Wednesday, March 31, 2021

Nostalgia 3

 Nostalgia 3  Seluas Samudera

Kadangkala saya terpaksa stayback untuk mengikuti kelas bahasa ibunda saya yang selalu diadakan selepas waktu persekolahan. Setelah habis kelas, kami akan pulang ke rumah bersama pelajar sesi petang. Sementara menunggu kelas tersebut saya sering ke rumah Cikgu Mus yang tinggal bersebelahan sekolah (quarters), untuk membantu beliau dan keluarganya melakukan kerja-kerja sampingan seperti membersihkan kawasan rumah dan mencuci keretanya. Sebaik sahaja selesai kerja ini saya dijamu makan tengah hari. Saya berani ke rumah Cikgu Mus sebab beliau tahu bahawa saya amat meminati subjek beliau dan mendapat markah tinggi dalam kelasnya. Cikgu Mus selalu menasihati saya supaya belajar bersungguh-sungguh lagi sebab hanya pelajaran sahaja yang dapat menentukan masa depan saya. Lagipun beliau sering memberitahu bahawa kemiskinan yang saya hadapi hanya dapat diatasi jika saya mengejar ilmu. Inilah menjadi ungkapan mantera bagi saya untuk berusaha lebih gigih dan tekun.

Sebaik sahaja tamat tingkatan lima, keputusan SPM diumumkan. Saya telah lulus dengan baik (walaupun bukan cemerlang sangat) dan pada tahun berikutnya saya ditawarkan kursus perguruan di sebuah maktab perguruan di Kuala Lumpur. Kursus tersebut selama  satu tahun setengah. Setiapkali cuti saya pulang ke halaman kampung. Pada suatu hari tatkala saya menunggu kereta ke estet getah, saya terdengar nama saya dipanggil-panggil dari jauh. Rupa-rupanya suara itu ialah suara Cikgu Amin yang pernah mengajarkan Sastera Melayu. Saya berjumpa lalu bersalaman dengan beliau. Beliau melahirkan rasa bersyukur kerana saya ditawarkan kursus perguruan. Katanya beliau kini pengetua di salah sebuah sekolah menengah di daerah Baling.

Sebaik sahaja tamat perguruan saya ditempatkan di sebuah sekolah di Sungai Petani. Pada suatu hari guru besar sekolah menyuruh saya membuka akaun bank untuk dimasukkan gaji saya. Saya ke bank UMBC Sungai Petani untuk membuka akaun. Sungguh tidak sangka, saya dapat berjumpa dengan Cikgu Aishah yang pernah mengajarkan Bahasa Melayu di tingkatan lima  di sana. Beliau amat gembira dapat bertemu dengan saya lalu bersyukur kerana saya dapat menjadi seorang guru seperti beliau juga. Katanya beliau sudah ditukarkan ke sekolah lain sebagai Penolong Kanan. Pada penghujung tahun 1981, saya telah mendapat pertukaran ke SJKT Binjol. Sekolah tersebut merupakan satu-satunya sekolah Tamil yang beroperasi di sebelah petang kerana bangunan sekolah itu dikongsi oleh SK Binjol pada waktu pagi.Oleh sebab sekolah itu tiada guru BM, maka sayalah menjadi guru BM. Sekoalh itu amat sedikit bilangan pelajar. Jadi saya terpaksa mengajar kelas cantum.

No comments:

Post a Comment