Kebobrokan dan ketaksuban segelintir masyarakat menyebabkan pelbagai
implikasi berlaku di negara kita. Bincangkan.
Kamus
Bahasa Melayu mendefinisikan kebobrokan sebagai suatu keadaan yang binasa atau rosak. Manakala
ketaksuban pula dimaksudkan sebagai berpegang pada sesuatu secara berlebih-lebihan. Dalam konteks kontemporari , kehidupan manusia
yang menuju ke arah kerosakan dan keterlaluan akan membawa negara
ini ke arah kehancuran. Tamadun dan negara bangsa yang kita bina selama ini akan
menjadi ranap jika masyarakat kita semakin bobrok dan taksub.
Walaupun
negara kita sudah merdeka, tetapi budaya asing
sering mendominasi budaya kehidupan kebanyakan masyarakat kita. Budaya
asal yang pernah kita praktikkan sejak turun-temurun, semakin hilang auranya dan taringnya. Budaya pelbagai bangsa di
negara ini makin dicorakkan dan diwarnai oleh budaya kuning atau budaya Barat.
Budaya Melayu, Cina dan India dan masyarakat pribumi yang lain adalah
sebahagian daripada citra budaya Malaysia. Budaya yang heterogen
inilah yang menyebabkan negara kita dilihat sebagai sebuah negara yang
unik dan istimewa. Kini peresapan budaya luar memudaratkan keindahan budaya
asal kita.
Selain
itu, masyarakat kita tidak lagi mengamalkan
budaya masyarakat penyayang. Hari ini sesuatu bangsa tidak lagi
menyayangi bangsa lain.Mereka seolah-olah mementingkan diri sendiri dan hanya
memperjuangkan nasib dan hak bangsanya sahaja. Sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ini menjadi budaya hidup bangsa yang
berkepentingan. Sewajarnya semua bangsa di Malaysia hendaklah saling membantu
dalam mengagihkan kekayaan negara. Mereka haruslah berkongsi peluang-peluang
pekerjaan dan kemudahan-kemudahan yang ada sesama bangsa lain. Semua bangsa
sepatutnya menghirup udara pembangunan secara
saksama. Akan tetapi semua ini gagal dimanifestasikan dan cuma menjadi utopia.
Di
samping itu, kini usaha konkrit kerajaan untuk membina
masyarakat yang berkasih sayang dan perpaduan tidak dirasai. Hal
ini kerana kebanyakan pemimpin hanya menjaga periuk nasi masing-masing
dan sibuk berpolitik tanpa menghiraukan nawaitu rakyat.
Hari ini, syak dan curiga antara satu dengan lain semakin menjadi-jadi malah menjadi
duri dalam daging.
Penindasan terhadap masyarakat bawahan yang kurang berada makin menjadi-jadi.
Golongan kaya bertambah kaya dan golongan miskin bertambah miskin. Hal ini
dikatakan sedemikian kerana golongan kaya mampu membolot semua peluang yang ada
pada mereka. Mereka mengeksploitasi golonga marhaen dengan mengenakan harga
yang tinggi terhadap barangan dan membayar upah yang rendah. Mereka bagaikan menangguk di air yang keruh.
Sudah
terang lagi bersuluh bahawa ibu kota dan
bandar-bandar utama kini dilimpahi dengan pusat maksiat seperti
sarang pelacuran, rumah urut dan kelab-kelab malam yang menganjurkan pesta seks
liar dan sebagainya. Ada gula ada semut. Maka begitulah masyarakat yang
terhakis keimanan sering melawat ke tempat-tempat ini. Masyarakat kita sanggup
menggadai nilai budi ketimuran untuk meraih laba keuntungan. Natijahnya mahligai indah yang dibina bersama pasangan
hidup akan menjadi kecai dalam sekelip mata sahaja apabila akhlak salah seorang
pasangan tersebut runtuh dan rosak,akibat menjadi pelanggan tetap ke
pusat-pusat tersebut..
Lanjutan
daripada premis di atas, kegiatan kongsi gelap dan
jenayah yang terancang juga banyak dilaporkan berlaku di negara
kita oleh media massa. Saban hari akhbar pasti menyiarkan berita-berita jenayah
yang kerap berlaku. Ibu kota Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar seperti Georgetown,
Ipoh , Kuching dan lain-lain sering mencatatkan rekod jenayah yang cukup tinggi bagai cendawan selepas hujan. Dadah dan
pemerdagangan manusia yang sangat serius juga tidak terkecuali di
negara kita. Yang amat malang apabila kegiatan ini didalangi oleh tokoh-tokoh
tempatan yang rapat dengan penjenayah antarabangsa untuk mengaut keuntungan
yang lebih secara haram.
Sementelahan masalah alam sekitar juga makin parah. Sebagai
buktinya pencemaran dan pembakaran yang dilakukan oleh masyarakat kita akbiat
taksub, banyak spesies air dan hutan mati. Ketaksuban pada pembinaan bangunan
yang tinggi pula menyebabkan hakisan bukit dan tanah runtuh sering terjadi. Malang tidak berbau, pembangunan di lereng bukit
turut mengorbankan banyak nyawa. Sebagai contohnya, kejadian di Jalan Tanjung
Batu Ferringhi, Pulau Pinang mengakibatkan tanah runtuh di tapak Projek Bukit
Kukus dan lantas beberapa orang pekerja binaan mati di tapak binaan.
Kesemua senario ini adalah bukti manusia taksub pada material dan ingin
menikmati nafsu
kehidupan yang bobrok. Kegagalan
masyarakat merancang alam semulajadi dengan baik dan melaksanakan projek yang
tidak mesra alam sekitar, juga menjadi punca masalah ini berlaku.
Konklusinya,
sampai bila masyarakat kita dibiarkan rosak dari sudut kemanusiaan dan khazanah
alamnya? Kita memerlukan satu pendekatan yang holistik dan komprehensif untuk menangani kobobrokan dan ketaksuban manusia
ini. Kepimpinan kerajaan hendaklah lebih tegas dalam pelaksanaan dan
penguatkuasaan sebarang undang-undang dan peraturan yang sedia ada. Sistem
pendidikan kita hendaklah menyemai niali-nilai murni dalam sanubari masyarakat
Malaysia sejak mereka kecil kagi, bak pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Masyarakat hendaklah menikmati pembangunan negara tanpa menggadaikan maruah dan
budaya asal mereka.
No comments:
Post a Comment