Bukan mudah bagi seseorang guru mengajar subjek yang berlainan di peringkat prauniversiti seperti di tingkatan enam. Jika mereka berminat dan suka mengajarnya tiada masalah bagi mereka. Namun persediaan bahan pengajaran sebelum masuk ke kelas adalah lebih penting. Katakan untuk enam bawah seorang guru mengajar tajuk Kenegaraan Malaysia dan pada masa yang sama untuk enam atas pula beliau mengajar tajuk Asean-penubuhannya dan pencapaiannya. Guru yang sama juga mungkin mengajar tajuk Fonologi untuk enam bawah. Jadi berapa banyak subjek yang diajar oleh guru tidaklah penting. Yang penting ialah adakah beliau mempunyai bahan atau pengetahuan yang mencukupi dalam kesemua subjek tersebut. Pelajar-pelajar pada hari ini mudah menilai seseorang guru. Untuk mengelakkan guru itu daripada diaibka, maka eloklah beliau menyediakan bahan pengajaran dan latihan untuk pelajar. Tabiat segelintir guru masuk ke kelas tanpa sebarang bahan rujukan di tangannya hendaklah dikikis. Walaupun mereka sudah menghafal fakta dan menguasai sesuatu topik dengan baik, tetapi masuk ke kelas tanpa sebarang latihan atau nota kepada pelajar adalah tidak beretika. Sebaik sahaja habis mengajar, guru hendaklah menguji kefahaman pelajar dengan memberikan latihan sama ada secara formatif atau sumatif, boleh diuji sama ada secara kuiz ataupun secara bertulis. Respons atau reaksi pelajar terhadap pelajaran hari tersebut akan membantu guru mengajar lebih baik lagi di samping menyediakan lebih banyak latihan kendiri kepada pelajar
No comments:
Post a Comment