ELEMEN-ELEMEN PEMBENTANGAN DALAM KALANGAN PELAJAR
PRA U ATAS: SIGNIFIKANNYA TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM BILIK
DARJAH
1.0 PENGENALAN
Pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran telah
diperkenalkan di tingkatan enam. Salah satunya ialah kaedah pembentangan.
Bersesuaian dengan kematangan fikiran pelajar tingkatan enam atas, pembentangan
di hadapan kelas merupakan satu elemen pembelajaran yang penting. . Melalui
pembentangan ini sikap keyakinan diri dan sikap pemerolehan ilmu dapat dipupuk
dalam diri pelajar. Mengikut Kamus Dewan, pembentangan bermaksud,” perbuatan
memaparkan, menghuraikan dan menerangkan sesuatu maklumat”. Jadi dalam konteks
pengajaran dan pembelajaran pembentangan pelajar bermaksud pelajar memaparkan,
menghuraikan dan menerangkan maklumat atau idea mengenai topik yang dipelajari
dalam bilik darjah.
2.0 PENYATAAN MASALAH
Pembentangan dalam bentuk seminar dan kelas sememangnya
banyak dilakukan oleh pelajar-pelajar tingkatan enam. Akan tetapi berapa banyak
guru dan pelajar mengetahui cara-cara pembentangan yang betul? Kebanyakan
pelajar menghafal dan membaca di hadapan kelas apabila disuruh membentangkan
kerta s kerja. Rata-rata guru dan pelajar tidak tahu menyediakan kertas kerja
dan cara-cara pembentangan di hadapan kelas dalam jangka masa yang ditetapkan.
Kajian ini diharapkan dapat membantu guru dan pelajar tingkatan enam supaya
mengetahui cara-cara pembentangan yang betul dan apakah-apakah elemen-elemen
yang perlu diberi perhatian dalam pembentangan.
3.0 SOROTAN LITERATUR
Pembentangan penting dalam menyampaikan dan menerima
ilmu. Pembentangan boleh berlaku secara formal seperti yang berlaku apabila
pelajar menghadiri kelas pengajaran dan pembelajaran. Pembentangan dalam bilik
darjah amat penting kerana pelajar dapat mengetahui skop pelajaran yang
diajarkan oleh guru mereka dan pelajar boleh mendapatkan maklumat-maklumat
baharu tentang mata pelajaran yang dipelajarinya. Kedua, iaitu pendengaran dan
penglihatan dalam apabila mendapatkan sesuatu maklumat (Ismail Ahmad, 1995).
Oleh itu, kombinasi ini memberikan kelebihan kepada pelajar berbanding dengan
pembelajaran melalui penulisan. Di samping itu, faktor person-to-person, dan
perhubungan peribadi secara terus menerus boleh menjadikan pembentangan menjadi
sangat berkesan. Pembentangan yang menekankan ekspresi dan nada suara ini,
membantu pelajar membina makna yang tidak terdapat dalam pembacaan mahupun
dalam penulisan. Di samping mengasah kecerdasan berfikir dan ketrampilan
menganalisis sesuatu keadaan, seseorang pembentang dapat menunjukkan
ketrampilan dalam menyampaikan maklumat. Dalam dunia mencari pekerjaan,
keupayaan berinteraksi dan menganalisis menjadi kunci kepada kejayaan kepada
seseorang pelajar apabila mereka meninggalkan bangku sekolah nanti.
Pembentangan merupakan satu latihan akademik yang
diperlukan di institusi pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti. Bagi
pelajar, latihan ini membentuk ciri yakin akan kebolehan diri sendiri serta
meningkatkan keberkesanan berkomunikasi. Malah melalui pembentangan pelajar
dapat menyebarkan ilmu dan hasil penyelidikan atau dapatan sesuatu kajian
dengan berwibawa (Parvis, 2007).
