Banyak pekerja mahir dan profesional sentiasa
berhijrah ke negara lain untuk mencuba nasib mereka di sana. Selain untuk menambah
pendapatan, bincangkan punca-punca lain penghijrahan golongan ini ke sesebuah
negara.
Pada tahun 2016, dalam Forum Eknomi Dunia, bekas Presiden Amerika Syarikat yang
ke-44, Barack Obama pernah mencetuskan
pandangannya bahawa sebanyak enam orang daripada sejumlah pemenang hadiah nobel
yang berprestij dan tersohor itu, adalah imigran yang datang dari negara lain
ke Amerika Syarikat. Pandangan beliau menunjukkan bahawa, negara-negara luar
termasuk negara seperti Amerika Syarikat tidak pernah menganaktirikan golongan
ilmuan atau intelek dari negara asing. Layanan yang istimewa juga diberikan
kepada pekerja-pekerja mahir dan profesional. Hal ini kerana mereka memberi
sumbangan mental dan kemahiran yang cukup luar biasa demi kejayaan negara
tersebut.
Penghijrahan beramai-ramai dalam kalangan pekerja
yang mahir hatta profesional ini disebabkan kerana eksploitasi. Mereka
berpendapat diri mereka ditindas tanpa diberi sebarang habuan dan ganjaran yang
setimpal. Terdapat beberapa majikan yang enggan mematuhi perjanjian pekerjaan
seperti mana dipersetujui sebelum ini. Pekerja dinafikan beberapa hak seperti
pakej percutian, peluang melanjutkan pelajaran, jaminan keselamatan, insurans
dan sebagainya. Di negara luar termasuk negara sedang membangun menuruti segala
kehendak dan keperluan pekerja asing mereka. Majikan negara ini bimbang pekerja
yang berpengalaman dan mahir ini akan dirampas oleh majikan lain dari
negara-negara lain pula. Negara luar sanggup dan mampu menyediakan kemudahan
tambahan seperti pemeriksaan perubatan di hospital yang mewah dan menawarkan
percutian di pulau-pulau yang indah untuk keluarga pekerja. Malah sistem pengangkutan
awam yang canggih dan menepati jadual perjalanan pula menyebabkan pekerja tidak
perlu memandu sendiri ke tempat kerja.
Selain itu, pekerja-pekerja mahir dan profesional ini
ingin menikmati gaya hidup yang lebih selesa dan berkualiti bersama ahli-ahli keluarga.
Bilangan hari dan tempoh bekerja yang lebih anjal membolehkan mereka dapat
meluangkan masa untuk orang kesayangan mereka. Di negara tersebut juga , mereka tidak
perlu risau akan keselamatan kerana kadar jenayah di negara tersebut amat
rendah berbanding dengan di negara asal. Malah cara hidup di negara sasar juga
lebih bersantai dan mereka tidak perlu
merebut masa dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya seperti mana kita
sering melihat di negara-negara dunia ketiga. Di negara barat,di sebelah tempat
kerja turut disediakan taman asuhan kanak-kanak. Jadi mudahlah bagi ibu bapa
yang bekerja untuk menghantar dan mengambil anak mereka. Petugas rumah asuhan
pula memiliki sekurang-kurangnya diploma dalam pengasuhan kanak-kanak. Jadi ibu
bapa boleh menumpukan segala perhatian mereka terhadap pekerjaan, Dengan ini
amalan mengambil cuti untuk menjaga anak
di rumah akan berkurangan.
Lanjutan daripada hujah tersebut, ketidakstabilan
politik di negara asal juga menjadi salah satu puncanya. Keadaan politik yang
terkontang-kanting menyebabkan rakyat di sesebuah negara tidak dapat hidup aman
dan damai. Mereka bimbang bila-bila sahaja kerajaan akan tumbang dan sebagai akibatnya
kadar inflasi tinggi dan masalah hidup rakyat pula akan meruncing. Negara yang
mempunyai kerajaan yang terumbang-ambing ini akan gagal menyediakan kemudahan
malah prasarana kepada rakyatnya. Jika kita lihat dari mana datangnya pekerja-pekerja
mahir dan profesional ini, sudah tentu mereka datang dari sebuah negara yang
gagal menyediakan keperluan-keperluan yang paling asas kepada rakyatnya. Para
pemimpin pula begitu rakus dan gelojoh untuk mendapatkan kuasa. Rakyat marhaen
seperti golongan berpendapatan rendah semakin dipinggirkan daripada arus
pembanguan negara, Kerajaan seumpama ini
juga gagal mengawal kadar jenayah yang makin meningkat. Fenomena ini sudah
tentu mengakibatkan rakyatnya sentiasa resah dan khuatir akan keselamatan
mereka.
Tuntasnya selain untuk menjana pendapatan tambahan, pekerja-pekerja
mahir dan profesional berhijrah ke
sesebuah negara juga disebabkan oleh nawaitu mereka iaitu untuk menikmati kualiti hidup di samping ingin meningkatkan
kemajuan diri mereka. Negara-negara yang menerima pekerja-pekerja mahir dan profesional
pula bertungkus lumus menyediakan dan menawarkan pelbagai insentif untuk
mengekalkan keberadaan golongan ini di negara mereka. Terdapat juga
negara-negara luar sanggup memberikan taraf pemastautin dan kewarganegaraan
kepada pekerja-pekerja mahir dan profesional ini.
No comments:
Post a Comment