Thursday, May 7, 2020

Siapakah Guru Yang Paling Berkesan?


GURU BERKESAN- SATU PANDANGAN PERIBADI

Tugasan ini mengulas tindakan saya sebagai seorang pendidik di sekolah. Pandangan konvensional mengatakan tugas guru adalah mengajar dan mendidik. Akan tetapi pelbagai teori dan dapatan kajian terbaharu menunjukkan bahawa ruang lingkup tugas guru adalah lebih meluas dan tidak terhad di sekolah atau di dalam bilik darjah sahaja. Guru pada masa ini berfungsi sebagai pemudah cara. Dalam konteks ini saya perlu merungkaikan segala kesulitan yang dihadapi oleh pelajar bukan sahaja dalam pelajaran malah dalam hidup bersosial juga. Saya memahami sosio emosi dan latar belakang pelajar sebelum saya memulakan setiap sesi pengajaran. Pengajaran seumpama ini akan terus sebati dalam jiwa pelajar berbanding kaedah konvensional yang menuntut saya perlu menghabiskan sukatan pelajaran dalam jangka waktu yang ditetapkan.

Guru yang berkesan akan membentuk kumpulan yang lebih kecil supaya setiap pelajar dalam kelas tersebut boleh belajar. Saya tidak mahu seorang pelajar pun boleh terlepas daripada proses pembelajaran. Dalam hal ini saya sentiasa memikirkan kaedah yang kreatif dan inovatif untuk menghidupkan suasana pengajaran dan pembelajaran dalam kelas saya. Pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang efektif, menarik dan seronok mendorong pelajar untuk datang ke sekolah dan belajar. Saya perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam bilik darjah. Saya perlu turut serta dalam pembelajaran kerana pelajar dapat merasai bahawa saya adalah sebahagian daripada mereka. Maka dengan ini minat untuk belajar akan menjadi lebih berkobar-kobar. Dalam tugasan ini dikupas juga sedikit sebanyak tentang ciri-ciri perwatakan yang perlu saya miliki dan menjadi role model yang sepatutnya supaya profesion saya sering dipandang tinggi dan dihormati oleh pelajar. Saya bukan sahaja ingin menjadi sumber inspirasi kepada pelajar saya untuk belajar malah saya perlu menjadi agen perubahan. Saya perlu membawa perubahan dalam bilik darjah. Dan perubahan-perubahan ini diharapkan dapat dialami oleh pelajar sehingga menjadi pelajar yang cemerlang dalam akademik dan juga bukan akademik.

Pelaksanaan kurikulum baru telah mendapati bahawa pendidik yang berkesan mengamalkan tiga gaya fasilitator perubahan iaitu pencetus, pengurus dan petindak balas (Haris Md.Jadi, 2002). Pelaksanaan kurikulum di negara kita adalah sama, namun dari segi kualiti dan kuantiti didapati bahawa guru-guru yang mengamalkan gaya perubahan pencetus adalah lebih berjaya berbanding guru-guru yang megamalkan gaya pengurus dan petindak balas. Gaya perubahan ini sebenarnya satu kombinasi tingkah laku, keprihatinan dan pengetahuan guru serta penegasan terhadap tindakan-tindakan yang diambil oleh guru tersebut. Sebagai pendidik saya akan mengamalakn ketiga-tiga gaya tersebut. Saya perlu mempunyai pandangan yang sangat tinggi terhadap P&P dalam bilik darjah. Saya mempunyai jangkaan tinggi terhadap pelajar saya dan jangkaan tersebut akan saya jelaskan melalui pelbagai slauran. Sekiranya didapati topik yang saya ajar berfaedah kepada kepada pelajar, saya akan membuat pengubahsuaian terhadap topik tersebut mengikut kesesuaian dan keperluan pelajar. Sebagai pemudah cara yang mengamalkan pencetus saya sentiasa mendpatkan maklum balas daripada pelajar.