Pada dasarnya, pembentangan seminar memerlukan
perhatian yang lebih kepada teknik persembahan yang berkesan. Terdapat empat
aspek yang penting yang perlu diketahui oleh seseorang pembentang, iaitu suara,
kelakuan, pengolahan idea dan alat pandang dengar (audio visual). Persediaan
perlu dilakukan dengan rapi sebelum sesuatu pembentangan disampaikan dengan
jayanya. Tinjauan tentang beberapa perkara asas seperti tempat, masa dan tempoh
pembentangan adalah antara maklumat asas yang perlu diketahui sebelum membuat
kertas kerja pembentangan. Pengetahuan awal tentang tempoh pembentangan boleh
digunakan bagi persembahan percubaan di tempat lain ataupun dalam bilik seminar
sebenar sebelum seminar itu diberikan. Persediaan hand-out dalam bentuk nota
boleh melicinkan pembentangan. kerana nota boleh disusun dalam susunan yang
logik. Nota pendek ini akan jadi mudah dibaca sekiranya ditulis dengan jelas
dan mengandungi fakta-fakta penting sahaja. Adalah baik jika teks penuh
disediakan dan digunakan untuk percubaan. Bagaimanapun penggunaan teks penuh
semasa pembentangan tidak digalakkan kerana ini memungkinkan pembentang itu
membaca kertas kerja atau nota dan akan menghilangkan keyakinan pembentang
tersebut (Gallo, 2006).
Beberapa perkara penting yang boleh menolong
pembentang seminar semasa pembentangan. Antaranya ialah penggunaan masa yang
betul, keserasian dan kelicinan bahasa yang digunakan, ketertiban dan
kesesuaian suara. Penggunaan masa dalam dua aspek, iaitu isi dan tempoh.
Tentang isi, adalah dicadangkan supaya pembahagian masa diberikan seperti
berikut: 10% untuk pengenalan dan bahan kaedah; 80% untuk isi (hasil dan
perbincangan) dan 10% untuk rumusan. Terdapat empat bahagian dalam pembentangan
lisan sesuatu dapatan penyelidikan. Dalam setiap bahagian pembentang perlu
menerangkan:
a) Mengapakah penyelidikan atau subjek pembentangan
dilakukan?
b) Bagaimanakah pembentangan dilakukan?
c) Apakah yang telah diperoleh pada akhir
pembentangan?
d) Apakah makna hasil yang diperoleh itu, berbanding
dengan status ilmu yang ada sekarang? (Gilda, 1997).
Pembentangan dibahagikan kepada tiga, iaitu
permulaan, pertengahan dan penutup. Pembukaan dan penutup sangat penting untuk
keberkesanan pembentangan . Urutan tersebut merangsang pendengar untuk memahami
mesej yang disampaikan. Pembentang memulakan pembentangan dengan menerangkan
tujuan kajian atau topik pembentangan dan mengapa pembentangan tersebut
dilakukan berdasarkan keadaan semasa. Ayat-ayat awal boleh digunakan untuk
membentuk imej pembentang dan menolong pendengar menumpukan perhatian kepada
topik yang akan disampaikan seterusnya.
Bahagian pertengahan merupakan peringkat
perbicaraan. Di sinilah tempatnya sesuatu idea atau fakta dikemukakan,
dibahaskan, disokong, dibuktikan serta dihubungkan antara satu dengan yang
lain. Seseorang pendengar seharusnya dapat mengikuti sesuatu pendedahan idea
tanpa perlu mengimbas kembali fakta yang terdahulu disampaikan. Keperluan
mengimbas kembali ini dapat dielakkan jika pembentang seminar itu
membentangkannya dengan berhati-hati (Ismail Ahmad, 1995).
Pembentangan perlu terus kepada mesej kerana
pendengar tidak ada masa yang banyak untuk mendengar. Di samping itu pembentang
sendiri tidak diperuntukkan masa yang panjang untuk berbicara mengenai perkara
di luar tajuk . Pembentang seharusnya mengelakkan elemen-elemen yang tidak diberikan
perhatian oleh pendengar. Tahap akhir ialah kesimpulan. Sesuatu pembentangan
yang tiada kesimpulan seolah-olah menyerahkan kerja penyimpulan kepada
pendengar. Kesimpulan atau penutup yang baik dapat mengukuhkan imej pembentang
. Di samping itu, pendengar dapat menggarap fakta-fakta yang penting dan
terpaut dengan maklumat – maklumat yang telah didedahkan itu.
Selain itu, bahasa yang mudah difahami perlu
digunakan. Slanga , frasa bahasa asing dan jargon perlu dihindarkan. Pembentang
harus menggunakan nada suara dan hentian yang betul supaya pendengar dapat
memahami topik pembentangan dengan baik. Penggunaan kata ganti seperti kami,
saya dan sebagainya boleh memberikan gambaran bahawa pendengar adalah terlibat
secara peribadi dalam aktiviti pembentangan seminar yang dijalankan (Nik Safiah
Karim, 1993) .
Satu lagi elemen penting dalam pembentangan ialah
penggunaan audio visual. Terdapat banyak fakta dan data dalam pembentangan.
