Wednesday, March 31, 2021

Nostalgia 1

 Nostalgia 1 Segunung Budi

Sebaik sahaja saya habis membaca buku Budi Tuan Segunung Intan suntingan Prof. Abdullah Hassan, hati saya juga terpanggil untuk meluahkan sesuatu yang sering berlegar-legar dalam fikiran saya sejak tahun 1977. Saya terkenang akan guru-guru yang telah memainkan peranan yang amat signifikan dalam hidup saya sehingga membentuk karakter saya sebagai seorang guru. Saya menjadi seorang guru kerana beberapa orang insan yang telah menjadi petunjuk dan teladan kepada saya. Daripada gaya berdiri di hadapan kelas, cara memegang kapur, gaya penyampaian pengajaran, cara menggunakan nada ketika penyampaian dan cara menyelitkan lelucon di celah-celah pengajaran, semuanya saya pelajari daripada mereka. Guru-guru dulu, banyak menghabiskan masa bersama pelajar berbanding dengan ahli keluarga mereka. Mereka mempengaruhi secara semula jadi dan sering memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk mengajar pelajaran kehidupan ketika mereka berada dalam kelas. Setiap momen saya berada di tingkatan 4 dan 5, saya berasa amat seronok. Pada mulanya saya seorang pelajar yang degil di tingkatan 4. Walaupun mendapat keputusan yang baik tetapi enggan berpindah ke kelas tingkatan 4A kerana terpengaruh dengan kawan-kawan yang sering menghiburkan hati. Pada suatu hari En.Lim Chong Uo guru tingkatan dan guru Ilmu Hisab memanggil saya dan menasihati saya supaya jangan terpengaruh dengan rakan sehingga boleh mengabaikan pelajaran dan masa depan saya. Beliau tahu bahawa saya dari estet getah dan kos persekolahan saya hanya bergantung kepada upah penorehan getah. Jadi apabila saya melangkah ke tingkatan 5, saya ditempatkan di kelas 5A. Saya sanggup duduk dalam kelas ketika Ustazah mengajar Agama Islam. Jadi untunglah saya mempelajari beberapa asas Islam. Kelas yang paling saya suka dan menanti-nanti ialah kelas Sastera Melayu oleh Cikgu Amin, kelas Bahasa Melayu oleh Cikgu Aishah dan kelas Ilmu Hisab oleh Cikgu Mustafa.

No comments:

Post a Comment