Faktor yang paling banyak menyumbang kepada kejayaan pelajar di sekolah ialah keupayaan dan kesungguhan guru merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan dan memberangsangkan. Pendekatan pengajaran formal semata-mata tidak menghasilan kesan penghasilan atau pencapaian pelajar yang memuaskan. Kajian-kajian menunjukkan bahawa pendekatan pengajaran yang informal dan fleksibel iaitu pengajaran yang tidak dikongkong oleh skema dan jadual waktu umumnya lebih efektif. Kepelbagaian kaedah pengajaran yang berunsurkan minat, perasaan, harga diri, pengalaman dan cita rasa pelajar yang terlibat mampu menjana suasana P&P yang interaktif dan impilkasinya pula berpanjangan. Kaedah pengajaran yang tidak bersifat arahan sehala semata-mata tidak mencetuskan pengalaman ‘hands on’ kepada pelajar-pelajar berkenaan.

Sebagai seorang pendidik saya amat menekankan kreativiti dalam P&P dalam kelas saya. Saya harus kreatif memujuk dan mempengaruhi pelajar saya untuk mereka berusaha memperbaiki kelemahan diri pelajar. Kebanyakan pelajar di sekolah saya mempunyai perasaan rendah diri dan sikap anti belajar yang melampau. Saya tidak boleh menyampaikan sesuatu maklumat kepada pelajar saya dengan terburu-buru. Dalam konteks ini keberkesanan guru melaksanakan sebarang aktiviti P&P tidak boleh dinilai berdasarkan keupayaan pelajar menyelesaikan semua kandungan kurikulum yang ditetapkan dalam jangka waktu tertentu semata-mata. Saya harus kreatif merangsangkan minat dan menaikkan semangat untuk belajar dalam kalangan pelajar saya.

Saya harus memindahkan pengetahuan yang ada pada saya secara informal dan mesra. Sebagai contohnya apabila mengajar subjek Kemahiran Hidup untuk Tingkatan 3, saya tidak pernah menyampaikan ilmu daripada buku teks terus kepada pelajar. Biasanya saya minta pelajar saya mencuba melakukan sesuatu setelah arahan pertama diberi. Setelah pelajar mencuba dengan sendiri dan barulah saya minta mereka merujukkan aktiviti tersebut dalam buku teks. Dalam setiap suasana P&P, saya mempelbagaikan kaedah yang berbeza. Kaedah yang pelbagai ini meningkatkan pemahaman pelajar dan mengelakkan kebosanan. Selain ‘hands on’ saya juga menyampaikan pelajaran secara bertulis melalui bahan-bahan edaran, menulis kata-kata kunci dengan warna yang berlainan serta menggunakan lakaran dan peta minda. Penulisan di papan tulis atau di kertas mahjung perlulah tertib dan teratur.

Selain kreatif, saya juga akan memastikan P&P saya lebih efektif, menarik dan seronok. Saya akan memberi peluang kepada pelajar untuk melaksanakan aktiviti kumpulan yang berstruktur dan bersistem, bukannya secara ‘ad hoc’ dan mengelirukan. Supaya kelas kita lebih dinamik, saya akan mewujudkan interaksi dua hala sama ada antara guru dengan pelajar atau pelajar dengan pelajar. Dengan ini tidaklah berlaku pendominasian oleh sesuatu kumpulan atau individu dalam P&P. Setiap kumpulan yang dibentuk hendaklah bersifat hetrogen (Berryman, 2002). Kumpulan hetrogen ini merujuk kepada aspek jantina, ras, latar belakang dan tahap kebolehan individu. Pembentukan kumpulan ini memudahkan aktiviti yang akan dijalankan. Untuk menjadikan P&P yang lebih menarik dan efektif saya akan membina persekitaran pembelajaran yang positif.

Saya akan melayan semua pelajar sama rata. Apabila seseorang guru bersikap adil dalam melayan pelajar maka pelajar itu faham bahawa guru mengambil berat tentang kejayaan individu. Misalnya kekerapan pelajar perempuan atau lelaki untuk menjawab soalan dan kekerapan kumpulan etnik yang majoriti atau minoriti untuk terlibat dalam aktiviti bilik darjah perlulah sama. Jika pelajar menjawab soalan yang diajukan dengan betul saya akan memberi ganjaran supaya pelajar itu berbangga dengan jawapannya di hadapan rakan-rakan mereka.

