dan perasaan. Internet sering bersinonim dengan hiburan. Pelbagai genre hiburan seperti muzik, filem, drama, orkestra, teater dan sebagainya sudah tentu melipurkan kita. Kita boleh menonton filem-filem kegemaran kita era 1970-an hingga zaman kini. Bagi mereka yang lemah penguasaan bahasa Inggeris pula, boleh memilih filem-filem yang bersari kata bahasa pilihan mereka. Hiburan seantero dunia akan dapat diikuti atau dilayari di hadapan layar komputer atau televisyen kita. Boleh dikatakan hiburan dengan menggunakan Internet adalah berbaloi dan murah berbanding dengan mencari hiburan secara konvensional seperti ke pawagam atau menonton siaran televisyen biasa.


Perkhidmatan Internet juga membantu kita menimba pelbagai jenis pengetahuan. Hal ini bukan sekadar mengikuti berita-berita semasa dari dalam dan luar negara sahaja, malah penulisan-penulisan yang terkini mahupun yang lampau boleh diikuti dengan adanya kemudahan ini. Peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam zaman prasejarah, zaman perang dingin, perang dunia dan banyak lagi kejadian yang aneh dan luar biasa yang berlaku di seluruh dunia seperti Bermuda Triangle, Tsunami, penerokaan ke angkasa lepas dan kajian planet di galaksi semuanya dapat diketahui dalam sekelip mata. Internet ini menggantikan tempat ensiklopedia. Satu ketika dulu  satu set ensiklopedia adalah berharga ribuan ringgit. Akan tetapi dengan bayaran sebanyak beberapa puluh ringgit kita dapat melayari Internet sekarang.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa kepentingan Internet tidak dapat disangkal lagi. Walaupun banyak pihak mempertikaikan keburukan Internet, namun manfaat yang diberikannya jauh lebih banyak berbanding dengan kemudaratan. Baik dan buruk sesuatu kemudahan adalah bergantung kepada diri kita, bagaimana kita mempergunakannya. Kini Internet bukan sahaja milik orang atasan atau golong elit tetapi juga milik golongan marhaen yang hidup mereka bak pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
GLOSARI
Obsesif                                     :         sentiasa memkirkan
Melipurkan                              :         menghiburkan
Seantero                                   :         seluruh
Berbaloi                                   :         berpadanan
Konvensional                          :         lama atau kebiasaan
Pawagam                                  :         panggung wayang gambar
Disangkal                                 :         dinafikan
Mempertikaikan                       :         membantah pendapat
Mempergunakannya                 :         memanfaatkannya
Elit                                          :         golongan atasan
Marhaen                                   :         golongan bawahan
Internet                                    :         international network. Perkataan bahasa Inggeris , jadi huruf awal mestilah sentiasa huruf besar

No comments:

Post a Comment