Tuesday, November 16, 2021

Karangan "Dadah Musuh Utama Negara"

KRITERIA PENSKORAN KARANGAN BHG B 350-500 PP

CEMERLANG A+ A 60-70

KEPUJIAN B+ A- 50-59

BAIK B- C+ 40-49

MEMUASKAN C- 30-39

KURANG MEMUASKAN D 20-29

PENCAPAIAN MINIMUM E 10-19

TIDAK MENCAPAI PENCAPAIAN MINIMUM  F 01-09

 DADAH: Musuh Utama Negara. Bincangkan.

Marcapada, gejala dadah menjadi isu yang paling hangat diperkatakan. Setiap lapisan masyarakat tidak menafikan bahawa dadah adalah sebagai musuh yang harus diperangi habis-habisan. Di negara kita gejala ini telah menjadi semakin serius=PARAH, dan dianggap lebih berbahaya daripada ancaman komunis dan jenayah-jenayah lain. Dadah mengancam keselamatan negara. Oleh hal yang demikian, tumpuan utama hendaklah diletakkan pada usaha memeranginya.

Kebanyakan penagih yang mengambil dadah adalah belia yang berumur antara 18 hingga 30 tahun. Sehingga ini, jumlahnya telah meningkat hampir sejuta orang atau mungkin lebih. Sejarah telah membuktikan bahawa dadah bukan sahaja mampu menghancurkan penagihnya tetapi juga meruntuhkan sesebuah kerajaan. Negara China misalnya pernah dijajah kerana dadah pada masa Perang Candu dan kekalahan Vietnam Selatan juga pernah dikatakan kerana faktor candu. Oleh hal yang demikian, negara kita menganggap dadah sebagai musuh yang mesti diperangi habis-habisan.

Dadah mengancam penagihnya perlahan-lahan tetapi dengan amat berkesan, umpama api dalam sekam atau umpama karat yang memakan besi. Hal ini dikatakan sedemikian kerana dadah boleh memendekkan usia, merencatkan pertumbuhan generasi, merosakkan urat saraf, mengendurkan otot-otot, merosakkan fikiran dan melemahkan perjalanan darah. Akhirnya penagih itu akan hidup umpama bangkai tidak bernyawa lagi. Jika seorang pegawai dalam sektor  perkhidmatan awam terlibat dengan penagihan, nescaya dia akan kehilangan kerja dan mula menganggur. Jika pelajar pula, sudah tentu dia akan diberhentikan sekolah. Jadi dadah  tidak lagi berguna kepada sesebuah negara. Dadah hanya membebankan pemerintah sahaja.

Dengan kata lain, dadah juga merupakan musuh dalam selimut. Kita tidak sedar bahawa dadah, boleh menghancurkan sesebuah negara dari dalam, bukan dari luar. Dari segi sosiopolitik dadah pasti mencetuskan persengketaan kaum dan menjejaskan perpaduan nasional. Hal ini dikatakan demikian kerana dadah boleh merosakkan sesuatu kaum tertentu. Di Malaysia misalnya dadah diedarkan oleh sesuatu kaum dan mangsanya pula ialah kaum lain. Jika hal ini tidak dikawal, maka dadah boleh menghancurkan kestabilan politik negara.

Andainya berlaku pula ancaman daripada kuasa asing, mungkin kedaulatan negara tidak dapat dipertahankan kerana belia di sesebuah negara itu sudah tidak bermaya lagi. Hal ini bererti belia yang ada tinggal sebagai nama sahaja tetapi tidak berfungsi demi pembangunan negara, apalagi untuk mempertahankan negara daripada serangan luar. Semua kehancuran ini sebenarnya berpunca daripada sifat ketagihan semata-mata.

Wang yang ada tidak dapat digunakan untuk menyediakan kemudahan sosial kerana terpaksa diperuntukkan untuk memerangi dadah. Jika kadar penagihan tidak berubah dari setahun ke setahun kerajaan terpaksa membelanjakan tidak kurang daripada RM 1 bilion setahun. Fenomena ini merupakan satu kerugian yang besar yang akan ditanggung oleh negara. Natijahnya, rakyat marhaen tidak dapat menikmati kehidupan mereka.

Penagihan dadah dalam kalangan belia akan menjejaskan modal insan yang berkualiti. Kerajaan tidak dapat menyediakan dana untuk mempertingkatkan mutu pendidikan dan kemahiran kepada remaja atau belia. Jika belia sudah ketagihan dadah, negara tidak mempunyai tenaga kerja yang berkualiti dan berwibawa untuk tujuan yang sama. Dengan perkataan lain ekonomi negara akan lumpuh. Malah pelabur-pelabur asing pula tidak berminat untuk mengupah pekerja kita.

Kesimpulannya, tidaklah ragu-ragu lagi bahawa dadah merupakan musuh utama negara yang mesti diperangi sehabis-habisnya. Kita harus belajar daripada sejarah bahawa rakyat yang taksub dengan sesuatu akan mudah dijajah oleh kuasa asing. Oleh itu, kerajaan hendaklah memperkasa penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada dan mesti mengenakan hukuman yang berat terhadap pengedar dan mangsa dadah ini.  519 perkataan 

No comments:

Post a Comment