Saya sangat percaya bahawa setiap pelajar dalam kelas saya boleh belajar. Saya akan menjelaskan kepada pelajar bahawa jangkaan atau ekspektasi saya adalah tinggi terhadap mereka. Oleh itu mereka hendaklah memfokuskan perhatian terhadap pembelajaran. Saya sentiasa beredar dalam kelas sambil memantau kerja-kerja pelajar dan memberi sokongan dan galakan apabila mereka menghadapi sesuatu masalah. Pelajar akan belajar dengan baik apabila pembelajaran dalam kelas dinamik dan aktif, dilaksanakan mengikut konteks dan dalam keadan yang stabil. Tugas penting guru ialah menjelaskan dan mendemonstrasikan tingkah laku yang diharapkan kepada pelajar. Apabila saya yakin dan cekap dalam persembahan pengajaran, maka saya sudah melahirkan asas pembelajaran yang efektif. Saya akan menyediakan bahan dan meneliti pelajaran lebih awal untuk menguasai maklumat mengenai pelajaran dan kemahiran penyampaian pelajaran.

Saya mengelakkan komunikasi yang negatif untuk mewujudkan P&P yang lebih efektif. Sekiranya guru menjerit kepada pelajar, ini bermaksud guru tersebut telah merosakkan persekitaran pembelajaran. Jika guru menyindir atau mengecil-ngecil dan merendah-rendah kebolehan pelajar, guru telah menyebabkan pelajar tawar hati untuk terlibat dalam pembelajaran. Tindakan guru memarahi pelajar dengan kasar menyebabkan pelajar berasa malu dengan rakan dan ini akan menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap pelajaran dan guru. Saya sebagai pendidik akan mengelakkan komunikasi negatif seumpama ini untuk melahirkan pembelajaran yang lebih positif, mesra dan menarik.

Peranan guru tidak hanya berfokus pada P&P sahaja. Guru juga berfungsi sebagai pakar penentu. Mereka bekerja sebagai penguasa ke atas masalah pelajar dan harus mencari penyelesaiannya. Saya sebagai guru perlu bertindak sebagai penterjemah dan orang tengah dalam saluran komunikasi terbuka (permasalahan dua hala dan penyelesaiannya). Dengan berbuat demikian saya akan mendapat kepercayaan pelajar dan bertanggunjawab mengenalpasti masalah, membangunkan program dan melaksanakan program. Selain itu saya hendaklah memudahkan komunikasi. Dalam konteks ini saya berperanan sebagai broker maklumat. Saya berperanan sebagai penghubung, penterjemah dan penyampai maklumat kepada pelajar.

Saya juga hendaklah menjadi pendengar komunikasi yang berkesan. Saya terlibat dalam pembuatan keputusan dalam bilik darjah yang mempunyai kepentingan bersama seperti mengadili, interaksi, mengadakan perbincangan, mengulas pandangan, mendapatkan reaksi dan memperbetul keadaan dengan hubungan komunikasi. Selain itu, saya sebagai fasilitator komunikasi perlu menyediakan komunikasi dan menyediakan komunikasi untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara yang dipelajari di sekolah.

Justeru itu sebagai fasilitator penyelesai masalah saya berperanan sebagai ahli kumpulan pengurusan dan memandu pelajar-pelajar saya melalui proses penyelesaian masalah yang rasional iaitu melibatkan semua bahagian organisasi sekolah dalam perancangan kurikulum dan kokurikulum. Saya perlu berkerjasama dengan guru-guru lain untuk mengenali masalah dan penyelesaian masalah. Guru sebagai fasilitator penyelesai masalah juga menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan perancangan strategik dan melaksanakan proses komunikasi dalam bilik darjah ( Banburry, 2003). Saya selaku penyelesai masalah pelajar, akan melakukan perubahan bersama-sama dengan guru-guru lain. Malah saya juga bertanggungjawab menentukan staf sekolah yang sesuai untuk menjalankan kerja-kerja komunikasi dalam bilik darjah.