Malah dengan masa yang terhad, pendengar tiada kesempatan untuk mendengar atau
menghayati setiap data atau fakta. Jika boleh ilustrasi dua pancaindera
digunakan iaitu, penglihatan dan pendengaran . Memandangkan masa yang
diperuntukkan terhad, pembentang tiada peluang untuk membuat pembetulan kepada
sesuatu kesilapan seperti dalam penulisan. Untuk membantu mengurangkan
percakapan, ilustrasi dengan audio visual digunakan. Audio visual yang biasa
digunakan ialah transparensi, slaid dan projektor LCD (Galllo, 2006) .
Perbincangan merupakan satu aktiviti yang boleh
memberikan kelebihan kepada pendengar. Semasa membincangkan bahan-bahan
akademik pendengar yang terlibat harus bertindak aktif sama ada memberi
pendapat, menganalisis pendapat dan menerima pendapat pendengar yang lain.
Perbincangan harus berkisar pada masalah pemahaman topik pembentangan.
Pemahaman sesuatu subjek kajian atau pembentangan melibatkan saling tindak
pelajar- pelajar dengan pembentang. Perbincangan sesama pelajar secara tidak
formal sangat digalakkan kerana hasil pembentangan tersebut dapat meningkatkan
kefahaman dan membetulkan tanggapan atau konsep yang salah sebelum menghadiri
pembentangan (Edwards dan Westgate, 1987).
4.0. KERANGKA TEORI KAJIAN
Kerangka teori kajian ini adalah berdasarkan model
input dan output. Input adalah berdasarkan model Brenda Hayden dan Lou Tillson,
‘Strategies To Improve Students’ Presentation Skills’ (2007) yang telah diubah
suai mengikut sorotan literatur mengenai pembentangan pelajar dalam kelas.
Model mengatakan bahawa pembentangan yang berkesan amat dipengaruhi oleh empat
faktor, iaitu kualiti pembentangan, kesesuaian aras pembentangan, dan masa yang
diperuntukkan manakala output pula adalah resepsi atau pemahaman pelajar.
(Lihat Rajah 1).
4.1.Tujuan Kajian
Kajian ini adalah untuk mengesani model Brenda dan
Lou (2007) yang dimodifikasi. Kajian ingin melihat sejauh manakah amalan
pembentangan yang berkesan dalam kelas dipengaruhi oleh empat faktor iaitu
kualiti pembentangan, kesesuaian aras pembentangan, dan masa yang diperuntukkan
kepada pembentang oleh guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran di SMK
Tinggi Bukit Mertajam iaitu sebuah sekolah menengah Tingkatan 6. Selain itu
kajian ini juga bertujuan untuk membina satu profil amalan pembentangan pelajar
yang berkesan berdasarkan persepsi pelajar-pelajar dari sekolah berkenaan.
Input Proses Output
Pelbagai kaedah pembentangan
Pelbagai alat audio visual
Isi kandungan kemas kini
Aras kebolehan pelajar
Perancangan isi pembentangan
Memberi motivasi
Sistem ganjaran atau dendaan
Engaged time
Time-on-task
Kualiti pembentangan
Kesesuaian aras pembentangan
Resepsi/Pemahaman
Pelajar
Persediaan Bahan
Masa
Rajah 1: Model Input dan Output Pembentangan Pelajar
berdasarkan model Brenda dan Lou (2007) (Modifikasi)
4.2.Soalan Kajian
Soalan kajian ini adalah seperti di bawah:
1. Adakah model pembentangan yang berkesan Brenda
dan Lou (Modifikasi) telah diamalkan oleh pembentang dalam kelas?
2. Apakah profil amalan pembentangan pelajar yang
digunakan di SMK Tinggi Bukit Mertajam?
5.0. METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini telah dijalankan di SMK Tinggi Bukit
Mertajam iaitu sebuah sekolah menengah tingkatan enam. Responden kajian ini
terdiri daripada pelajar tingkatan enam di sekolah yang berkenaan. Seramai 60
orang pelajar telah dipilih sebagai responden. Kajian ini adalah untuk meninjau
persepsi pelajar terhadap pembentangan mereka di hadapan kelas mengikut model
pembentangan berkesan Brenda dan Lou (2007) (Modifikasi). Kajian ini
menggunakan kaedah tinjauan dan temu bual dengan para pelajar.
