KPM telah melanjutkan tempoh PDPr selama 25 hari mulai 13 hb. Jun hingga 16 Julai. Jika ditambah pula dengan cuti pertengahan penggal, pelajar bercuti sehingga 25 Julai. Selain pembelajaran di rumah, para pelajar khususnya siswa prauniversiti mahupun mahasiswa hendaklah memanfaatkan waktu yang terluang untuk banyak membaca. Terdapat banyak rungutan daripada cendekiawan kita bahawa banyak pelajar kita hanya membaca untuk tujuan pembelajaran ataupun untuk lulus dalam peperiksaan. Harus diingatkan kepada mereka bahawa pelajar hendaklah membaca bahan-bahan berilmu pengetahuan yang tidak semestinya daripada bidang yang diceburi mereka. Pembacaan menyebabkan mereka dapat berfikir dengan kritis dan analitik.Ramai antara kita hanya membaca sekadar tajuk sesuatu bahan bacaan. Dengan membaca tajuk, kita tidak boleh merumuskan apa-apa. Tajuk artikel atau bahan bacaan hanyalah sebagai tarikan. Pelajar juga hendaklah membaca sesuatu yang bersumberkan maklumat yang berbeza-beza, jangan membaca bersumberkan satu maklumat. Pelajar biarlah memilih bahan bacaan yang tidak dijenguhkan dengan fakta semata-mata sebaliknya pilihlah bahan yang dijenguhkan dengan pandangan atau spektrum yang benar. Dalam konteks pemilihan bahan tadi, pelajar janganlah bergantung kepada media sosial semata-mata. Pembacaan pada skrin komputer cepat melemaskan, meletihkan dan kurang selesa. Pembacaan dalam alam maya sering dihambat oleh banyak gangguan tumpuan atau distraksi. Pilihlah bahan bacaan bercetak. Pandangan dan fikiran yang disampaikan oleh media cetak tidak akan sama dengan apa yang dihidangkan oleh media sosial. Platform melalui Internet tidak akan dapat memberi impak serupa dengan media cetak. Pelajar harus ingat bahawa bahan bercetak masih relevan kerana mudah untuk kita membuat rujukan, mudah untuk mengingati dan mudah untuk mengulang. Kini banyak syarikat atau orang perseorangan mempromosikan bahan-bahan bacaan bercetak yang mencakupi pelbagai bidang dalam pelbagai media sosial untuk kita membacanya. Jadi tempoh masa 25 hari ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk membaca. Selamat Membaca
No comments:
Post a Comment