Kejayaan seseorang guru di sekolah ditentukan melalui kebolehan mereka membangunkan kemahiran mengumpul maklumat daripada sukatan kurikulum dan daripada sumber luaran. Penilaian yang berterusan akan dilakukan dan setiap cadangan yang diformulakan oleh guru perlu mendapat kelulusan daripada pihak pengurusan organisasi. Kebanyakan aktiviti komunikasi dengan pelajar memerlukan kerjasama dan kadangkala melalui unit organisasi lain seperti kakitangan personel, persatauan ibu bapa dan guru, badan bukan kerajaan ataupun masyarakat setempat. Sebagai guru saya perlu mempelajari cara dan teknik terbaik untuk membujuk pelajar-pelajar saya agar profesion sebagai perantara menjadi lebih efektif.

Semua bentuk P&P dalam bilik darjah mestilah bermula dengan komunikasi yang berkesan. Guru mestilah mahir menyampaikan gagasan dan matlamat mereka kepada pelajar. Guru yang baik mestilah mantap daya pemerhatiannya, tajam pendengarannya, petah berbicara dan pandai berkomunikasi. Oleh itu, semua sesi pengajaran memberikan
tumpuan kepada peningkatan kemahiran berkomunikasi. Sesi-sesi awal pengajaran memberikan tumpuan kepada kemahiran komunikasi kendiri dan peribadi, dan sesi-sesi berikutnya pula menekankan komunikasi dalam pasukan.

Sebagai guru saya harus mendengar rintihan dan luahan pelajar. Guru akan menjadi lebih mantap dengan mendengar pandangan dan keperluan pelajar. Apabila saya mendengar masalah pelajar, ini tidak terbatas semata-mata kepada mendengar apa yang dikatakan oleh seorang pengawas, kawan atau pesaing, tetapi termasuklah juga menilai dan menghargai pendapat dan pandangan mereka. Seorang guru yang berkesan, seperti seorang pemimpin yang berkesan, merupakan seorang pelajar yang belajar daripada apa yang didengarinya. Setelah saya mendengar maslaah pelajar dalam bilik darjah. saya hendaklah membina konsensus. Membina konsensus merupakan satu proses membuat
keputusan dalam pengajaran dan pembelajaran yang berjaya.

Melalui pertukaran pandangan, pelajar-pelajar dalam kumpulan, pasukan atau organisasi yang lebih besar dapat memahami perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama oleh mereka. Keputusan digubal melalui persefahaman bersama tentang pelbagai jalur pemikiran dan kemungkinan. Jika perselisihan pendapat tidak dapat diselesaikan, maka kumpulan tidak akan mengambil tindakan. Meskipun pembinaan konsensus seringkali mengecewakan dan memerlukan waktu yang lama, namun usaha tersebut melahirkan kata sepakat yang boleh diterima dan dilaksanakan oleh semua pelajar. Dengan yang demikian permuafakatan dapat dipupuk dan seterusnya perpaduan dapat diwujudkan dalam kalangan pelajar berbilang bangsa.

Sebagai seorang pendidik saya akan berusaha membentuk nilai-nilai bersama. Kumpulan-kumpulan kecil dan besar dalam bilik darjah akan memperoleh manfaat daripada usaha membentuk nilai bersama. Dengan cara berdialog, membina konsensus dan berkongsi pengalaman, akan berkembanglah satu gugusan nilai-nilai dan prinsip-prinsip teras yang telah sama-sama turut dirumus oleh setiap pelajar dan setiap pelajar akan berasa mempunyai hak terhadapnya. Nilai bersama merupakan pendekatan saling menyesuaikan dan bersifat anjal dalam usaha membentuk matlamat yang dipengaruhi oleh sekumpulan pelajar. Apabila sesuatu kumpulan merumus suatu pengertian bersama, maka setiap orang anggota kumpulan itu akan bergerak dalam satu kerangka yang dimilikinya bersama dan dia turut mempunyai tanggungjawab bersama . (Abu zahar Abu Bakar, 1992).

