Thursday, June 18, 2020

PENGAJIAN AM SEM2 –ESEI –ANCAMAN DALAMAN MALAYSIA


PENGAJIAN  AM SEM2 –ESEI –ANCAMAN DALAMAN   MALAYSIA

Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat perlu mengambil kira aspek-saspek ancaman dalaman negara dalam usaha mengekalkan kedaulatan, keselamatan  dan ketenteraman awam. Bincangkan ancaman-ancaman tersebut.

PENDAHULUAN

Pengalaman lalu yang pernah dihadapi negara dari segi keselamatan termasuklah kolonialisme kuasa asing, keganasan komunis, konfrontasi dengan Indonesia, pemisahan wilayah, konflik perkauman 13 Mei 1969, ekstremisme (kaum, ideologi, agama dan politik), krisis ekonomi, bencana alam dan pencerobohan wilayah.

IS-ISI -ANCAMAN-ANCAMAN DALAMAN

1. KERAPUHAN PERPADUAN NASIONAL

Isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum, etnik, agama, kepercayaan dan kebudayaan yang tersebar dengan meluas tanpa sekatan dalam media sosial masih lagi menjadi punca pergeseran  antara kaum di Malaysia yang menjejaskan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan progresif.

2.CABARAN TERHADAP SISTEM DEMOKRASI NEGARA

Wujud usaha dan gerakan untuk menjatuhkan kerajaan melalui cara di luar proses demokrasi yang melanggar undang-undang negara. Tindakan ini akan melemahkan institusi negara seterusnya mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

3.PENDATANG ASING TANPA IZIN (PATI) DAN ‘PELARIAN’

Keamanan, kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi yang pesat turut menjadi faktor penarik kepada kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan ‘pelarian’. Kehadiran PATI dan ‘pelarian’ ini selain memberi implikasi sosial, ekonomi, jenayah, politik dan hubungan diplomasi, tetapi  juga berupaya mengancam ketenteraman dan keselamatan negara.

4.EKSTREMISME DAN KEGANASAN

Isu keganasan antarabangsa terus menjadi ancaman global yang memberikan impak langsung kepada keselamatan Malaysia. Elemen-elemen ekstremisme dan keganasan yang menyusup
masuk ke dalam negara serta penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti keganasan di dalam dan di luar negara, boleh mencetuskan kekacauan dan menggugat keamanan negara.

5. KESELAMATAN SIBER

Penemuan dan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah meningkatkan kebergantungan kepada teknologi ini turut membuka ruang kepada risiko ancaman keselamatan siber. Sifat dimensi ruang siber yang luas tanpa sempadan dengan akses mudah dan mampu dimiliki serta berciri ketanpanamaan telah meningkatkan lagi risiko ancaman-ancaman serangan terhadap infrastruktur maklumat kritikal negara, penyalahgunaan internet, kegiatan perisikan/espionaj siber dan sebagainya. Trend serangan dan insiden keselamatan siber yang berlaku kini semakin meningkat dengan impak yang sukar diramal.

6.KEJADIAN BENCANA

Malaysia terdedah kepada bahaya dan risiko bencana alam seperti banjir, taufan, ribut, penyakit berjangkit, wabak, gempa bumi, tsunami, kemarau/El-Nino, tanah runtuh, jerebu, kesan perubahan iklim ke atas kejadian bencana seperti kenaikan paras laut, suhu udara dan darat dan bencana buatan manusia. Kejadian bencana bersifat kompleks dan bermagnitud besar yang berlaku sama ada di dalam atau di luar negara, boleh menjejaskan kehidupan rakyat dan merencatkan perjalanan pentadbiran negara.

KESIMPULAN

Kerajaan hendaklah memastikan keselamatan dan kelangsungan negara terus terjamin. Asas negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan. Kerajaan hendaklah memantau keberkesananan strategi-strategi yang dirangka. Selain agensi kerajaan, komitmen, sokongan, dan kerjasama pihak swasta dan badan bukan kerajaan juga memainkan peranan dalam memelihara keselamatan negara


No comments:

Post a Comment