5.1. Instrumen Kajian
Satu set instrumen kajian yang mengandungi 22 item
telah dibina oleh penyelidik berdasarkan Model Brenda dan Lou. Terdapat empat
subskala bagi mengukur amalan pembentangan yang berkesan berdasarkan model
tersebut. Item kualiti pembentangan mengandungi 11 konstruk, item kesesuaian
aras pembentangan mengandungi 7 konstruk manakala item masa mengandungi 4
konstruk. Kesemua item dalam instrumen ini diedarkan kepada 60 orang pelajar
tingkatan enam. Mereka diminta menandakan pangkah pada ruang “Sangat Selalu”,
“Selalu”, “Kadang-Kadang” dan “Tiada Langsung”
5.2.Analisis Data
Bagi menjawab soalan kajian yang pertama, frekuensi
dan peratusan (%) telah digunakan. Bagi mendapatkan jawapan soalan kajian kedua
pula, satu senarai min (X) telah digunakan bagi membina profil amalan
pembentangan pelajar yang berkesan. Kesemua dapatan kajian dianalisis dan
dibentangkan dalam bentuk jadual supaya memudahkan pembaca memahaminya.
6.0 DAPATAN KAJIAN
Jadual 1: Pembentangan Berkesan Mengikut Model
Brenda dan Lou (Modifikasi)
Responden ialah pelajar Tingkatan Enam sebuah
Sekolah Menengah yang pernah membentang dalam kelas (N= 60)
A. Item-item dalam kualiti pembentangan pelajar
Tiada Langsung
(%) Kadang-kadang
(%) Selalu
(%) Sangat selalu
(%)
1. Pelajar merancang pembentangan
2. Pelajar menggunakan pelbagai kaedah
3. Pelajar mengaitkan isi pelajaran dengan
pengetahuan dan pengalaman pelajar yang lepas
4. Pelajar menggunakan pelbagai audio visual
5. Pelajar mengenal pasti ketepatan isi pelajaran
6. Pelajar memantau kemajuan dan kefahaman rakan
7. Pelajar menyampaikan isi pelajaran secara
sistematik, jelas dan mudah difahami
8. Pelajar dapat menarik minat dan menyeronokan
rakan untuk terus dengar
9. Pelajar banyak bersoal
10. Kesemua isi pelajaran dalam sukatan pelajaran
dipelajari pelajar
11. Pelajar menggalakkan kemahiran berfikir seperti
menganalisis dan mencerakin
B. Kesesuaian Aras Pembentangan Tiada Langsung
(%) Kadang-kadang
(%) Selalu
(%) Sangat selalu
(%)
12. Pelajar bentang mengikut aras kebolehan rakan
13. Pelajar mempraktikkan rakan cepat memahami
konsep dan menguasai kemahiran
14. Pelajar memastikan rakan mempunyai sikap mahu
belajar
15. Pelajar mengumpulkan rakan berdasarkan kebolehan
dan penguasaan sesuatu topik
16. Pelajar memastikan rakan dapat menguasai
kemahiran
17. Pelajar memastikan ketepatan dan mempunyai
pengetahuan yang terkini mengenai isi kandungan mata pelajaran yang dipelajari
dan penguasaan bahan yang berkaitan
18. Pelajar meletakkan harapan yang tinggi terhadap
pencapian rakannya
C.Masa Pembentangan Tiada Langsung
(%) Kadang-kadang
(%) Selalu
(%) Sangat selalu
(%)
19.Pelajar menggunakan masa
sepenuhnya seperti mana
yang diperuntukkan
19. Pelajar menyoal rakannya
20. Pelajar mulakan pembentangan tepat pada waktunya
21. Pelajar tamatkan pembentangan tepat pada
waktunya.
Daripada jadual 1 di atas bagi subskala kualiti
pembentangan, mengikut persepsi pelajar, sebanyak 52.4% (31) pelajar mengatakan
pembentang selalu merancang pembentangan terlebih dahulu, dan 32.7% (20)
pelajar mengatakan pembentang kadang-kadang merancang pembentangan terlebih
dahulu. Bagi penggunaan audio visual pula, sebanyak 61.5% (37) pelajar
mengatakan pembentang kadang-kadang menggunakan pelbagai audio visual dan hanya
25.0% (15) pelajar, mengatakan rakannya selalu menggunakan audio visual. Bagi
ketepatan isi pelajaran pula, sebanyak 56.3% (34) pelajar mengatakan pembentang
selalu memastikan ketepatan isi pelajaran dan hanya 21.6% (13) pelajar yang
mengatakan pembentang kadang-kadang memastikan ketepatan isi pelajarannya. Bagi
mempelbagaikan kemahiran berfikir, didapati sebanyak 41.8% (25) pelajar
mengatakan pembentang kadang-kadang menggunakan pelbagai kemahiran berfikir dan
hanya 38.5% (23) pelajar yang mengatakan pembentang selalu menggunakan pelbagai
kemahiran berfikir.