Untuk menjadikan P&P lebih menarik saya sebagai pendidik akan membangunkan perkongsian pembelajaran. Hasil sesuatu perkongsian itu menggambarkan pemikiran dan kegiatan pelajar saya. Sesebuah bilik darjah dengan para pelajarnya melaksanakan arahan-arahan dengan efisien lagi berkesan bukanlah suatu bilik darjah yang berasaskan perkongsian pembelajaran jika para pelajarnya tidak mempersoalkan adakah aktiviti mereka itu relevan, menilai sejauh mana aktiviti itu boleh diperbaiki, atau berkongsi segala sesuatu yang telah dipelajari. Usaha membina perkongsian pembelajaran merupakan suatu pendekatan merenung ke dalam diri pelajar dan pembelajaran secara kolektif dalam usaha pembinaan institusi.

Usaha ini melibatkan kesedaran kendiri dan perenungan kendiri pelajar terhadap tujuan dan kegiatan perkongsian tersebut. Oleh yang demikian, suatu perkongsian pembelajaran merupakan interaksi dalam kalangan pelajar yang melahirkan perenungan, penilaian dan pengetahuan yang akan memantapkan serta mempercepat tercapainya matlamat perkongsian pembelajaran. Perkongsian pembelajaran melahirkan persekitaran belajar yang dinamik, yang mendorong penyertaan dan amat produktif sifatnya, serta memungkinkan setiap pelajar dapat menimba ilmu sambil mempertingkatkan kemampuan diri sendiri dan kemampuan rakan-rakan mereka (Underwood, 1987). Pemudah cara yang berkesan harus mendengar dan belajar bersama-sama para pelajar. Peranan saya ialah mengatur pertemuan dan memandu para pelajar dalam latihan-latihan kumpulan. Saya bukan merupakan pakar tentang kepimpinan atau tahu tentang serba sesuatu. Perbincangan yang berjaya perlu saya hasilkan daripada semua pelajar dalam sesuatu kumpulan.

Guru yang berkesan hendaklah bijak memandu arah perbincangan. Ada kalanya saya mungkin ingin memandu perbincangan kumpulan ke arah yang baru melalui soal jawab yang mendalam. Tugas saya bukanlah untuk menentukan hasil perbincangan tetapi sekadar memimpin arah tujuannya, sambil senantiasa mengingati bahawa tidaklah ada suatu pendapat yang lebih benar atau lebih sahih. Dengan cara yang demikian saya akan dapat memastikan bahawa setiap pelajar memberikan sumbangan terhadap perkongsian pembelajaran dan ilmu. Seorang pemudah cara yang baik akan menimbulkan suasana saling mempercayai serta tidak berat sebelah dan memungkinkan setiap pelajar berasa selamat dan selesa untuk menyatakan pandangan secara jujur tanpa menghadapi tekanan atau kemungkinan diadili atau diserang.

Suasana tersebut juga memungkinkan para pelajar berasa selesa menyatakan bantahannya terhadap pelajar lain secara mendalam tetapi penuh hormat. Saya sebagai guru yang penyabar tidak akan berasa risau jika terdapat keadaan senyap yang lama selepas sesuatu pendapat dikemukakan oleh pelajar. Tempoh masa yang demikian itu merupakan kesempatan para pelajar berhenti sejenak untuk merenung dan mengumpul rasa keyakinan diri untuk menyatakan pandangan mereka.

Setelah memandu saya akan merangsang perbincangan. Sepanjang sesi-sesi pengajaran pelbagai soalan telah diajukan untuk memberangsang perbincangan dan perbahasan dalam kalangan pelajar. Soalan-soalan itu hanyalah sekadar garis panduan untuk memimpin kumpulan meneroka pelbagai tema pembelajaran. Selagi kumpulan berada dalam lingkungan perbincangan yang relevan dan bermakna, saya haruslah membiarkan mereka menyimpang daripada persoalan yang telah dikemukakan. Selain itu, saya ingin menggunakan kaedah latihan atau taktik yang lain atau yang berbeza daripada apa yang terdapat dalam buku ringkasan mengajar saya. Jika saya mengenal pasti pelajar-pelajar tertentu yang malu atau kurang yakin untuk bercakap, maka saya akan mengajukan pendapat saya dan meminta salah seorang daripada pelajar yang lain mengulas pendapat saya itu. Selagi saya peka terhadap keperluan individu dan kumpulan, saya lebih berhati-hati dan memberi dorongan, malah turut serta dalam tanggungjawab pembelajaran. Maka dengan ini saya telah menjalankan peranan pemudah cara dengan berkesan.

