Pandemik Covid-19 mendatangkan pelbagai kesulitan kepada umat manusia di dunia ini. Rakyat Malaysia tidak terkecuali daripada ditimpa musibah oleh pandemik ini. Saban hari sama ada media perdana mahupun media sosial sering memaparkan pelbagai isu yang kontroversial berkaitan Covid-19 ini.
Antara terbaharu ialah seorang ibu terpaksa menagih simpati
orang ramai untuk mendaptakan bantuan
kewangan agar anak-anak kecilnya mendapat sesuap nasi. Dalam hantaran
Whatsapp yang dikirimkan kepada umum, ibu tersebut meminta orang ramai
memberikan sebarang sumbangan kepada keluarganya agar keluarganya dapat meneruskan kehidupan. Berita yang tersiar itu
menyayat hati pembaca kerana ibu itu terpaksa memberikan anak kecilnya air
bergula. Bagaimanapun anak kecilnya tidak dapat menerima minuman itu dan
akhirnya anak tersebut bermuntah dan bercirit-birit.
Selain itu terdapat satu lagi kes yang melibatkan pandemik
ini, iaitu seorang pemuda sanggup menyelongkar dan menggeledah sebuah mesin ATM
di Pulau Pinang untuk mencuri wang. Setelah disiasat, dia mengaku dia dibuang
kerja dan dia tidak berwang untuk menjalani rutin hidupnya. Kita tidak pasti
sama ada dia mempunyai niat untuk mencuri ataupun biarkan dirinya ditahan
polis. Jika ditahan polis, sudah pasti dia akan mendapat makanan untuk beberapa
hari sehingga dia didakwa di mahkamah.
Kes yang terakhir terpampang dalam Facebook ialah seorang
lelaki telah membunuh diri dengan terjun dari tingkat sepuluh sebuah bangunan
di Kuala Lumpur. Video ini cukup mengerikan, tetapi orang ramai diminta jangan
menularkannya dalam media sosial kerana kita harus menghormati arwah. Kita
difahamakan punca membunuh diri ialah kehilangan perniagaannya lantaran
kecelaruan ekonomi pada masa ini. Akibat
muflis, arwah mengalami kemurungan , menghadapi tekanan dan akhir sekali
melucutkan nyawanya sendiri
Sudah terang lagi bersuluh bahawa ketiga-tiga kes tersebut
dipertalikan dengan keadaan semasa ekonomi negara. Peningkatan kes-kes bunuh
diri perlu diberi perhatian yang serius oleh Jabatan Kesihatan negeri. Jabatan
Kebajikan Masyarakat pula hendaklah turun ke padang untuk membuat tinjauan
terhadap keluarga-keluarga yang tertekan akibat kecelaruan sosial dan ekonomi .
No comments:
Post a Comment