Thursday, June 11, 2020

Surat Kiriman Rasmi Contoh. Aduan Masalah-oleh Dr R Dhanapal


Surat Kiriman Rasmi Contoh. Aduan Masalah-oleh Dr R Dhanapal

Kelab Cinta Alam,
SMK Tingi Bukit Mertajam,
77, Jalan Sri Bukit,
14000 Bukit Mertajam

Yang DiPertua,
Majlis Bandaraya Seberang Perai,
Bandar Baru Perda,
14000 Bukit Mertajam                                                                                    11 JUN 2020


Tuan,

ADUAN TENTANG MASALAH JALAN

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Kelab kami telah membuat satu tinjauan di jalan masuk ke kawasan riadah Bukit Melati dari jalan raya yang utama. Kami mendapati jalan yang menuju ke kawasan riadah itu tidak rata, berbonggol, pecah dan berlubang pada beberapa permukaan jalan.

3. Keadaan tersebut bukan saja menimbulkan rasa tidak selesa dan kecewa dalam kalangan pengguna jalan yang terlibat tetapi juga kami berasa bimbang akan keselamatan pengunjung kawasan riadah jika masalah ini dibiarkan tanpa diambil sebarang tindakan.

4. Untuk perhatian Tuan, kelab kami mendapati jalan-jalan di kawasan tersebut berbonggol, pecah, tidak rata dan berlubang disebabkan kenderaan berat seperti lori lalu di jalan itu. Walaupun  pihak kontraktor menampal dan menurap, tetapi jalan itu masih tidak dapat digunakan. Ada satu ketika seorang penunggang motosikal terpaksa melanggar sebuah kereta apabila penunggang itu cuba mengelak jalan yang berlubang itu.

5.Kelab kami berasa kesal kerana masalah tersebut sudah lama berlaku. Malah pengunjung-pengunjung juga telah mengadu hal ini kepada beberapa orang petugas MBSP tetapi tiada sebarang tindakan daripada mereka sehingga hari ini.

6. Kelab Cinta Alam yang saya terajui sangat berharap pihak Tuan dapat memberi perhatian  yang serius terhadap perkara ini supaya kemalangan tidak menimpa pengunjung-pengunjung jalan tersebut.

Sekian. Harap pihak MBSP memberi pertimbangan yang serius dan mengambil tindakan yang wajar untuk mengatasi masalah tersebut sebelum berlaku sebarang kemalangan nyawa.

Sekian. Terima kasih


Yang benar,


(ALI BIN AHMAD)
Pengerusi
Kelab Cinta Alam
SMK Tinggi Bukit Mertajam


No comments:

Post a Comment