Ada kalanya guru sebagai pemudah cara dalam P&P terpaksa memandu perbincangan dengan menjadi seorang penjaga masa yang berkesan serta senantiasa mengingatkan para pelajar akan agenda pengajaran pada hari berkenaan( Burden, 1999). Meskipun bilangan anggota dalam kumpulan pelajar mungkin berbeza-beza, namun amat baik untuk selalu mengingatkan para pelajar supaya mengutarakan pendapat mereka dengan ringkas, tidak membiarkan seseorang atau segelintir pelajar memonopoli perbincangan. Hal ini lebih-lebih lagi diperlukan dalam latihan-latihan yang melibatkan penyertaan dan penceritaan oleh setiap pelajar. Cara yang terbaik untuk mengingatkan para pelajar supaya mereka tidak menyimpang daripada tajuk adalah dengan mengemukakan pendapat dan arahan saya kepada kumpulan dan bukannya kepada mana-mana individu pelajar.Ada juga baiknya jika para pelajar digalakkan supaya mendengar pendapat rakan-rakan sekumpulan mereka dan membina perbincangan daripada pendapat-pendapat yang telah dikemukakan sebelum itu.

Walaupun saya bertanggungjawab untuk memandu setiap sesi pengajaran hingga ke akhirnya, namum saya tidaklah semestinya mengarahkan semua aktiviti atau memudah cara semua perbincangan. Berkongsi tanggungjawab boleh dan sepatutnya merupakan sebahagian daripada usaha saya melaksanakan kegiatan sesi pengajaran. Suatu langkah mudah ialah menggalakkan pelajar secara sukarela membuat catatan untuk seluruh kumpulan, membaca arahan atau naratif daripada buku teks dan/atau menjadi pemudah cara perbincangan. Dengan meyakinkan para pelajar bahawa mereka tidak perlu risau tentang ejaan sewaktu membuat nota, atau sebutan sewaktu membaca, maka para pelajar akan berasa selesa dan pelajar-pelajar yang lain pula akan berasa terdorong untuk memberikan sumbangan. Bagaimanapun terpulanglah kepada diri saya sendiri adakah saya mahu turut serta dalam perbincangan. Namun demikian, senantiasalah beringat bahawa oleh sebab saya menyelaras setiap sesi pengajaran dan “mempunyai kuasa,” para pelajar mungkin akan memberikan pertimbangan yang lebih terhadap semua pandangan dan saranan saya. Oleh yang demikian, amatlah penting bagi saya mengehadkan campur tangan saya dalam perbincangan kumpulan.

Peranan guru tidak hanya sebagai pemudah cara, malah guru juga perlu menjadi agen perubahan dan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat khususnya kepada para pelajar. Kegemilangan negara bergantung kepada kualiti sumber manusia serta tahap pendidikan sebagai teras kepada pembangunan serta kemajuan negara yang landasannya dimulakan oleh guru-guru. Peranan para guru paling strategik dalam menentukan masa depan negara dan bangsa. Sebaik manapun sesuatu sistem pendidikan itu dibentuk, sistem itu tidak akan mencapai tujuannya jika guru-guru merupakan agen dan penggerak utama dalam proses pendidikan, tidak memiliki sikap dedikasi dan komitmen terhadap profesion perguruan yang merupakan tugas dan sekaligus amanah yang wajib ditunaikan dengan sebaik-baiknya. Perasaan tanggung jawab lahir dari hati yang luhur dan ikhlas semata-mata kerana dedikasi dan komitmen ada hubungannya dengan iman.