Bagi subskala kesesuaian aras pembentangan, sebanyak
44.7% (27) pelajar mengatakan pembentang selalu membentang mengikut aras
kebolehan pelajar, dan hanya 42.3% (25) pelajar mengatakan pembentang
kadang-kadang membentang mengikut aras kebolehan pelajar.
Manakala bagi subskala masa pembentangan, sebanyak
44.7% (25) pelajar mengatakan pembentang menggunakan masa sepenuhnya untuk
membentang dan hanya 28.8% (17) pelajar yang mengatakan pembentang
kadang-kadang menggunakan masa sepenuhnya untuk membentang.
6.1.Profil Amalan Pembentangan Pelajar yang berkesan
Mengikut Persepsi Pelajar
Profil amalan pembentangan pelajar berkesan mengikut
persepsi pelajar dibina berdasarkan senarai min (X) dan disusun mengikut
subskala seperti berikut:
6.1.1.Kualiti Pembentangan
Dalam amalan pembentangan pelajar mengikut persepsi
pelajar, pembentang perlu merancang pembentangan terlebih dahulu sebelum
membentang. Ini termasuklah menyediakan buku catatan, audio visual dan
mempastikan isi pelajaran tepat. Apabila membentang, pembentang akan mengaitkan
isi-isi pelajaran yang baharu dengan pengetahuan yang sedia ada dan dengan
pengalaman pelajar yang lepas. Selain itu, pembentang akan menyampaikan isi-isi
pelajaran secara sistematik, tersusun dan jelas serta mudah difahami oleh
pelajar. Pembentang juga akan memastikan ketepatan dan mengemaskini isi-isi
kandungan mata pelajaran yang dipelajari. Pembentang yang berkesan menggunakan
pelbagai kaedah pengajaran dan mempelbagaikan bahan media atau alat bantu
ketika membentang. Setiap kali selesai membentang, pembentang yang berkesan
akan memantau kemajuan dan kefahaman rakan-rakan mereka dengan pelbagai cara
sama ada penyoalan atau kuiz bertulis.
6.1.2.Kesesuaian Aras Pembentangan
Mengikut persepsi pelajar, pembentang yang berkesan
apabila membentang akan memastikan pelajarnya mempunyai sikap dan kemahiran
untuk belajar. Selain itu, pembentang juga akan membentang mengikut aras
kebolehan dan keupayaan pelajar serta memastikan kesemua isi pelajaran dalam
sukatan pelajaran atau rancangan pelajaran difahami oleh rakan-rakannya.
Pembentang berkesan mengumpulkan pelajar berdasarkan kebolehan dan penguasaan
sesuatu kemahiran.
6.1.3.Masa
Akhir sekali pembentang yang berkesan akan
membentang dengan menggunakan sepenuh masanya seperti mana yang diperuntukkan
untuk membentang, memberi masa yang mencukupi untuk rakan menjawab soalan dan
memberi pelbagai jenis tugasan kepada pelajar. Begitu juga pembentang akan
masuk dan keluar sesi pembentangan mengikut tepat pada waktunya.
7.0 PERBINCANGAN DAN RUMUSAN
Dapatan di atas menunjukkan, beberapa orang
pembentang di sekolah menengah kajian ini merancang pembentangan terlebih
dahulu sebelum membentang. Pembentang menyediakan dan menyiapkan buku catatan
dan membuat rujukan bagi memastikan isi-isi pembentangan tepat dan kemas kini.
Mereka juga mempelbagaikan audio visual dan menyediakan aktiviti atau latihan
pada penghujung pembentangan. Semasa membentang pula, pembentang-pembentang
akan menyusun isi-isi pelajaran secara sistematik supaya jelas dan mudah
difahami. Mereka menggunakan bahasa yang mudah. Selain itu, dapatan ini
menunjukkan pembentang di sekolah yang dikaji mempelbagaikan kaedah
pembentangan seperti menggunakan ekspresi muka dan nada suara yang berlainan
supaya pembentangan itu menyeronokkan, dan dapat menarik minat pelajar untuk
terus mendengar pembentangan mereka. Untuk memastikan pelajar mudah memahami
sesuatu konsep atau kemahiran, pembentang-pembentang mengaitkan isi pelajaran
yang baharu dengan pengetahuan dan pengalaman pelajar yang lepas.
