Wednesday, June 16, 2021

ARWAH DATUK

 

Sewaktu saya dalam darjah 4 datuk saya meninggal di Teluk Anson (Teluk Intan) Arwah datuklah memberi didikan yang paling asas kepada saya . Arawah mengajar saya cara-cara memegang kalam (state) dan menggunakan jari untuk menulis huruf-huruf Tamil di atas pasir sehingga hujung jari saya pecah dan kadang kala berdarah. Dari sinilah mulanya pendidikan awal saya. Oleh sebab arwah tidak bersekolah , arwah ingin melihat cucu-cucunya berpelajaran, paling tidak pun pendidikan rendah.

Arwah seorang penyokong kuat Arinyar Anna (C.N. Anndurai) seorang penulis, pemidato dan pemimipin parti DMK di Tamil Nadu. Setiap pagi bangun daripada tidur pada wajah Arinyar Anna, saya tatap. Bagi saya Arinyar Anna adalah “Tuhan” kerana setiap pagi saya diwajibkan menatap wajahnya sebelum ke sekolah ataupun sebelum melakukan apa-apa selepas bangun daripada tidur. Arwah amat menyayangi saya kerana saya bukan sahaja cucu bongsunya malah saya cerdik sewaktu kanak-kanak. Arwah kerap membawa saya ke kedai kopi di estet untuk minum teh. Arwah menghirup teh dari cawannya sementara saya pula menghirup teh dari piring cawan tersebut. Oleh sebab itulah sehingga hari ini saya tidak dapat lupakan teh tarik.

Tatkala saya di darjah empat, arwah kepingin ke Teluk Anson untuk melawat adiknya. Setelah beberapa hari arwah di sana, kami di estet mendapat perkhabaan bahawa arwah telah meninggal dunia di sana di sisi adik dan keluarga adiknya. Sejak pemergiannya berjumpa dengan Illahi, kami dibesarkan oleh ibu dan nenek kami.

Oleh sebab arwah tidak berpendidikan, arwah mengharapkan kami (seramai 3 orang cucu) belajar sepanjang hari dan tidak membuang masa untuk berhibur atau perkara-perkara lain.

Ajaran daripada kitab-kitab lama memainkan peranan penting dalam didikan kami. Sebelum masuk tidur pada waktu malam, saya sentiasa tidur bersamanya kerana arwah menceritakan cerita-cerita fabel yang mendukung pesan moral . Begitu juga , setelah saya berkahwin dan berkeluarga, saya menceritakan kisah-kisah teladan dan pengajaran kepada kesemua tiga orang anak saya. Malah sejak kecil kami diajari untuk menghormati orang tua, belajar dengan tekun, mengambil berat tentang orang lain dan sentiasa merendah diri. Kalau bernakal sama ada sengaja atau tidak, hukumannya pasti berat.

Banyak perkara telah diajari oleh arwah. Antaranya tidak boleh memanggil orang yang lebih tua daripada kita dengan nama peribadi mereka. Mereka boleh dipanggil dengan nama hubungan kekeluargaan ataupun sekadar pakcik dan makcik sahaja. Tindakan yang bermoral ini saya terapkan dalam diri anak-anak saya kemudian hari

 

 

No comments:

Post a Comment