Guru-guru jelas memainkan peranan yang besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu, bertakwa dan berakhlak selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara bagi membawa negara ini ke hadapan pada tahap pencapaian yang setanding dengan bangsa-bangsa yang maju (Kementerian Pelajaran, 1992). Saya sebagai pendidik yang dedikasi bukan sahaja menjalankan tugas saya dengan berkesan malah sentiasa mencari jalan menambah ilmu dan kemahirannya untuk meningkatkan kecekapan dalam pengajaran dan peka terhadap perkembangan profesionnya di samping tidak mengabaikan tugas sosial terhadap masyarakat. Oleh itu, hanya guru-guru dedikasi yang mengambil berat tentang pelajar-pelajarnya dapat memberikan sumbangan menjadikan Malaysia sebagai negara yang terpuji yang terkenal dengan tradisi intelek, cemerlang dalam bidang sosioekonomi dan budaya serta mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.

Untuk menjadi teladan kepada pelajar, saya juga bertekad menjadi guru yang unggul bagi pembinaan insaniah pelajar dan pembangunan negara secara amnya. Saya perlu memandang ke hadapan untuk kebahagiaan generasi akan datang di negara yang berdaulat. Sebuah negara yang unggul berhasil mewujudkan satu ketamadunan yang mempunyai masyarakat yang berdisiplin, berhemah tinggi berilmu, beriman serta berakhlak mulia. Pembentukan ketamadunan memerlukan kesegaran budaya berfikir ke arah mewujudkan pelajar yang bertanggungjawab serta pengukuhan akidah. Mentradisikan budaya berfikir dalam kalangan pelajar merupakan anak kunci bagi kemajuan dan keunggulan sesebuah negara.

Pendidikan adalah wadah bagi pembentukan manusia dan ilmu. Pendidikan seharusnya mendukong hasrat pembangunan insan yang berilmu, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia. Bagi saya ilmu bukan sekadar maklumat. Malah prasyarat llmu ialah kebenaran maklumat di samping membawa makna kepada pelajar sehingga mereka menjadi masayarakat yang berguna kepada watan dan nusa. Kecemerlangan akademik belum bererti kecemerlangan kehidupan. Kecerdasan otak, kemahiran teknologi belum dapat melindungi pelajar-pelajar saya daripada sifat-sifat kehaiwanan. llmu yang memuncak tanpa iman boleh mendorong pelajar saya menjadi makhluk pintar tetapi perosak dan berbahaya. lnsan yang berkemahiran dan berakhlak mulia adalah insan yang diharap mampu memanfaatkan demi kepentingan manusia sejagat. Pada hakikatnya kecemerlangan sahsiah pelajar adalah berasaskan kepada kesepaduan ilmu, amal dan iman.

Untuk mengwujudkan dan menjamin kesepaduan ilmu, amal dan iman maka adalah perlu bagi saya untuk mendidik dan menjadi idola kepada pelajar saya dengan memperlihatkan perwatakan yang positif dan sempurna. Dalam proses ini saya mempunyai peranan yang utama lagi mulia dalam memindahkan ilmu yang baik, meninggikan adab, serta sikap murni yang diredhai Tuhan. Saya juga akan memberi petunjuk ke arah jalan yang benar dan sebagai pemudahcara proses pembelajaran.

SENARAI RUJUKAN

Abu Zahari bin Abu Bakar (1992). Psikologi Pendidikan Untuk Guru. Petaling Jaya : Pustaka Delta Pelajaran Sdn. Bhd.

Banburry,M.M.(2003). Classroom Management. Boston : Allyn and Bacon

Berryman, S.E. (2002). Designing Effective Learning Environments. Institute of Education and tThe Economy, New York

Burden, P.R (1999). Methods For Effective Teaching (2nd Ed) Boston : Allyn and Bacon

Haris Md.Jadi (2002). Reformasi Kurikulum Dalam Sistem Pendidikan Di Malaysia: Suatu Kritikan. Diges Pendidik, Jilid 2. Bil. 1/2002, 23-31, Universiti Sains Malaysia

Kementerian Pelajaran Malaysia (1992). Buku Penerangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum

Underwood (1987). Effective Class Management. New York : Longman

No comments:

Post a Comment