Pembentang juga apabila membentang mengikut aras
kebolehan pelajar, menggunakan masa pembentangan dengan sepenuhnya, masuk dan
keluar sesi pembentangan tepat pada waktunya dan juga memberikan masa
secukupnya kepada pelajar untuk menjawab soalan. Pembentang yang berkesan juga
memberikan motivasi dan galakan kepada pelajar supaya mendengar pembentangan
mereka dan bertanya jika ada soalan demi kecemerlangan akademik pelajar
tersebut. Untuk memastikan pelajar-pelajar ini dapat menguasai sesuatu konsep
atau kemahiran, pelajar dikumpulkan mengikut kebolehan. Hal ini sama dengan
Model Brenda dan Lou (2007) Akhir sekali, pembentang yang berkesan akan selalu
mengukur pemahaman atau resepsi pelajar melalui pelbagai bentuk penyoalan dan
kuiz pada setiap akhir sesuatu pembentangan. Oleh itu, pembentangan yang
berkesan bukan sahaja bergantung kepada kebolehan pembentang membentang dengan
baik, tetapi mereka juga harus memiliki elemen-elemen pembentangan yang
dianjurkan dalam kajian ini.
Cadangan Untuk Meningkatkan Keberkesanan Amalan
Pembentangan Pelajar Supaya Resepsi atau Pemahaman Pelajar Meningkat
1. Pembentang mesti merancang pembentangan terlebih
dahulu, mempelbagaikan kaedah pembentangan, menggunakan audio visual dan
mengaitkan isi pembentangan dengan pengalaman pelajar.
2. Pembentang perlu memastikan ketepatan isi
pelajaran, dan menyampaikan isi pelajaran secara sistematik, jelas, dan mudah
difahami.
3. Pembentangan pelajar mesti menarik minat dan
menyeronokkan pelajar lain supaya mereka akan terus mendengar.
4. Pembentang sentiasa menggunakan pelbagai
kemahiran berfikir seperti menganalisis, mensintesis, dan mencerakinkan idea
sehingga pelajar memahami isi pembentangan.
5. Pembentang perlu banyak menyoal dan memberi
latihan bertulis kepada pelajar.
6. Pembentang perlu membentang mengikut aras
kebolehan pelajar.
7. Pembentang perlu meletakkan harapan yang tinggi
terhadap pencapaian pelajar dan memberi semangat kepada pelajar supaya belajar
bersungguh-sungguh.
8. Pembentang perlu memastikan ketepatan fakta dan
mempunyai pengetahuan yang terkini mengenai isi kandungan mata pelajaran yang
hendak dibentang dan penguasaan bahan yang berkaitan.
8.0 KESIMPULAN
Kajian ini menunjukkan model amalan pembentangan
berkesan Model Brenda dan Lou (2007) telah digunakan oleh kebanyakan pembentang
yang dikaji di SMK Tinggi Bukit Mertajam sebuah sekolah menengah tingkatan
enam. Kajian ini telah mendedahkan elemen-elemen penting dalam pembentangan.
Kajian juga telah menyelongkar hubungan elemen-elemen ini dengan gaya pembelajaran
pelajar di bilik darjah. Kajian ini tentu membantu guru dan pelajar SMK Tinggi
Bukit Mertajam untuk meningkatkan mutu pembentangan dalam bilik darjah. Akhir
sekali kajian ini telah memberi pendedahan dan bimbingan mengenai cara-cara
pembentangan yang betul.
9.0 RUJUKAN
Brenda Hayden Sheets dan Lou Jillson (2007).
“Strategies To Improve Students’ Presentation Skills” dalam
http://www.westga.edu/bquest/2007
Edwards dan Westgate(1987) “ Investigating Classroom
Talk”. The Falmer Press: London
Gallo, C (2006) “The 10 Worst Presentation Habits”
dalam 06/02/mistakes/index.html
Gilda, Haber (1997) “Benefit Of Student Verbal
Presentation to The Class” dalam
http://www.etni.org/etnirag/issue9/gilda_haber.htm
Ismail Ahmad (1995) “Komunikasi Saintifik”. Dewan
Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur
Nik Safiah Karim (1993) “Beberapa Aspek Laras
Ilmiah” Pelita Bahasa, Mei 1993 hlm 27-29. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala
Lumpur
Parvis, L.F (2007) “The Importance Of Communication
and Public Speaking Skills” dalam http://images.bussinessweek.com
No comments:
Post a Comment