Wednesday, March 31, 2021

Nostalgia 4

 Nostalgia 4 Selangit kasih

Selepas beberapa minggu saya mengajar di sana, pada suatu hari saya berjumpa kembali dengan guru kebanggaan saya Encik Mustafa. Isteri beliau kebetulan menjadi kerani sekolah di SK Binjol. Beliau amat gembira melihat saya sebagai seorang guru lalu perkenalkan saya kepada isterinya.  Cikgu Mus, itulah panggilan mesra kami telah mencuri pandang tangan kanan saya. Anda tahu mengapa? Ya saya mengikut stylenya memakai jam tangan di tangan kanan. Beliau terharu dan amat gembira apabila saya memberitahunya bahawa beliaulah idola saya sejak di tingkatan lima. Kemudian beliau menasihati saya untuk ambil STP dan masuk ke universiti. Katanya masa depan saya lebih cerah jika saya sambung belajar. Saya pun bertekad mengambil STP pada tahun 1982. Salah seorang rakan guru sekolah saya ialah mendiang Pn.Amarawathi.  Pada suatu hari suaminya En.Balan Chelliah datang ke sekolah kami untuk menjemput isterinya pulang. Ketika itu saya bertanya beberapa orang rakan guru yang lain, siapakah gerangannya? Saya masih ingat ketika itu En.Balan memakai kemeja T Universiti Malaya. Lambang atau simbol UM terpampang di dada kirinya menyebabkan sesuatu tersentak di hati saya. Pada tahun 1982 saya mula belajar bersungguh-sungguh. Nasib malang saya kerana saya tidak mempunyai sebarang  buku teks Ekonomi dan Geografi dalam bahasa Melayu. Saya membacanya dalam bahasa Inggeris dan membuat terjemahan sendiri. Saya terpaksa belajar semua subjek sendiri tanpa sebarang bimbingan atau tuisyen. Malah tiada kemudahan perpustakaan di pekan Kuala Ketil. Saya tinggal di estet getah dan sudah nescaya tiada sebarang kemudahan  di sana. Bagaimanapun pada akhirnya saya dapat lulus dengan baik dan ditawarkan tempat di UM yang saya impi-impikan selama ini pada tahun berikutnya 1983. Apabila saya sampai sahaja di asrama, orang yang pertama saya berjumpa ialah En.Balan Chelliah. Beliaulah memberikan pelbagai tunjuk ajar dan bimbingan ketika saya menginjak kaki saya buat pertama kalinya di kampus UM. Dari saat  itu sehingga sekarang kami berdua menjadi kawan akrab. Saya bersyukur kepada Ilahi kerana saya sempat juga berjumpa dengan semua insan yang pernah membantu mencorakkan karakter saya sebagai seorang guru. Mungkin ada yang telah pergi menemui Ilahi.

No comments:

Post a Comment